Bank Rakyat Umum Dividen 17 Peratus Bagi Tahun Kewangan 2024, Raih Keuntungan RM1.82 Bilion


KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) — Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 17 peratus berjumlah RM486.32 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024.

Dividen ini akan memanfaatkan sejumlah 773,859 anggota yang akan mula dibayar bermula hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata bank itu mengekalkan pembayaran dividen dua digit sejak 20 tahun lepas.

“Saya yakin pencapaian ini adalah hasil komitmen Bank Rakyat untuk memenuhi mandat dalam meningkatkan kesejahteraan ekonomi anggota dan pelanggan di samping memberikan keadilan dan kemakmuran merentasi semua lapisan masyarakat,” katanya dalam taklimat media di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata bank itu mencatatkan peningkatan sebanyak 3.15 peratus tahun ke tahun dalam keuntungan sebelum cukai dan zakat kepada RM1.82 bilion daripada RM1.76 bilion pada tahun kewangan 2023.

“Ini telah dicapai melalui kekukuhan asas dan fokus terhadap aktiviti teras, didorong oleh keadaan ekonomi domestik yang bertambah baik. Faktor ini membolehkan bank ini untuk kekal berdaya tahan meskipun dalam ketidaktentuan pasaran ekonomi global dan persekitaran perbankan yang semakin mencabar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat yang baru dilantik Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata bank ini menyasarkan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan dengan menyasarkan pasaran bukan bumiputera.

“Kami sedang bekerjasama dengan rakan kongsi untuk meneroka segmen ini. Kami telah melancarkan beberapa program terutamanya untuk komuniti India dan banyak lagi yang akan dilaksanakan.

“Paling penting, kami bekerjasama dengan pemain utama untuk membantu kami menjangkau pasaran ini. Walaupun kami telah terlibat dengan segmen ini sebelum ini, kami kini menggiatkan usaha, terutamanya memandangkan majoriti pendeposit kami bukan bumiputera, yang menyumbang kepada asas pelanggan sedia ada yang kukuh,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian