
KUALA LUMPUR: Permintaan yang semakin meningkat daripada kecerdasan buatan generatif (AI) dan pengkomputeran berprestasi tinggi mengalihkan bekalan memori daripada telefon pintar.
Akibatnya, pengeluaran telefon pintar terjejas teruk, menyebabkan kekurangan ketersediaan peranti serta kos input yang lebih tinggi yang menyebabkan harga jualan yang tinggi.
Penganalisis MBSB Research, Foo Chuan Loong, berkata pengeluar telefon pintar perlu menyesuaikan harga jualan dan spesifikasi dengan sewajarnya.
Menurutnya, keadaan itu seterusnya akan menjejaskan permintaan pengguna, terutamanya dalam segmen pasaran rendah hingga sederhana.
Sementara segmen pasaran premium pula mungkin lebih berdaya tahan memandangkan marjin yang lebih kukuh dan rantaian bekalan yang lebih baik, jelasnya.
“Pengeluaran telefon pintar untuk tahun 2026 dijangka menurun sedikit. Walau bagaimanapun, pada ketika ini, penurunan dijangka lebih besar,” katanya dalam nota penyelidikannya.
Chuan Loong berkata, IDC dan Counterpoint kini menjangkakan penghantaran global untuk pasaran telefon pintar akan menguncup lebih 10 peratus.
Beliau berkata, pengurangan itu berpotensi menandakan penghantaran telefon pintar tahunan terendah dalam tempoh lebih sedekad.
“Walaupun terdapat usaha berterusan untuk membina kapasiti memori, terutamanya daripada pembekal memori di China, kami berpendapat bahawa ia tidak mencukupi untuk mengimbangi kekurangan yang boleh berlarutan melangkaui 2026,” katanya.
Chuan Loong berkata, permintaan untuk memori dan logik dijangka kekal kukuh, didorong oleh aplikasi berkaitan AI dan permintaan berterusan dalam pengkomputeran berprestasi tinggi dan infrastruktur pusat data.
Beliau berkata, jualan untuk Januari dan Februari 2026 masing-masing mencecah AS$82.5 juta dan AS$88.8 juta.
“Secara kumulatif, jualan semikonduktor global berada di landasan yang betul untuk memenuhi sasaran sepanjang tahun.
“Walau bagaimanapun, kami melihat krisis Asia Barat yang berterusan berpotensi menjejaskan jualan global. Ini berkaitan dengan ancaman Iran untuk menyasarkan firma teknologi AS yang beroperasi di Asia Barat,” katanya.










