Bursa Malaysia Integrasikan Penarafan Tadbir Urus Korporat Di MyBURSA Bagi Menyokong Keputusan Pelaburan Yang Lebih Bermaklumat

Kuala Lumpur, Malaysia – Bursa Malaysia Berhad (“Bursa Malaysia” atau “Bursa”) hari ini mengumumkan bahawa Penarafan Tadbir Urus Korporat (Corporate Governance, CG) bagi syarikat tersenarai awam (PLC) di Pasaran Utama dan Pasaran ACE yang dinilai secara bebas kini diterbitkan di platform MyBURSA. Penambahbaikan ini membolehkan pelabur dan peserta pasaran mengakses penarafan CG bagi setiap PLC, sekali gus meningkatkan ketelusan pasaran dan memperkukuh daya tarikan syarikat Malaysia.

Penarafan ini diperoleh daripada penilaian yang dijalankan oleh Minority Shareholders Watch Group (MSWG), selaku Badan Penarafan Domestik, menggunakan metodologi ASEAN Corporate Governance Scorecard (ACGS). Metodologi ini selaras dengan Prinsip Tadbir Urus Korporat G20/OECD dan disokong oleh ASEAN Capital Markets Forum (ACMF). Inisiatif ini membolehkan pelabur membandingkan piawaian tadbir urus merentas pasaran berdasarkan standard dan amalan terbaik antarabangsa.

Ketua Pegawai Kawal Selia Bursa Malaysia, Julian M Hashim berkata, “Dengan Penarafan CG kini boleh diakses menerusi MyBURSA, pelabur dapat menilai tahap tadbir urus syarikat tersenarai awam bersama-sama data penting lain, sekali gus membolehkan penilaian risiko yang lebih menyeluruh dan analisis nilai jangka panjang. Bagi PLC, keterlihatan Penarafan CG berfungsi sebagai penanda aras untuk penambahbaikan berterusan serta meningkatkan daya saing dalam menarik modal domestik dan global.”

Beliau menambah, “Melalui integrasi Penarafan CG ke dalam MyBURSA, yang melengkapi Penarafan ESG yang sedia ada di platform tersebut, Bursa Malaysia berhasrat untuk meningkatkan piawaian tadbir urus, menggalakkan penambahbaikan berterusan dalam kalangan PLC, serta memperkukuh daya tarikan pasaran modal Malaysia kepada pelabur dengan menyediakan maklumat yang komprehensif, berguna untuk membuat keputusan dan boleh dibandingkan.”

Penilaian oleh MSWG adalah berdasarkan maklumat yang didedahkan kepada umum, termasuk Laporan Tahunan, Laporan Tadbir Urus Korporat, Laporan Kelestarian, serta maklumat lain yang relevan dalam domain awam.

Maklumat lanjut mengenai metodologi dan skor ACGS boleh didapati di laman sesawang MSWG:
https://mswg.org.my/analytics/

Previous ArticleNext Article

Vincent Tan Tingkat Pegangan Dalam Berjaya Corp, Beli 59.97 Juta Saham Berharga RM14.05 Juta

KUALA LUMPUR: Tan Sri Vincent Tan meningkatkan pegangan saham langsungnya dalam Berjaya Corp Bhd dengan membeli sejumlah 59.97 juta saham.

Urus niaga itu dibuat hanya beberapa minggu selepas beliau tidak lagi diklasifikasikan sebagai pemegang saham utama dalam syarikat itu.

Hartawan itu membeli saham berkenaan, yang bersamaan pegangan 1.02 peratus dalam Berjaya Corp, daripada Berjaya Assets Bhd pada harga RM14.05 juta, menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Saham berkenaan sebelum ini dipegang oleh Berjaya Bright Sdn Bhd dan Berjaya Times Square Sdn Bhd, yang kedua-duanya merupakan anak syarikat milik penuh Berjaya Assets.

Transaksi itu dibuat tidak lama selepas Vincent Tan membeli 60 juta lagi saham Berjaya Corp, bersamaan pegangan 1.01 peratus, menerusi urus niaga perniagaan langsung pada 8 Jun lalu dengan nilai RM14.1 juta atau 23.5 sen sesaham.

Pembelian terbaharu itu menyusuli siri pelupusan saham yang dilakukan Vincent Tan kurang daripada sebulan lalu.

Pada penghujung Mei, beliau menjual keseluruhan 461.65 juta saham Berjaya Corp menerusi tujuh transaksi berasingan yang melibatkan pegangan langsung dan pegangan tidak langsung, dengan nilai kira-kira RM115 juta.

Susulan pembelian terkini itu, pegangan langsung Vincent Tan dalam Berjaya Corp Bhd meningkat kepada 6.13 peratus, manakala pegangan tidak langsungnya kini berada pada 10.96 peratus.

— Berita Harian