MyCIF Perkenal Skim Ekonomi Perak Baharu dan Insentif Perkongsian Keuntungan Berasaskan VC Bagi Memudahkan Akses Pembiayaan PMKS

Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) hari ini mengumumkan inisiatif baharu untuk PMKS mendapatkan pembiayaan dalam bidang pertumbuhan baharu sekaligus memudahkan pelabur mengakses peluang pelaburan berkualiti tinggi. 

Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Kewangan II YB Senator Datuk Seri Amir

Hamzah Azizan pada Hari Penglibatan MyCIF di SC hari ini. Tema acara tersebut ialah “Modal Pemangkin untuk Impak Negara.”

Bagi menyokong keutamaan negara, MyCIF telah memperkenalkan inisiatif berikut:

  • Skim Ekonomi Perak (Silver Economy): Skim baharu untuk menggalakkan pelaburan dalam PMKS yang menyokong populasi warga emas Malaysia, khususnya dalam teknologi penjagaan, penjagaan kesihatan khusus dan kediaman warga emas.
  • Insentif Perkongsian Keuntungan VC/PE: Insentif baharu untuk menarik urus niaga yang dipimpin oleh modal teroka (VC) dan ekuiti persendirian (PE) pada platform pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF), sekaligus memberi peluang kepada pelabur menyertai urus niaga yang disokong institusi. MyCIF akan berkongsi 50% daripada keuntungan dengan pelabur utama VC dan PE yang berjaya merealisasikan pulangan melalui penjualan atau pelupusan (exit) pelaburan berkenaan.

– Gobi Partners dan OSK Ventures International telah menyatakan hasrat untuk membawa urus niaga kepada pelabur ECF.

Berikutan peruntukan Belanjawan 2026 sebanyak RM30 juta, tambahan sebanyak RM20 juta akan diperuntukkan kepada MyCIF untuk tahun 2026.

Di samping itu, Skim Keterjaminan Makanan akan diperluaskan untuk merangkumi syarikat baharu agri-teknologi bagi menggalakkan pelaburan dalam inovasi yang menyokong usaha negara untuk memodenkan pertanian bagi meningkatkan produktiviti dan keterjaminan makanan.

Selain inisiatif baharu, MyCIF mengumumkan bahawa ia telah melangkaui RM1.5 bilion dalam pelaburan bersama sejak penubuhannya pada tahun 2019. Ditambah dengan jumlah RM6.2 bilion daripada pelabur swasta, MyCIF telah mengumpul dana sebanyak RM7.7 bilion untuk menyokong lebih 11,500 PMKS, yang terdiri daripada perniagaan tradisional hingga perniagaan yang didayakan teknologi, sejak enam tahun lalu.

Di samping itu, pulangan daripada pelaburan bersama MyCIF telah membolehkan geran kumulatif MOF iaitu sebanyak RM290 juta dikitar semula sebanyak 5.2 kali ganda.

Model MyCIF merupakan yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara yang membolehkan kerajaan melabur bersama pelabur swasta dalam kempen ECF dan P2P yang layak.

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata bahawa MyCIF telah banyak menyumbang kepada pertumbuhan PMKS dengan menggalakkan pengumpulan dana melalui platform ECF dan platform pembiayaan P2P, yang merupakan pembiayaan yang sukar didapati melalui saluran yang lebih konvensional.

“Model MyCIF memacu sinergi daya tahan modal awam dengan kebijaksanaan kolektif orang ramai. Saya yakin model ini berpotensi berkembang lebih jauh lagi bagi menangani keperluan pembiayaan dan memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Hari Penglibatan MyCIF menampilkan siri dialog dan galeri digital yang mengetengahkan perjalanan enam tahun impak MyCIF. Acara separuh hari itu menarik lebih 150 wakil daripada agensi kerajaan, VC, PE, ECF dan sektor pembiayaan P2P serta komuniti PMKS.

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.sc.com.my/mycif.  

Previous ArticleNext Article

Arteris: Saham Semikonduktor Paling ‘Hot’ Di Samping AMD Dan NVIDIA

Selama ini, bila sebut pasal saham semikonduktor atau kecerdasan buatan (AI), ramai yang hanya memandang gergasi seperti NVIDIA atau AMD. Namun, kejayaan luar biasa Arteris Inc membuktikan bahawa syarikat yang bekerja “di sebalik tabir” juga mampu memberikan pulangan yang lumayan.

Apa Sebenarnya Yang Arteris Buat?

Secara mudahnya, Arteris tidak membina produk pengguna seperti telefon atau kereta. Arteris tak ada kilang. Mereka menjual pelan (harta intelek) yang sangat kompleks kepada syarikat gergasi.. Syarikat besar seperti AMD akan beli lesen pelan tu. Kemudian, syarikat-syarikat besar ni sendiri yang akan “turap jalan” (cetak pelan tu) ke dalam cip mereka di kilang.

Bayangkan sebuah cip komputer itu ada bangunan untuk grafik, untuk memori dan ada untuk pengiraan. Arteris menyediakan teknologi Network-on-Chip (NoC) iaitu sistem jalan raya yang menghubungkan semua bangunan ini supaya data boleh bergerak dengan pantas, tanpa kesesakan dan menggunakan tenaga bateri yang paling minimum.

Tanpa pelan daripada Arteris, AMD kena ambil masa bertahun-tahun untuk reka sendiri sistem jalan raya dalam cip mereka. Jadi, mereka rela bayar Arteris berjuta-juta dolar sebab pelan Arteris dah terbukti paling laju, paling selamat, dan paling jimat bateri.

