
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mendakwa bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Karex Berhad (Karex), Goh Chok Siang (Goh) atas kesalahan dagangan orang dalam di bawah Seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
Goh, 54 tahun, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana memperoleh 150,000 unit saham Karex pada 22 Julai 2020 ketika memiliki maklumat penting yang belum didedahkan kepada umum berhubung hasrat syarikat untuk menceburi perniagaan pembuatan dan penjualan sarung tangan.
Goh mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Tuan Izralizam bin Sanusi, dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM90,000 dengan dua penjamin tempatan.
Mahkamah turut mengarahkan Goh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah serta melapor diri kepada Pegawai Penyiasat SC setiap bulan sehingga perbicaraan selesai sebagai syarat tambahan jaminan.
Jika disabitkan kesalahan, Goh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta.
SC diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Chian Huey dan Izzat Fauzan, serta Pegawai Pendakwa Mark Rohan Mahadevan, manakala Goh diwakili oleh peguam bela Wong Chiang Kiat.
SC memandang serius kesalahan dagangan orang dalam dan akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas bagi melindungi integriti pasaran serta mengekalkan keyakinan pelabur.










