microLEAP Perkukuh SARANA Seiring Pertumbuhan Pembiayaan P2P Dalam Perolehan Kerajaan

Kuala Lumpur, Malaysia – Februari 6, 2026 – Keupayaan microLEAP untuk melaksanakan SARANA disokong oleh prestasi platformnya yang kukuh, mencerminkan tahap keyakinan yang semakin meningkat dalam kalangan perniagaan dan pelabur terhadap pembiayaan rakan setara (P2P) yang dikawal selia. Sepanjang tahun 2025, microLEAP telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM295 juta merangkumi 341 Nota Pelaburan, menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan yang disalurkan sejak penubuhan kepada RM545 juta. Pada masa yang sama, kadar gagal bayar kekal rendah pada 0.30%, iaitu yang terendah pernah direkodkan setakat ini. Tahun yang sama turut menyaksikan pertumbuhan lebih 135% dari segi jumlah pembiayaan yang disalurkan berbanding 2024, sekali gus mencerminkan penyertaan pelabur yang berterusan serta kualiti portfolio yang semakin kukuh.

Pencapaian ini meletakkan microLEAP sebagai penanda aras kepada tahap kematangan dan penerimaan pembiayaan P2P di Malaysia. Seiring dengan penekanan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia terhadap peranan platform P2P yang semakin berkembang dalam menyokong perniagaan tempatan, rekod prestasi microLEAP menunjukkan bagaimana penilaian kredit yang berdisiplin, pemantauan aktif, dan pelaksanaan program yang tersusun mampu menerjemahkan aspirasi dasar kepada hasil ekonomi yang nyata. Dalam konteks ini, SARANA bukan sekadar satu skim pembiayaan, malah menjadibukti bagaimana pembiayaan P2P boleh diintegrasikan secara bertanggungjawab dalam kerangka kerja perolehan nasional dan pembiayaan PKS.

Berlandaskan latar ini, microLEAP terus memperkukuh kesedaran terhadap SARANA, skim pembiayaan yang direka khusus untuk menyokong kontraktor tempatan dan PKS yang melaksanakan projek Kerajaan Persekutuan yang dianugerahkan melalui sistem e-Perolehan. Walaupun kontrak kerajaan memberikan jaminan kerja, cabaran aliran tunai pada peringkat pelaksanaan kekal sebagai antara isu utama yang dihadapi para kontraktor, khususnya semasa fasa mobilisasi, perolehan, dan pembayaran kepada subkontraktor, di samping keperluan menyesuaikan diri dengan kitaran pembayaran kerajaan.

Secara tradisinya, kontraktor banyak bergantung kepada kemudahan perbankan dan pembiayaan faktoring bagi menampung jurang aliran tunai ini. Namun, pendekatan tersebut sering melibatkan proses yang lebih perlahan, dokumentasi yang kompleks, serta kadar keuntungan yang lebih tinggi, terutamanya bagi pembiayaan jangka pendek atau berasaskan kontrak. Keadaan ini mewujudkan jurang yang berterusan antara kejayaan memperoleh projek dan akses yang pantas kepada modal kerja, terutamanya bagi kontraktor berskala kecil.

SARANA menangani jurang ini dengan mengintegrasikan pembiayaan P2P yang dikawal selia secara rasmi ke dalam ekosistem pembiayaan perolehan kerajaan melalui e-Perolehan. Dengan pengiktirafan platform P2P sebagai sebahagian daripada landskap pembiayaan yang diluluskan, SARANA memperluas pilihan pembiayaan kepada kontraktor serta menyediakan laluan pembiayaan modal kerja yang lebih pantas, digital, dan selari dengan keperluan pelaksanaan projek. Langkah ini menandakan peralihan penting, di mana pembiayaan P2P bukan lagi sekadar alternatif, tetapi menjadi komponen yang bersepadu dalam sokongan penyampaian projek.

Menerusi SARANA di microLEAP, kontraktor yang layak boleh memperoleh pembiayaan sehingga RM1.5 juta dengan tempoh sehingga 12 bulan, yang disusun untuk menyokong keperluan pembiayaan pra-invois, pasca-invois, dan berasaskan kontrak. Program ini menawarkan kadar keuntungan  1.25% sebulan sahaja, pada tahap yang kompetitif dalam pembiayaan kontrak kerajaan. Lebih penting, kekuatan SARANA terletak pada strukturnya, di mana kelayakan pembiayaan disandarkan kepada kontrak kerajaan yang disahkan, terma pembayaran yang jelas, serta dokumentasi piawai seperti Notis Serahan Hak dan Surat Ikatan Serahan Hak (Deed of Assignment). Pendekatan ini mengurangkan halangan kepada kontraktor yang sah, disamping memberikan kejelasan dan keyakinan kepada pelabur.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar, berkata bahawa peringkat pelaksanaan projek kekal sebagai titik tekanan paling kritikal bagi kebanyakan kontraktor kerajaan, walaupun projek telah disahkan. “Memenangi kontrak hanyalah permulaan. Cabaran sebenar bermula apabila perniagaan perlu menggerakkan sumber, mengurus aliran tunai, dan memenuhi garis masa yang ketat sementara menunggu kitaran pembayaran,” katanya.

Beliau menambah bahawa SARANA direka untuk menangani keperluan ini secara langsung dengan menawarkan pilihan pembiayaan yang lebih pantas, praktikal, dan sejajar dengan realiti pelaksanaan projek. “Prestasi kami membuktikan bahawa pembiayaan P2P, apabila distrukturkan secara bertanggungjawab dan ditadbir dengan disiplin, mampu menyokong perniagaan pada skala yang lebih besar sambil mengekalkan kualiti portfolio yang kukuh serta keyakinan pelabur,” katanya lagi.

Permohonan pembiayaan SARANA kini dibuka kepada kontraktor yang layak melalui portal khas microLEAP di sarana.microleapasia.com/login.

Previous ArticleNext Article

Pelaburan Automotif Di Kulim: Lebih 5,000 Porsche Cayenne Dipasang, Apa Manfaatnya Kepada Ekonomi Malaysia?

Bila dengar cerita Porsche Cayenne dipasang di Kulim, mesti ada yang terus terfikir, “Eh, Porsche pun pasang dekat Malaysia?”

Apabila kita bercakap tentang pelaburan asing, perkara pertama yang sering terlintas ialah jumlah modal yang dibawa masuk ke Malaysia.

Namun, pelaburan berkualiti bukan sekadar tentang berapa bilion ringgit yang dilaburkan. Persoalan yang lebih penting ialah: Apa yang Malaysia dapat dalam jangka panjang?

Adakah pelaburan tersebut mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi? Adakah syarikat tempatan mendapat peluang menjadi vendor? Adakah teknologi dan kepakaran baharu dapat dipindahkan kepada tenaga kerja tempatan?

Lawatan teknikal Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, ke fasiliti Inokom di Kulim pada 14 September 2026 memberikan gambaran tentang bagaimana pelaburan dalam sektor automotif boleh menyumbang kepada pembangunan keupayaan industri tempatan.

Inokom Kulim: Hab pemasangan automotif bernilai strategik

Menurut Kementerian Kewangan, Inokom mengendalikan sebuah hab pemasangan automotif seluas 200 ekar di Kulim, Kedah.

Fasiliti ini kini menghimpunkan 7 jenama dan 29 model kenderaan, dengan jumlah lebih 530,000 unit kenderaan telah dipasang sejak mula beroperasi.

Selain memenuhi permintaan pasaran tempatan, operasi Inokom turut mempunyai orientasi eksport, dengan kadar eksport mencecah 20%.

Angka ini menunjukkan bahawa aktiviti pemasangan kenderaan di Malaysia bukan semata-mata untuk pasaran domestik. Ia juga berpotensi menjadi sebahagian daripada rangkaian pengeluaran automotif antarabangsa.

Porsche di Kulim: Daripada pemasangan kepada pemindahan kepakaran

Antara fasiliti yang menjadi tumpuan lawatan ialah kilang pemasangan Porsche, yang merupakan fasiliti pemasangan pertama Porsche di luar Eropah.

Fasiliti ini dilancarkan pada 2022 dan diperluas kepada keluasan 11,000 meter persegi pada 2024 bagi menyokong pemasangan model Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupé.

Menurut Kementerian Kewangan, sehingga Mac 2026, lebih 5,000 unit model tersebut telah dipasang di Kulim.

Persoalannya, apakah nilai sebenar di sebalik angka 5,000 unit ini?

Dalam industri automotif, pemasangan kenderaan berjenama premium memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran teknikal, kawalan kualiti, kejuruteraan proses dan pemahaman terhadap piawaian pengeluaran global.

Ini bermakna manfaat pelaburan tidak semestinya terhad kepada nilai kenderaan yang dihasilkan. Ia juga boleh merangkumi pembangunan kemahiran, pengalaman operasi dan keupayaan tenaga kerja tempatan untuk mengendalikan proses pengeluaran yang lebih kompleks.

100% tenaga kerja rakyat Malaysia

Satu lagi perkara yang diketengahkan dalam lawatan tersebut ialah tenaga kerja Inokom yang terdiri daripada 100% rakyat Malaysia.

Kementerian Kewangan turut berkongsi kisah Eisqil Yuliana, yang memulakan kerjaya melalui program PROTÉGÉ Sime pada 2019 sebelum menyertai Inokom sebagai jurutera proses.

Beliau kini mengetuai bahagian Kejuruteraan di Porsche Production Plant.

Kisah ini menggambarkan salah satu aspek penting pelaburan berkualiti, iaitu pembangunan bakat tempatan.

Pelaburan asing yang disertai peluang latihan, pengalaman teknikal dan laluan kerjaya boleh membantu meningkatkan keupayaan tenaga kerja Malaysia. Dalam jangka panjang, kemahiran ini berpotensi digunakan bukan sahaja dalam satu kilang, tetapi juga dalam keseluruhan ekosistem industri automotif.

Namun, untuk menilai kesan sebenar kepada pasaran buruh, data seperti jumlah pekerjaan berkemahiran tinggi, pertumbuhan gaji, peluang kenaikan pangkat dan jumlah tenaga kerja yang menerima latihan khusus juga perlu dilihat.

RM3 bilion kepada vendor tempatan

Pelaburan dalam sektor automotif turut memberi kesan kepada syarikat-syarikat yang berada di luar kawasan kilang.

Menurut Kementerian Kewangan, kira-kira RM3 bilion telah disumbangkan kepada vendor tempatan, merangkumi komponen, logistik dan pelbagai perkhidmatan sokongan.

Inilah antara aspek penting dalam konsep kesan pengganda ekonomi.

Sebuah kilang automotif bukan hanya memerlukan pekerja di barisan pemasangan. Ia juga memerlukan pembekal komponen, syarikat logistik, perkhidmatan penyelenggaraan, pengurusan gudang, kawalan kualiti dan pelbagai perkhidmatan sokongan yang lain.

Apabila lebih banyak perolehan disalurkan kepada syarikat tempatan, peluang untuk perusahaan kecil dan sederhana berkembang turut terbuka.

Bagaimanapun, nilai RM3 bilion tersebut perlu difahami mengikut skopnya. Ia merujuk kepada sumbangan kepada vendor tempatan yang dinyatakan oleh kementerian, dan tidak semestinya sama dengan nilai tambah bersih kepada ekonomi Malaysia atau keuntungan yang diperoleh oleh vendor.

Mengapa pemindahan teknologi penting?

Malaysia telah lama terlibat dalam industri pemasangan automotif. Tetapi cabaran utama adalah bagaimana untuk bergerak daripada aktiviti pemasangan kepada aktiviti yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.

Dalam konteks ini, pelaburan berkualiti boleh dinilai melalui beberapa persoalan:

  1. Adakah syarikat tempatan mendapat peluang membekalkan komponen bernilai tinggi?
  2. Adakah tenaga kerja Malaysia menguasai teknologi dan proses pengeluaran baharu?
  3. Adakah lebih banyak aktiviti kejuruteraan, reka bentuk dan penyelidikan boleh dibangunkan di Malaysia?
  4. Adakah vendor tempatan mampu memenuhi piawaian pengeluar antarabangsa?
  5. Adakah syarikat tempatan berpeluang berkembang daripada pembekal biasa kepada pembekal strategik dalam rantaian bekalan global?

Semakin banyak aktiviti bernilai tinggi dapat dijalankan di Malaysia, semakin besar potensi pelaburan tersebut untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing industri tempatan.

GEAR-uP dan pendekatan capital-to-capabilities

Kementerian Kewangan mengaitkan perkembangan ekosistem Inokom dengan pendekatan capital-to-capabilities melalui program GEAR-uP di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

Secara asasnya, pendekatan ini menekankan bahawa modal dan pelaburan perlu digunakan untuk membina keupayaan negara.

Ini termasuk memperkukuh sektor strategik, meningkatkan kemahiran tenaga kerja, memindahkan pengetahuan dan membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk naik ke rantaian nilai.

Dalam sektor automotif, matlamatnya bukan sekadar menghasilkan lebih banyak kenderaan. Ia juga berkaitan dengan keupayaan untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang lebih kompleks, meningkatkan standard industri serta membina syarikat tempatan yang lebih berdaya saing.

Apa yang perlu diperhatikan selepas ini?

Perkembangan Inokom di Kulim menunjukkan bagaimana pelaburan automotif boleh dikaitkan dengan pekerjaan, vendor tempatan dan keupayaan industri.

Namun, untuk mengukur kejayaan pelaburan secara menyeluruh, beberapa indikator penting perlu dipantau dari semasa ke semasa:

  • Nilai tambah domestik: Berapa banyak nilai ekonomi yang benar-benar dihasilkan di Malaysia?
  • Kandungan tempatan: Berapa besar bahagian komponen dan perkhidmatan yang diperoleh daripada vendor tempatan?
  • Produktiviti pekerja: Adakah kemahiran dan produktiviti tenaga kerja meningkat?
  • Gaji dan kerjaya: Adakah pekerjaan yang diwujudkan menawarkan pendapatan serta laluan kerjaya yang lebih baik?
  • Keupayaan vendor: Adakah syarikat tempatan berjaya memasuki rantaian bekalan global?
  • Aktiviti bernilai tinggi: Adakah Malaysia semakin terlibat dalam kejuruteraan, pembangunan teknologi dan penyelidikan automotif?

Kesemua indikator ini membantu membezakan antara pelaburan yang sekadar menambah kapasiti pengeluaran dengan pelaburan yang turut membina asas ekonomi untuk jangka panjang.

Pelaburan bukan sekadar angka modal

Daripada fasiliti pemasangan Porsche di Kulim kepada vendor tempatan dan tenaga kerja Malaysia, kesan sesuatu pelaburan perlu dilihat secara lebih luas.

Jumlah unit yang dipasang, nilai pelaburan dan kadar eksport memang penting. Tetapi nilai strategiknya juga terletak pada keupayaan untuk membangunkan bakat, memperkukuh syarikat tempatan dan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global.

Kerana pada akhirnya, pelaburan yang memberi kesan jangka panjang bukan sekadar membina kilang. Ia membina kemahiran, syarikat, teknologi dan peluang ekonomi untuk generasi seterusnya.