GST Hanya Akan Dilaksanakan Sekiranya Ambang Gaji Minimum Meningkat Kepada RM3,000 – PM Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) — Kerajaan hanya akan melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya ambang gaji minimum meningkat kepada RM3,000-RM4,000, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika ini, gaji bulanan minimum di Malaysia adalah pada RM1,500.

Beliau yang mengakui bahawa sistem cukai itu cekap dan telus berkata GST juga akan membantu mengembangkan dana kerajaan dengan kutipan hasil yang lebih tinggi.

Namun begitu, beliau percaya golongan miskin tidak seharusnya dibebani dengan sistem cukai sedemikian.

“Saya bersetuju, GST adalah sistem cukai yang paling telus dan cekap… tetapi pandangan saya adalah, beri sedikit masa, beberapa tahun, (kita mesti) pastikan ambang gaji meningkat kepada minimum RM3,000-RM4,000, kemudian barulah kita boleh selaraskan dasar,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-78 Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), di sini, hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata pelaksanaan GST telah menjadi isu berterusan selama beberapa dekad, malahan semasa beliau menjadi Menteri Kewangan pada 1990-an.

Beliau tidak bersetuju pada masa itu kerana merasakan gejala rasuah yang membabitkan berbilion ringgit, antara lainnya, perlu ditangani terlebih dahulu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong, yang turut hadir pada majlis itu juga sependapat dengan Perdana Menteri bahawa GST adalah cukai yang cekap dan telus, namun ia membebankan semua orang, golongan miskin mahupun kaya. 

“Beliau (Perdana Menteri) menjelaskan bahawa GST hanya akan dilaksanakan selepas beberapa tahun apabila paras pendapatan (gaji) meningkat ke tahap yang boleh diterima,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa ini, hanya sekitar 15 peratus rakyat Malaysia mempunyai pendapatan mencukupi untuk sampai ke ambang yang melayakkan mereka membayar cukai pendapatan, kata Liew.

“Kita harus bersama-sama menyasar untuk mewujudkan masyarakat yang sekurang-kurangnya 60 peratus daripadanya memperoleh pendapatan yang melayakkan mereka membayar cukai pendapatan,” katanya, sambil berharap agar semua pihak, termasuk perniagaan, melihat penciptaan masyarakat kelas pertengahan Malaysia sebagai satu misi nasional.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian