Ringgit Meningkat Berbanding Dolar AS Berikutan Prospek Positif Belanjawan 2025

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) — Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada hari dagangan pertama minggu Belanjawan 2025, didorong oleh keyakinan bahawa kerajaan dijangka mengekalkan disiplin fiskal dan memastikan defisit fiskal di bawah empat peratus daripada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun depan.

Pada 8.05 pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.2850/3010 berbanding dolar AS daripada 4.2865/2910 pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata perhatian terhadap pengumuman belanjawan pada Jumaat ini akan mempengaruhi sentimen pasaran minggu ini.

Mengenai sentimen global, katanya taklimat daripada Kementerian Kewangan China pada hujung minggu lepas tidak memberikan maklumat yang terperinci.

Bagaimanapun, katanya komitmen untuk memulihkan ekonomi, terutamanya pasaran hartanah yang lemah, masih dapat dilihat.

“Pasaran menjangkakan rangsangan fiskal yang lebih baik untuk mengelak deflasi. Kadar inflasi China kekal mendatar pada 0.4 peratus pada September, turun daripada kenaikan sebanyak 0.6 peratus pada bulan sebelumnya.

“Begitu juga, kadar inflasi teras berada pada 0.1 peratus, susut daripada 0.3 peratus sebelum ini,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata situasi di China dilihat memberi sokongan kepada dolar AS berikutan ekonomi AS yang dilihat lebih berdaya tahan dan Rizab Persekutuan AS dijangka mengelak penurunan kadar faedah yang agresif.

Indeks Dolar AS (DXY) kini berada pada 103.021 mata.

“Kali terakhir DXY berada pada 103 mata ialah pada Ogos. Berdasarkan situasi ini, ringgit dijangka diniagakan berhati-hati berikutan kebimbangan mengenai ekonomi China,” katanya.

Sementara itu, ringgit mengukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia tinggi berbanding euro kepada 4.6784/6958 daripada 4.6886/6935 pada Jumaat lepas, naik berbanding yen Jepun kepada 2.8701/8810 daripada 2.8780/8812 dan meningkat berbanding pound kepada 5.5894/6102 daripada 5.6016/6075 sebelum ini.

Bagaimanapun, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.2788/2915 daripada 3.2824/2861, bagaimanapun merosot berbanding baht Thailand kepada 12.8741/9334 daripada 12.8504/8704 pada Jumaat lepas.

Ringgit hampir tidak berubah pada 7.49/7.52 daripada 7.49/7.50 berbanding peso Filipina dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 275.0/276.1 daripada 275.1/275.5 pada Jumaat lepas.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kadar Pengangguran Malaysia Kembali Meningkat Kepada Tiga Peratus – DOSM

KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran Malaysia kembali meningkat kepada tiga peratus, dengan merekodkan 511,800 orang penganggur pada April 2026, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pasaran buruh negara terus menunjukkan pertumbuhan sederhana pada bulan dikaji, mencerminkan perkembangan ekonomi yang stabil.

Beliau berkata, tenaga buruh naik 0.1 peratus kepada 17.33 juta orang berbanding 17.31 juta orang pada Mac 2026 manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal tidak berubah iaitu pada 70.9 peratus, sama seperti bulan sebelumnya.

Sementara itu, katanya bilangan penduduk bekerja terus meningkat pada April 2026, bertambah sebanyak 0.1 peratus kepada 16.82 juta orang berbanding bulan sebelumnya pada 16.80 juta orang.

“Bilangan penganggur kekal dalam trend menaik, bertambah 0.6 peratus kepada 511,800 orang, berbanding 509,000 orang pada bulan yang lalu. Sehubungan itu, kadar pengangguran pada bulan itu naik 0.1 mata peratus kepada 3.0 peratus berbanding 2.9 peratus pada Mac 2026, sekali gus kembali kepada paras yang pernah direkodkan pada Oktober 2025.

“Kategori pekerja merangkumi 75 peratus daripada jumlah penduduk bekerja pada April 2026, meningkat sedikit 0.05 peratus kepada 12.61 juta orang berbanding 12.60 juta orang pada Mac 2026, manakala bilangan penduduk bekerja sendiri terus menunjukkan trend peningkatan dan naik 0.2 peratus kepada 3.15 juta orang berbanding 3.14 juta orang,” katanya dalam satu kenyataan Statistik Tenaga Buruh Malaysia untuk April 2026 yang dikeluarkan DOSM, hari ini.

Memberikan gambaran lanjut mengenai situasi pengangguran pada tempoh dikaji, Mohd Uzir berkata, penganggur aktif yang ditakrifkan sebagai mereka bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 79.5 peratus daripada jumlah penganggur.

Beliau berkata, kumpulan itu merekodkan peningkatan 0.3 peratus kepada 407,100 orang dengan 63.9 peratus daripada penganggur aktif menganggur kurang daripada tiga bulan, sementara 5.0 peratus daripadanya berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.

Pada masa yang sama, katanya penganggur tidak aktif yang terdiri daripada mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, meningkat 1.5 peratus kepada 104,700 orang berbanding 103,200 orang pada bulan sebelumnya.

“Kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada kadar 10.2 peratus pada April 2026 dengan sejumlah 290,800 penganggur belia manakala kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun meningkat 0.1 mata peratus kepada 6.3 peratus dengan seramai 394,700 penganggur belia direkodkan pada bulan itu,” katanya.

Mohd Uzir berkata, melangkah ke hadapan, prospek ekonomi dan pasaran buruh Malaysia dijangka kekal positif dalam jangka masa terdekat disokong oleh asas ekonomi domestik yang kukuh, momentum pelaburan yang berterusan serta pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan.

Beliau berkata, walau bagaimanapun, ketidaktentuan yang berpunca daripada krisis tenaga global, perkembangan geopolitik dan kedudukan permintaan luaran dijangka akan terus mempengaruhi momentum pertumbuhan ekonomi serta prestasi pasaran buruh.

“Dalam tempoh yang akan datang, usaha memperkukuh keyakinan perniagaan, meningkatkan kebolehsuaian tenaga kerja dan merangsang pertumbuhan produktiviti akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan ekonomi dan pasaran buruh negara kekal berdaya tahan,” katanya.

— Berita Harian