5 Fakta Menarik Tentang Arteris

  1. Dinamakan Syarikat Paling Inovatif 2026: Pada 25 Mac 2026, majalah Fast Company menyenaraikan Arteris di tangga ke-4 dalam kategori syarikat paling inovatif di Amerika Utara, di belakang gergasi seperti Google dan Nvidia.
  2. 4 Bilion Peranti: Pada Februari 2026, Arteris mengumumkan bahawa teknologi mereka kini telah digunakan dalam lebih daripada 4 bilion peranti di seluruh dunia. Besar kemungkinan peranti yang anda pegang sekarang mempunyai “blueprint” mereka di dalamnya.
  3. Pelanggan Gergasi Dunia: Nama-nama besar seperti Samsung dan AMD bergantung kepada Arteris untuk memastikan cip mereka berfungsi dengan cekap dan stabil.
  4. Benteng Keselamatan “Hardware”: Melalui pengambilalihan syarikat Cycuity pada Januari 2026, Arteris kini pakar dalam keselamatan siber peringkat cip, memastikan data selamat daripada penggodam dari perkakasan.
  5. Peneraju “Physical AI”: Pada April 2026, mereka mengumumkan kerjasama strategik dengan MIPS untuk membina platform AI yang menggerakkan objek fizikal seperti robotik dan dron. Robot atau dron perlu buat keputusan dalam masa milisaat. Contohnya kalau dron nampak pokok, dia kena elak sekarang juga. Kalau data hantar lambat (macam internet laging), dron itu akan langgar pokok. Senang cerita, Arteris dan MIPS bekerjasama supaya robot dan dron masa depan boleh ‘berfikir’ dan ‘bertindak’ sepantas manusia tanpa sebarang gangguan teknikal.

Prestasi Kewangan Arteris (Setakat April 2026)

Arteris mencatatkan lonjakan hasil yang ketara bagi tahun kewangan 2025 dan suku pertama 2026.

  • Hasil suku pertama 2026: Mencapai rekod tertinggi suku tahunan iaitu sekitar $17.5 juta – $18.5 juta. Ini adalah peningkatan sebanyak 25% – 30% berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Sebagai syarikat harta intelek (IP), Arteris mempunyai margin yang sangat “sihat” kerana mereka menjual reka bentuk, bukan perkakasan fizikal.

  • Margin Kasar: Kekal kukuh di paras 90% ke atas. Ini adalah angka yang sangat diminati oleh pelabur kerana ia menunjukkan perniagaan yang sangat cekap dan mempunyai nilai tambah yang tinggi.

Prestasi Saham: Rekod Tertinggi (All-Time High)

April 2026 adalah bulan yang luar biasa buat Arteris (NASDAQ: AIP). Prestasinya di pasaran saham telah mencatatkan sejarah:

  • Pada sesi dagangan 30 April 2026, saham AIP melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah pada harga $28.96.
  • Sepanjang bulan April sahaja, saham ini menunjukkan momentum yang sangat padu dengan kenaikan sekitar 65% dalam tempoh sebulan.
  • Sejak awal tahun 2026, nilai saham Arteris telah meningkat sebanyak 85.8%, menjadikannya salah satu saham semikonduktor paling berprestasi tinggi tahun ini. Kenaikan harga ini telah melonjakkan nilai pasaran (market cap) Arteris mencecah $1.34 Bilion.
  • Risiko: Sekadar peringatan, pelabur mungkin akan mula mengambil untung (profit taking). Sebarang berita yang kurang memberangsangkan boleh menyebabkan harga saham ini jatuh mendadak kerana jangkaan pasaran sudah terlalu tinggi. Seperti lebuh raya yang boleh mengalami kerosakan, Arteris juga berhadapan risiko persaingan teknologi dan ketegangan geopolitik yang boleh menjejaskan rantaian bekalan semikonduktor global.
  • Walaupun Arteris kini memimpin pasaran, persaingan sengit daripada gergasi perisian seperti Synopsys dan Cadence, serta kecenderungan syarikat besar seperti Apple untuk membina sistem dalaman sendiri, menuntut Arteris untuk terus berinovasi. Namun, fokus 100% Arteris dalam pengkhususan NoC tetap memberikan mereka kelebihan unik yang sukar ditandingi oleh pesaing yang bersifat lebih umum.

Kesimpulan

Arteris Inc. adalah bukti bahawa teknologi yang tidak kelihatan di mata kasar selalunya adalah yang paling kritikal. Sebagai tulang belakang kepada revolusi AI dan automotif, Arteris kini bukan sahaja menjadi kegemaran jurutera cip, malah menjadi “bintang” baharu yang bersinar terang di Wall Street.

Penafian :
Kandungan ini tidak disemak atau diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.

Baca lagi : Nak Buka Akaun Saham (Bursa Malaysia & Global) Online Dengan Webull? Dapat Antara Caj Terendah Di Pasaran

Webull Malaysia kini telah menawarkan pilihan deposit ke akaun Islamik untuk kemudahan pengguna Muslim di Malaysia. Sebelum ini, semua deposit akan diletakkan dalam bank JP Morgan Malaysia. Dengan pilihan perbankan Islam, deposit pengguna akan diletakkan dalam HSBC Amanah. Promosi terkini: Depositkan RM1,000 dan kekalkan selama 60 hari dan dapat saham NVIDIA percuma bernilai RM200!

MajalahLabur mungkin menerima manfaat apabila pembaca mendaftar menggunakan pautan tersebut. Terima kasih!