SC: Penerimaan Tadbir Urus Korporat PLC Malaysia Lebih Baik

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini menerbitkan Pemantauan Tadbir Urus Korporat 2025 (CG Monitor), yang menggariskan kemajuan berterusan dalam penerimaan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) oleh syarikat awam tersenarai (PLC).

Laporan CG Monitor memberi pandangan berasaskan data untuk membimbing intervensi yang disasarkan dan memaklumkan penambahbaikan dasar menjelang semakan MCCG akan datang. SC akan menyemak semula MCCG, yang kali terakhir dikemas kini pada tahun 2021, seperti yang dirancang pada tahun depan.
Penemuan utama daripada Laporan CG Monitor termasuk:

  1. Penerimaan keseluruhan yang kukuh
    a. Tahap penerimaan kekal positif dengan 33 daripada 48 amalan terbaik mencatatkan tahap penerimaan sekurang-kurangnya 90% (2024: 30 amalan).
    b. Tadbir urus lembaga menunjukkan peningkatan ketara, termasuk trend penurunan pengerusi lembaga yang berkhidmat dalam jawatankuasa lembaga.
    – Terkini, 73% PLC tidak lagi mempunyai pengerusi lembaga mereka menganggotai jawatankuasa lembaga, (2024: 63%), mencerminkan semakan dan imbangan yang lebih kukuh serta usaha untuk mengurangkan risiko semakan kendiri.

c. Amalan berkaitan kemampanan juga terus diperkukuh, dengan lembaga dan pengurusan memformalkan pengawasan dan mengikuti jangkaan pelaporan negara.

2. Kemajuan lebih perlahan diperhatikan untuk amalan yang memerlukan perubahan tingkah laku
a. Walaupun penerimaan keseluruhan kekal kukuh, beberapa amalan terus memberi cabaran, terutamanya yang memerlukan perubahan dalam budaya dan tingkah laku organisasi.

b. Kepelbagaian lembaga

– Jawatan pengarah dipegang sebanyak 34.1% oleh golongan wanita dalam 100 PLC teratas dan 28.7% merentasi semua PLC.

– Walau bagaimanapun, hanya 45% daripada jumlah PLC telah mencapai sekurang-kurangnya 30% perwakilan wanita dalam lembaga mereka.

c. Pendedahan imbuhan eksekutif

– Hanya 5% PLC mendedahkan imbuhan terperinci pengurusan kanan mereka.

d. Kebanyakan amalan Step-Up 1 juga mencatatkan penerimaan yang rendah, sebahagiannya disebabkan oleh salah tanggapan bahawa amalan ini hanya terpakai kepada syarikat besar.

  1. Tahap kualiti pendedahan yang berbeza-beza

a. Walaupun tahap penerimaan menggalakkan, kualiti pendedahan adalah berbeza- beza. Sesetengah PLC menyediakan pendedahan yang komprehensif dan berguna untuk membuat keputusan. Sementara itu, syarikat lain menunjukkan pendedahan generik, disertai justifikasi lemah yang boleh menjurus ke arah
penyimpangan aplikasi yang tidak konsisten.

CG Monitor 2025 juga mengetengahkan perkembangan penerimaan MCCG 2021, yang mencerminkan bagaimana amalan telah berkembang sejak diperkenalkan pada tahun 2021.

Melangkaui tahap penerimaan, ukuran sebenar amalan tadbir urus terletak pada sejauh mana amalan tersebut dilaksanakan dengan berkesan untuk mewujudkan nilai dan daya tahan jangka panjang. Lembaga mesti menterjemahkan prinsip-prinsip ini ke dalam tindakan semasa mereka mengendalikan sempadan tadbir urus yang baru muncul.

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata penciptaan nilai (value creation) kekal sebagai objektif utama tadbir urus korporat yang baik.

“Seiring syarikat-syarikat mara ke sempadan baharu, lembaga pengarah semakin menerapkan keutamaan berorientasikan masa depan seperti transformasi digital, tadbir urus AI dan keselamatan siber ke dalam pengawasan mereka.

“Penting bagi pilihan teknologi hari ini membawa implikasi strategik, etika dan akauntabiliti, yang memerlukan perhatian lembaga pengarah yang melangkaui lensa IT tradisional,” katanya.

Pandangan daripada CG Monitor 2025 juga akan membimbing semakan yang dicadangkan kepada MCCG. Semakan ini bertujuan untuk memperkukuh bidang utama seperti kepimpinan dan keberkesanan lembaga pengarah, tadbir urus teknologi, pengawasan risiko dan penglibatan pihak berkepentingan.

SC juga akan menjalankan Tinjauan Pasaran untuk mengumpul maklum balas tentang trend tadbir urus baru muncul dan perkembangan global yang akan memberi kesan kepada PLC. Jika panduan lanjut atau alat praktikal diperlukan untuk menyokong penerimaan, SC akan memastikan perkara ini dipertimbangkan dalam semakan MCCG yang akan datang.

Untuk butiran lanjut, muat turun Monitor CG 2025 di sini.

Previous ArticleNext Article

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.