Ringgit Akhiri 2024 Catat Prestasi Terbaik Dalam Kalangan Mata Wang Utama Asia

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) — Ringgit muncul sebagai mata wang mencatatkan prestasi terbaik di Asia Tenggara pada 2024, menyerlah berbanding negara-negara serantau lain di tengah-tengah landskap ekonomi global yang mencabar.

Pada masa laporan ini ditulis, won Korea Selatan (KRW) merekodkan penurunan paling tinggi berbanding dolar AS, turun mendadak sebanyak 12.42 peratus, diikuti yen Jepun (JPY), yang merosot dengan ketara sebanyak 10.02 peratus dan dolar Taiwan (TWD) yang jatuh sebanyak 6.75 peratus.

Rupiah Indonesia (IDR) susut sebanyak 4.54 peratus, peso Filipina (PHP) turun 4.47 peratus dan yuan luar pesisir China (CNH) berkurangan sebanyak 3.26 peratus.

Dolar Singapura (SGD) turut menyusut sebanyak 3.09 peratus, diikuti yuan China (CNY) pada 2.73 peratus dan rupee India (INR) pada 2.81 peratus.

Baht Thailand (THB) mengalami penurunan kecil sebanyak 0.15 peratus, manakala dolar Hong Kong (HKD) merupakan satu-satunya mata wang yang mencatatkan sedikit peningkatan, meningkat sebanyak 0.58 peratus.

Menjelang akhir tahun, ringgit meningkat lebih 2.73 peratus kepada RM4.47 berbanding dolar AS, satu pencapaian yang mengagumkan berbanding penurunan atau prestasi tidak berubah mata wang Asia lain. 

Walaupun unit tempatan itu berdepan situasi turun dan naik serta cabaran berbanding dolar AS sepanjang 2024, namun ia telah mempamerkan daya tahannya, melantun semula ke paras tertinggi RM4.12 pada September daripada paras terendah RM4.80 pada Februari.

Pada Disember ringgit stabil pada RM4.48 berbanding dolar AS, peningkatan ketara daripada paras RM4.60 yang dicatatkan pada bulan terakhir 2023.

Tahun ini juga menyaksikan kekuatan ringgit apabila mencatat peningkatan berturut-turut yang paling lama sejak 2010 dengan kenaikan berturut-turut selama 10 hari, ditutup pada RM4.49 berbanding dolar AS pada 2 Ogos.

Pada 30 Sept, mata wang tempatan itu mencecah paras tertinggi dalam tempoh 39 bulan berbanding dolar AS pada RM4.1210/1280, didorong oleh jangkaan penurunan seterusnya kadar faedah AS.

Ringgit juga muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik rantau ini pada suku ketiga, mencatatkan kenaikan luar biasa sebanyak 14.9 peratus berbanding dolar AS.

Selain dasar monetari Amerika Syarikat (AS), prestasi ringgit pada 2024 juga dikaitkan dengan gabungan pelbagai faktor, termasuk usaha yang diselaraskan antara kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) dan prospek berpotensi ekonomi Malaysia.

Faktor-faktor ini, ditambah pula dengan pembaharuan struktur yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan MADANI, telah memainkan peranan penting dalam menyokong dan mengukuhkan ringgit sepanjang tahun.

Salah satu elemen utama dalam menguruskan dasar monetari Malaysia ialah tumpuan kepada keadaan dalam negeri, terutamanya inflasi dan trajektori pertumbuhan negara.

Pendekatan Malaysia terhadap kadar dasar semalaman (OPR) dipandu oleh faktor domestik ini, memastikan keputusan dasar sejajar dengan realiti ekonomi negara, dan bukannya perkembangan luaran.

BNM juga secara aktif menggalakkan perniagaan menghantar pulang pendapatan eksport mereka dalam ringgit dan memberi insentif kepada pelabur untuk menukar pendapatan asing mereka kepada mata wang tempatan.

Langkah-langkah bersasar ini telah mewujudkan aliran modal dua hala yang sihat ke dalam pasaran Malaysia yang membantu mengukuhkan nilai ringgit.

Bank pusat Malaysia juga menyambut baik langkah AS mengeluarkan Malaysia daripada senarai pantau manipulasi mata wang AS, membuktikan status memacu pasaran ringgit.

Pengguguran daripada senarai itu mencerminkan dasar ekonomi Malaysia yang selaras dengan piawaian antarabangsa dan seterusnya meningkatkan keyakinan dalam kalangan pelabur global.

Di samping itu, penilaian memberangsangkan daripada agensi penarafan antarabangsa dan penganalisis telah menyumbang kepada keyakinan semula terhadap prospek jangka panjang ekonomi negara, yang seterusnya meningkatkan prestasi ringgit.

Prospek ringgit kekal positif

Ketika Malaysia terus berkembang daripada kejayaan ini, prospek ringgit kekal positif, meletakkannya pada pertumbuhan yang mampan bagi tahun-tahun akan datang.

Bagaimanapun, masih terdapat cabaran yang perlu didepani. 

Prestasi tidak menentu perdagangan global dan kemungkinan perubahan dalam dasar monetari AS, serta tarif AS, boleh menjejaskan dolar Amerika, dan seterusnya ringgit.

Faktor-faktor luaran ini akan terus membentuk landskap mata wang global dan memberi kesan kepada prestasi unit tempatan.

Namun begitu, dasar proaktif Malaysia dan asas domestik yang kukuh akan membantu ringgit kekal berdaya tahan walaupun berdepan ketidaktentuan ini.

Penganalisis mengunjurkan ringgit mengukuh secara sederhana pada 2025, disokong oleh kelonggaran dasar monetari AS, asas domestik yang kukuh dan dinamik perdagangan yang bertambah baik.

CIMB Securities berkata memandangkan tekanan inflasi di Malaysia kekal terkawal, BNM dijangka mengekalkan OPR pada 3.00 peratus sepanjang 2025.

Bagaimanapun, dasar perdagangan dan cukai yang dicadangkan di bawah pentadbiran Donald Trump boleh meningkatkan tekanan inflasi di AS, mengehadkan keupayaan Rizab Persekutuan AS untuk mengurangkan lagi kadar.

“Senario ini mungkin menyebabkan turun naik yang tinggi dalam kalangan mata wang pasaran sedang pesat membangun, menyederhanakan peningkatan ringgit kepada RM4.40 berbanding dolar AS menjelang akhir 2025,” katanya.

Sementara itu, MIDF Research mengunjurkan ringgit Malaysia kepada purata RM4.23 berbanding dolar AS pada 2025, lebih kukuh daripada anggaran purata RM4.56 pada 2024.  

“Kami mengunjurkan ringgit Malaysia mengukuh tahun depan memandangkan jangkaan perubahan dasar dan kemasukan aliran dana ke dalam pasaran tempatan,” kata agensi penyelidikan itu yang turut menjangkakan OPR kekal pada 3.00 peratus tahun depan.

Ringgit mempamerkan daya tahan dan prestasi yang stabil berbanding mata wang utama global dan rakan-rakan ASEAN pada 2024.

Pada 6 petang hari ini, Ringgi meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8529/8566 daripada 3.2356/2415, naik berbanding euro kepada 4.6549/6606 daripada 5.0729/0817 dan mengukuh berbanding pound British kepada 5.6095/6164 daripada 5.8321/8422.

Unit tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada  3.2824/2867 daripada 3.4746/4812 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 7.70/7.72 daripada 8.28/8.31.

Ringgit juga meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 276.9/277.5 daripada 298.1/298.6 dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.0566/0830 daripada 13.3422/3760.

–BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.