e-Invois: Kelonggaran Enam Bulan Pastikan Syarikat Lebih Bersedia

CYBERJAYA, 26 Julai (Bernama) — Kelonggaran pelaksanaan e-Invois selama enam bulan yang diumumkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada Jumaat, melegakan kalangan pembayar cukai terbabit kerana dapat memastikan syarikat lebih bersedia daripada pelbagai aspek.

Ketua Cukai KPMG Tax Services Sdn Bhd Soh Lian Seng berkata kelonggaran itu merupakan inisiatif yang baik selain membuktikan keprihatinan kerajaan dalam mendengar input atau suara golongan terbabit.

“Ini inisiatif yang baik…kelonggaran ini memberikan mereka (pembayar cukai) masa untuk melaksanakan e-Invois dengan lebih lengkap.

“Bagi saya, ini membuktikan kerajaan menerima dan dengar apa disuarakan (mereka terbabit) mengenai pelaksanaan e-Invois,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Velesto Energy Sazlyna Sapiee berkata pelaksanaan e-Invois yang bertujuan memberi ketelusan, memerlukan persiapan secara teliti.

Berikutan itu, katanya, kelonggaran yang diumumkan LHDN akan membolehkan syarikat terbabit membuat persiapan atau lebih bersedia.

“Ada syarikat yang memerlukan masa (bagi melaksanakannya). Berita kelonggaran ini menjadi bukti bahawa LHDN mendengar cabaran yang dihadapi oleh syarikat,” katanya.

Terdahulu, ketika mengumumkannya Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata kerajaan bersetuju memberikan kelonggaran kepada pembayar cukai dalam tempoh enam bulan dari tarikh pelaksanaan mandatori e-Invois bermula 1 Ogos ini.

Dalam tempoh enam bulan tersebut, tiada tindakan pendakwaan di bawah seksyen 120 Akta Cukai Pendapatan 1967 terhadap ketidakpatuhan peraturan e-Invois dengan syarat pembayar cukai mematuhi keperluan e-Invois yang disatukan.

LHDN sebelum ini memaklumkan fasa pertama pelaksanaan e-Invois bermula pada 1 Ogos ini, melibatkan syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta.

Fasa kedua pula akan melibatkan syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM 25 juta hingga RM100 juta, kata LHDN.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Cadangan Laksana Cukai Kekayaan Buat Masa Ini – MOF

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Kerajaan ketika ini tidak bercadang untuk melaksanakan cukai kekayaan sebanyak dua peratus ke atas individu kaya raya bagi menampung perbelanjaan kerajaan, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF menjelaskan bahawa buat masa ini kerajaan mendapati sumbangan hasil cukai kekayaan adalah tidak signifikan sekiranya elemen pengecualian dan pelepasan cukai diberikan sepertimana pelaksanaan lain-lain cukai yang sedia ada.

“Pelaksanaan cukai kekayaan dalam apa-apa bentuk atau mekanisme perlu diteliti daripada pelbagai aspek termasuk asas kenaan cukai yang kecil dan terhad di Malaysia.

“Namun, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan dasar percukaian yang dilaksanakan adalah berlandaskan prinsip keadilan dan saksama serta lebih bersasar supaya struktur percukaian kekal progresif dan mampu mengurangkan jurang ketidaksamaan sosioekonomi,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Pada masa sama, menurut MoF, pendekatan secara lebih bersasar telah dilaksanakan dengan meluaskan asas cukai kepada golongan yang lebih berkemampuan.

Ini termasuk melalui pelaksanaan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai, cukai dividen bagi pendapatan dividen melebihi RM100,000 dan cukai yang dikenakan ke atas agihan keuntungan melebihi RM100,000 yang diterima oleh pekongsi daripada perkongsian liabiliti terhad.

— Bernama