
Wangsa Melawati, Kuala Lumpur, 10 Januari 2026 — Majlis Perasmian Ar-Rahnu Koperasi Kakitangan Bank Simpanan Nasional Berhad (KOBANAS) Cawangan Wangsa Melawati serta KOBANAS Wellness telah berlangsung dengan jayanya dalam suasana penuh bermakna dan berprestij.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Dihormati Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan bin Jalal (B), Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Turut hadir ialah YBrs. Tuan Haji Efendee O. P. Andu, Naib Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) SKM, YBrs. Tuan Haji Fadilah bin Salim, Pengarah SKM Cawangan Wilayah Persekutuan, barisan pegawai kanan SKM serta Encik Hamzah bin Haji Ibrahim, Pengerusi KOBANAS bersama Ahli Lembaga Koperasi KOBANAS.
Pembukaan cawangan kelima Ar-Rahnu KOBANAS ini mencerminkan iltizam berterusan koperasi dalam memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan patuh Syariah, di samping memperkukuh keyakinan anggota serta meningkatkan daya saing dan ketahanan KOBANAS sebagai sebuah entiti ekonomi yang mampan.
Majlis ini turut mengetengahkan kerjasama strategik antara KOBANAS dan I-Medikel dalam pengoperasian Farmasi KOBANAS di Alam Budiman, selain pelancaran KOBANAS Wellness yang menawarkan pelbagai produk kesihatan bagi mempromosikan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anggota dan komuniti setempat.
Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat, majlis ini turut menyaksikan penyampaian cek cura sumbangan Program Ihya’ Ramadan kepada Masjid Al-Muttaqin, Wangsa Melawati, sebagai tanda komitmen KOBANAS dalam menyokong pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Secara keseluruhannya, majlis perasmian ini mencerminkan komitmen berterusan KOBANAS dalam memperkukuh perkhidmatan koperasi, menyokong kesejahteraan komuniti serta memacu pertumbuhan koperasi yang inklusif dan mampan selaras dengan aspirasi pembangunan ekonomi negara.










