RM38.3 Juta Diperuntuk Bagi Program Getah Terbiar, Beri Manfaat 8,890 Pekebun Kecil

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) — Kerajaan memperuntukkan RM38.3 juta bagi pelaksanaan Program Getah Terbiar (PGT) tahun ini yang memberi manfaat kepada hampir 8,890 pekebun kecil di seluruh negara, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, berkata daripada jumlah itu, seramai 218 pekebun kecil di Sarawak, khususnya di Betong, telah menerima manfaat dengan nilai keseluruhan RM1.5 juta.

“Kementerian melalui RISDA (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) telah memastikan kebun getah matang yang tidak bertoreh di Sarawak dikenal pasti secara menyeluruh berdasarkan laporan Banci RISDA 2023.

“Laporan ini merekodkan seluas 94,800 hektar melibatkan seramai 63,000 pekebun kecil. Sehingga September 2025, sebanyak 793 hektar kebun telah berjaya diaktifkan semula melalui PGT,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Richard Rapu @Aman Begri (GPS-Betong) yang ingin mengetahui perancangan jangka panjang kementerian bagi memastikan kebun getah matang yang tidak bertoreh di Sarawak dapat diaktifkan semula menerusi PGT 2025 dan seterusnya, termasuk sasaran produktiviti lima hingga 10 tahun akan datang serta strategi sokongan harga dan pasaran getah.

Rubiah berkata PGT akan terus diperkukuh di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan sasaran mengaktifkan semula 3,100 hektar kebun tidak bertoreh di Sarawak, iaitu kira-kira 625 hektar setahun bagi meningkatkan pengeluaran getah secara mampan.

“Melalui usaha ini, kementerian menjangkakan pengeluaran getah dapat ditingkatkan secara berterusan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya.

Selain itu, beliau berkata RISDA turut memperluas kaedah jualan berkelompok dan memperkenalkan Program Pemasaran Getah Bergerak (PGB) dengan lima unit kenderaan di Sarawak serta dua unit tambahan pada RMK13 bagi membantu pekebun kecil menikmati harga yang lebih adil.

Menjawab soalan tambahan Richard Rapu, mengenai inisiatif semasa untuk menarik minat pekebun kecil kembali mengusahakan tanaman getah, Rubiah berkata kerajaan menawarkan pelbagai insentif dan sokongan termasuk melalui pelaksanaan Program Pemulihan Kebun Getah Terbiar.

Beliau berkata program itu menyediakan bantuan baja, racun rumpai, set alat menoreh dan penyelenggaraan kebun bernilai RM3,600 sehektar yang dilaksanakan melalui anak syarikat RISDA Plantation Sdn Bhd.

“Usaha meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah sentiasa dilaksanakan, antaranya melalui pengenalan harga in sentif RM3 bagi harga siling dan bantuan musim tengkujuh,” katanya.

Beliau berkata kementerian juga akan mengemukakan cadangan baharu kepada kerajaan bagi memastikan produktiviti ladang getah yang diusahakan pekebun kecil dapat ditingkatkan supaya hasilnya lebih banyak sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.

“Kita percaya melalui cadangan seperti ini, pengeluaran getah dapat ditingkatkan dan pekebun kecil getah akan kembali mengusahakan tanaman getah,” katanya.
– BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Prospek Pusat Data, Tenaga Lonjak Pertumbuhan Kee Ming

KUALA LUMPUR: Kee Ming Group (KM) berada di landasan kukuh untuk mencatat pertumbuhan pendapatan yang lebih mampan, disokong rekod buku tender bernilai RM1.7 bilion setakat Mei 2026 yang dijangka menjadi pemacu utama perolehan kontrak baharu syarikat.

Maybank Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya berkata, momentum kemenangan kontrak syarikat kejuruteraan itu dijangka kekal kukuh dalam tempoh beberapa tahun akan datang berdasarkan aliran tender semasa.

Penganalisisnya, Thong Kei Jun, mengandaikan kadar kemenangan sejarah syarikat sebanyak 15 peratus bagi perolehan kerja baharu.

“Berdasarkan rekod prestasi, kadar kemenangan sejarah ini berpotensi diterjemahkan kepada tambahan RM250 juta bagi penambahan semula buku pesanan dalam tahun kewangan 2027 (FY27E),” katanya.

Menurut laporan itu, Kee Ming turut berada pada kedudukan yang baik untuk mengembangkan penglibatan dalam projek infrastruktur kuasa voltan tinggi (HV) serta pencawang pusat data (DC), sejajar dengan permintaan yang terus meningkat dalam kedua-dua segmen berkenaan.

Komitmen syarikat dalam sektor yang sedang berkembang pesat itu dibuktikan menerusi kejayaan memperoleh kerja subkontrak bagi pembangunan fasiliti pusat data berskala hiper.

Antara kontrak yang diperoleh ialah kerja subkontrak bernilai RM6.7 juta di Elmina Business Park 1A serta projek bernilai RM21.4 juta di Puncak Alam yang dianugerahkan oleh kontraktor pihak ketiga.

Dari sudut sinergi korporat, penyertaan Solarvest sebagai pemegang saham utama dengan pegangan 23.9 peratus terus memberikan kelebihan daya saing kepada Kee Ming.

Baru-baru ini, syarikat itu menerima surat penganugerahan (LOA) bernilai RM70 juta daripada Solarvest bagi membina fasiliti saling sambungan (IF) untuk ladang solar berkapasiti 100 megawatt (MW) di Kedah.

Kontrak berkenaan meningkatkan baki buku pesanan tertunggak Kee Ming sebanyak 40 peratus kepada RM243.3 juta berbanding RM173.2 juta sebelum ini.

Susulan perkembangan positif itu, Maybank Investment Bank menaikkan unjuran pendapatan Kee Ming bagi tahun kewangan 2027 hingga 2029 sebanyak 18 peratus hingga 29 peratus, sejajar semakan sasaran penambahan buku pesanan kepada antara RM350 juta dan RM470 juta.

Firma itu turut mengekalkan saranan “Beli” terhadap saham Kee Ming serta menaikkan harga sasaran kepada RM1.94 sesaham, yang mewakili potensi kenaikan sekitar 21 peratus daripada paras semasa.

— Berita Harian