UOB Malaysia diiktiraf bank terbaik Malaysia di Anugerah Bank Terbaik Global Finance 2025

Kuala Lumpur, Malaysia, 8 April 2025 – UOB Malaysia telah dinobatkan sebagai Bank Terbaik Malaysia di Anugerah Bank Terbaik Dunia 2025 – Asia Pasifik tahunan yang ke-32 oleh majalah Global Finance.

Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, berkata, “Sepanjang tiga tahun yang lepas, kami telah bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk mentransformasikan Bank. Pengiktirafan ini oleh Global Finance mengesahkan kepimpinan UOB Malaysia sebagai sebuah bank progresif dan dipacu matlamat, yang bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan Malaysia tetapi juga menyokong pelanggan dan komuniti merentasi Malaysia dan rantau ASEAN yang lebih luas. Kami berbesar hati mendapat pengiktirafan atas prestasi kewangan yang kukuh, serta komitmen terhadap inovasi, kemampanan, kecemerlangan perkhidmatan dan pengurusan komuniti.”

Anugerah Bank Terbaik Dunia Global Finance memberi penghormatan kepada institusi kewangan yang menunjukkan kestabilan jangka panjang, inovasi dari segi teknologi dan kecemerlangan dalam perkhidmatan. Dalam pemilihan bank-bank teratas, Global Finance telah mengambil kira gabungan faktor kuantitatif dan kualitatif, termasuk pertumbuhan aset, keuntungan, jangkauan geografi, perkongsian strategik, inovasi, dan pembangunan perniagaan baharu. Input dikumpulkan daripada pakar industri, penganalisis, perunding, dan eksekutif kewangan korporat dari seluruh dunia.

Mencapai kemajuan dari kedudukan yang kukuh

Sepanjang tahun lepas, UOB Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara dalam kedua-dua perbankan runcit dan borong. Dalam bidang runcit, Bank berjaya menyepadukan perniagaan perbankan pengguna Citi dan terus mempertingkat keupayaan digitalnya dengan aplikasi UOB TMRW yang pernah memenangi anugerah. UOB Malaysia kini merupakan antara pengeluar kad kredit terbesar di negara ini dan kekal sebagai pemain utama dalam pengurusan kekayaan dan pinjaman perumahan.

Dalam perbankan borong, UOB Malaysia telah membina rekod prestasi yang kukuh dalam Pengurusan Rantaian Bekalan Kewangan (FSCM), kesalinghubungan serantau dan pembiayaan mampan. Unit Penasihat Pelaburan Langsung Asing (FDI) Bank terus menyediakan sokongan strategik kepada syarikat asing yang ingin melabur di Malaysia dan juga syarikat Malaysia yang ingin berkembang ke ASEAN. Pada 2024, Bank juga memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kesalinghubungan ekonomi serantau bagi mempertingkat kerjasama rentas sempadan melalui inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Peneraju dalam kemampanan

UOB Malaysia juga merupakan peneraju dari segi kemampanan. Portfolio pembiayaan mampan Bank telah meningkat tiga kali ganda sejak dua tahun lepas, disokong oleh rangka kerja yang komprehensif dalami pelbagai bidang tumpuan strategik termasuk bandar pintar, bangunan hijau, ekonomi kitaran dan pembiayaan peralihan.

Dari segi operasi, UOB Malaysia mencapai neutraliti karbon untuk operasinya sendiri sejak 2021. Ibu pejabatnya, UOB Plaza 1 Kuala Lumpur, yang menunjukkan komitmen Bank terhadap tanggungjawab alam sekitar dan reka bentuk tempat kerja yang progresif, telah memperoleh pensijilan Platinum berganda selain memenangi Anugerah Tenaga Kebangsaan 2024 dan Anugerah Tenaga ASEAN 2024 untuk kecekapan tenaga.

Pengalaman pelanggan kekal sebagai matlamat utama bagi UOB Malaysia, di mana peningkatan kukuh dilihat dalam Skor Promoter Bersih (NPS) merentas pelbagai segmen. Ini menunjukkan komitmen Bank untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti, inovasi digital dan penyelesaian yang mementingkan pelanggan.

Previous ArticleNext Article

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.