Bursa Malaysia Perluas Akses Perdagangan Niaga Hadapan Dengan Pelancaran Mini FTSE Bursa Malaysia KLCI Futures

Kuala Lumpur, Malaysia, 23 Januari 2026 – Bursa Malaysia Berhad (“Bursa Malaysia” atau “Bursa”) akan melancarkan produk niaga hadapan baharu, Mini FTSE Bursa Malaysia KLCI Futures (FKLM), pada Isnin, 26 Januari 2026. Kontrak niaga hadapan baharu ini direka untuk memperluas akses pelabur serta menyediakan pintu masuk yang lebih mampu milik ke pasaran derivatif Malaysia.

FKLM merupakan versi bersaiz lebih kecil bagi FTSE Bursa Malaysia KLCI Futures (FKLI), yang menjejaki indeks penanda aras utama negara, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), yang terdiri daripada 30 syarikat tersenarai terbesar di Bursa Malaysia berdasarkan permodalan pasaran. Setiap kontrak FKLM bernilai RM10 bagi setiap mata indeks, berbanding RM50 bagi setiap mata indeks untuk FKLI, menjadikan FKLM bersaiz satu perlima daripada kontrak FKLI standard. Saiz kontrak yang lebih kecil ini mengurangkan keperluan modal permulaan, sekali gus menjadikan niaga hadapan indeks lebih mudah diakses oleh pelabur runcit.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed berkata, “Inovasi produk kekal sebagai teras strategi kami sebagai sebuah bursa pelbagai aset. Pelancaran FKLM menandakan satu lagi langkah ke hadapan dalam memperluas akses kepada perdagangan derivatif, menjadikan penyertaan lebih inklusif untuk pelabur berpengalaman mahupun orang awam. Dengan memperluaskan kebolehcapaian pasaran, kami mengukuhkan kecairan dan menyokong pertumbuhan mampan pasaran modal Malaysia.”

Melalui FKLM, pelabur boleh memperoleh pendedahan berleveraj kepada FBM KLCI, sekali gus menyediakan alternatif untuk menyertai pasaran sama ada dalam keadaan menaik atau menurun dengan penggunaan modal yang lebih cekap. Saiz kontrak yang lebih kecil juga memberi fleksibiliti yang lebih tinggi dalam melaraskan kedudukan serta boleh digunakan sebagai alat lindung nilai, membantu pelabur mengurus turun naik pasaran jangka pendek tanpa perlu melikuidasi pegangan jangka panjang mereka.

Pengarah Derivatif & Pasaran Karbon Bursa Malaysia, Mohd Saleem Kader Bakas berkata, “Sejak bertahun-tahun lalu, pelabur runcit secara konsisten menyumbang kepada bahagian yang signifikan dalam aktiviti dagangan FKLI. Pengenalan FKLM menawarkan pendedahan yang sama pada tahap kemasukan yang lebih mampu milik, membolehkan kumpulan pelabur yang lebih luas menyertai pengurusan pelaburan dan strategi portfolio.”

Seperti FKLI, FKLM akan didagangkan semasa Sesi Dagangan Pagi dan Petang (8:45 pagi hingga 5:15 petang waktu Malaysia, Isnin hingga Jumaat) serta Sesi Dagangan Selepas Waktu Dagangan (T+1) (9:00 malam hingga 2:30 pagi waktu Malaysia, Isnin hingga Khamis).

Untuk maklumat lanjut mengenai FKLM, sila layari:
https://www.bursamalaysia.com/trade/our_products_services/derivatives/equity_derivatives/mini-ftse-bursa-malaysia-klci-futures-fklm

Previous ArticleNext Article

Vincent Tan Tingkat Pegangan Dalam Berjaya Corp, Beli 59.97 Juta Saham Berharga RM14.05 Juta

KUALA LUMPUR: Tan Sri Vincent Tan meningkatkan pegangan saham langsungnya dalam Berjaya Corp Bhd dengan membeli sejumlah 59.97 juta saham.

Urus niaga itu dibuat hanya beberapa minggu selepas beliau tidak lagi diklasifikasikan sebagai pemegang saham utama dalam syarikat itu.

Hartawan itu membeli saham berkenaan, yang bersamaan pegangan 1.02 peratus dalam Berjaya Corp, daripada Berjaya Assets Bhd pada harga RM14.05 juta, menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Saham berkenaan sebelum ini dipegang oleh Berjaya Bright Sdn Bhd dan Berjaya Times Square Sdn Bhd, yang kedua-duanya merupakan anak syarikat milik penuh Berjaya Assets.

Transaksi itu dibuat tidak lama selepas Vincent Tan membeli 60 juta lagi saham Berjaya Corp, bersamaan pegangan 1.01 peratus, menerusi urus niaga perniagaan langsung pada 8 Jun lalu dengan nilai RM14.1 juta atau 23.5 sen sesaham.

Pembelian terbaharu itu menyusuli siri pelupusan saham yang dilakukan Vincent Tan kurang daripada sebulan lalu.

Pada penghujung Mei, beliau menjual keseluruhan 461.65 juta saham Berjaya Corp menerusi tujuh transaksi berasingan yang melibatkan pegangan langsung dan pegangan tidak langsung, dengan nilai kira-kira RM115 juta.

Susulan pembelian terkini itu, pegangan langsung Vincent Tan dalam Berjaya Corp Bhd meningkat kepada 6.13 peratus, manakala pegangan tidak langsungnya kini berada pada 10.96 peratus.

— Berita Harian