AKPK Beri Manfaat Kepada 1.4 Juta Individu Sehingga Disember 2024 – Kementerian Kewangan


KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) — Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah memberi manfaat kepada hampir 1.4 juta individu melalui khidmat nasihat kewangan secara percuma dan membantu sekitar 495,000 peminjam melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) sehingga Disember 2024.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan daripada jumlah peserta PPK, hampir 60,000 atau 12 peratus peminjam telah berjaya menyelesaikan pinjaman mereka dan menamatkan penyertaan dalam PPK.

Dalam pada itu, lebih 26,000 atau lima peratus peminjam telah menamatkan penyertaan dalam program ini memandangkan mereka telah berkemampuan untuk menyelesaikan hutang mereka tanpa bantuan AKPK dan hampir 253,000 peminjam atau 51 peratus masih aktif mengikuti program berkenaan.

“Kerajaan sentiasa komited dalam memperkasakan literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia termasuk golongan berpendapatan rendah, memandangkan ia merupakan kemahiran hidup yang penting bagi membina ketahanan kewangan untuk menjamin kesejahteraan kewangan pada masa hadapan.

“Usaha ini diterajui Jaringan Pendidikan Kewangan atau lebih dikenali sebagai Financial Education Network (FEN) untuk meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan pengurusan kewangan berhemat dan mengelakkan terjebak ke dalam perangkap hutang,” kata MOF menerusi jawapan bertulis di laman portal Dewan Negara hari ini.

Kementerian Kewangan berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Dr Azhar Ahmad yang ingin mengetahui mengenai perancangan kerajaan membantu golongan berpendapatan rendah dalam isu hutang.

Mengulas lanjut, MOF berkata sebanyak 332 program literasi kewangan telah dianjurkan oleh ahli dan rakan usaha sama FEN dengan penglibatan sebanyak 37 juta penyertaan fizikal dan atas talian, berjumlah 289 program (87 peratus) melibatkan golongan berpendapatan rendah pada tahun lepas.

“Selain itu, sebanyak lapan sesi program pendidikan kewangan untuk usahawan mikro turut dilaksanakan sepanjang Bulan Literasi Kewangan, melibatkan 357 usahawan mikro dengan peningkatan pengetahuan sebanyak 14 peratus.

“Program ini merupakan salah satu usaha untuk memperkukuhkan pendidikan kewangan untuk golongan berpendapatan rendah, dalam usaha menggalakkan perbelanjaan bertanggungjawab dan keutamaan menyimpan,” kata MOF.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian