FMM Mahu Ahlinya Ambil Perhatian Serius Terhadap Seruan BNM Bantu Sokong Ringgit

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) — Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa ahlinya mengambil perhatian serius terhadap gesaan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk perniagaan menjadi sebahagian daripada pendekatan ‘whole-of-nation’ (pendekatan keseluruhan negara) yang diperlukan untuk memastikan kestabilan ringgit.

Presidennya Tan Sri Soh Thian Lai dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata persatuan itu menyokong inisiatif yang dijalankan oleh bank pusat untuk menguruskan tekanan jangka pendek terhadap ringgit termasuk gesaannya untuk mendapatkan sokongan daripada pihak korporat dan pelabur untuk memastikan lebih banyak aliran masuk ke dalam pasaran pertukaran asing (FX).

Beliau menekankan bahawa semasa sesi libat urus dengan dewan perniagaan, majlis perniagaan, persatuan perdagangan dan ketua pegawai eksekutif dari pelbagai syarikat di Malaysia pada Jumaat lepas, BNM menggesa komuniti perniagaan untuk mengambil tindakan.

Soh berkata BNM telah menekankan tindakan utama yang memfokuskan pada sikap ‘Malaysia First’, meminta perniagaan mengutamakan dan merealisasikan peluang pelaburan di peringkat tempatan serta memilih barangan domestik, perkhidmatan dan rekreasi.

FMM turut memohon entiti korporat untuk menguruskan aktiviti pelaburan yang meminimumkan aliran keluar dengan menangguhkan sebarang pelaburan baharu di luar negara dan menukar pendapatan pelaburan yang direalisasikan yang diperoleh di luar negara dengan cara yang lebih tepat pada masanya dan secara konsisten serta melindung nilai sebarang pelaburan baharu dan pelaburan besar di luar negara.

BNM juga menyeru mereka supaya berhemat mengurus aktiviti perdagangan dengan menggunakan kemudahan penyelesaian mata wang tempatan untuk meminimumkan pergantungan kepada dolar US untuk tujuan penyelesaian perdagangan dan mengelak daripada menangguh pertukaran dan pembayaran import muatan hadapan melebihi apa yang diperlukan untuk keperluan perniagaan.

“Diharapkan tindakan kolektif BNM untuk memastikan kecairan yang mencukupi dalam pasaran FX domestik dan pengurusan dinamik operasi monetari dan sokongan daripada komuniti perniagaan, ringgit akan mengukuh dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.

Soh berkata Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata penurunan nilai ringgit adalah sementara dan disebabkan faktor luaran, melangkah ke hadapan, pasaran kewangan menjangkakan unit tempatan akan terus meningkat berikutan kesan faktor luaran global sudah reda.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama