Minyak & Gas Bersepadu: 1Q26: Saham Teras Perkukuh Musim Keputusan Menepati Jangkaan

Saranan WAJARAN TINGGI dikekalkan; Saham Pilihan Utama: MISC

Pemeteraian perjanjian damai antara AS-Iran baru-baru ini berjaya meredakan kebimbangan tentang gangguan bekalan yang berpanjangan di Asia Barat; kami tidak menjangkakan harga akan kembali surut kepada paras sebelum konflik. Usaha-usaha baik pulih yang sedang dijalankan pada prasarana rosak, pemulihan kapasiti secara berperingkat, dan penormalan rantai bekalan mungkin dapat menyokong harga dalam jangka dekat.

Walaupun minyak mentah Brent sudahpun turun daripada paras tertinggi baru-baru ini, kami meramalkan harga untuk terus terkawal pada paras kirakira USD80/tong sebelum ia beransur-ansur surut ke paras biasa. Kami mengekalkan saranan yang sama pada sektor ini dan andaian-andaian harga bagi 2026-2027 tetap tidak berubah pada USD82.50 dan USD72/tong.

Keputusan menepati ramalan

Sembilan syarikat bawah liputan kajian kami melaporkan keuntungan bersih untuk 1Q26: Empat memenuhi jangkaan, satu melangkaui ramalan, dan empat lagi tersasar. Walau bagaimanapun, dari segi modal pasaran berwajaran, musim perolehan kali ini amnya mencapai ramalan apabila saham-saham besar seperti MISC, Dialog, dan Petronas Dagangan mengumumkan keputusan yang menepati jangkaan. Petronas Chemicals (PCHEM) muncul dengan keputusan mengatasi jangkaan apabila didorong oleh perbezaan lebih besar antara harga jualan dan kos bahan mentah, dan kos operasi lebih rendah. Sementara itu, Malaysia Marine & Heavy Engineering (MMHE), Wasco, Bumi Armada, dan Sumisaujana gagal mencapai sasaran berikutan masalah masa projek dan sumbangan operasi lebih rendah.

Untung bersih 2Q26 mungkin mencapai paras puncak pada FY26 sebelum kembali normal pada 2H26

Kami menjangkakan 2Q26 akan menerima manfaat daripada harga minyak mentah dan petrokimia yang tinggi berikutan gangguan bekalan di Asia Barat akhir-akhir ini. Paras harga yang tinggi ini menyokong perbezaan harga produk dan kos bahan mentah dan perolehan yang lebih besar merentasi saham-saham terpilih bawah liputan kajian kami. Walau bagaimanapun, dengan ketegangan geopolitik semakin mereda dan harga urea sudah menyusut ke arah paras sebelum berlakunya perang, kami ramalkan kenaikan semasa akan menurun secara berperingkat apabila rantaian bekalan kembali normal, kapasiti memulih semula, dan premium risiko menghilang. Sehubungan dengan itu, kami melihat 2Q26 sebagai suku tahun yang menyaksikan perolehan mencapai paras kemuncak untuk FY26, dengan perolehan kembali menurun secara berperingkat menuju ke 2H26.

Kami terus menyukai MISC sebagai saham bertahan dalam sektor ini

Sebahagian besar armada kapal MISC beroperasi secara kontrak dan hal ini menawarkan keterlihatan perolehan yang kukuh. Pada masa yang sama, kira-kira 35% segmen perkapalan petroleumnya terdedah kepada kadar tambang semerta, sekali gus membolehkan ia mengaut hasil lebih tinggi apabila kadar tambang meningkat. Walaupun konflik Asia Barat semakin mereda baru-baru ini, kami menjangkakan kadar tambang kapal akan terus terkawal oleh permintaan pengangkutan berasaskan tan-jarak (tonne-mile) yang baik dan bekalan kapal yang terhad.

Risiko negatif terhadap perwajaran sektor kami

Harga dan permintaan minyak semakin lemah apabila perbelanjaan pengguna menurun.

Sorotan Penting Daripada Keputusan 1Q26

Previous Article

RNG Tech Berhad Sediakan Langkah Ke IPO Pasaran Ace Untuk Memacu Pengembangan

Kuala Lumpur, 16 Jun 2026 – Pengendali perkhidmatan kerusi urut layan diri jenama “Rest N Go”, RNG Tech Berhad (“RNG Tech” atau “Syarikat”), hari ini melancarkan prospektusnya bersempena dengan pelaksanaan tawaran awam permulaan (“IPO”) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”).

RNG Tech Berhad, melalui anak-anak syarikatnya (secara kolektif dikenali sebagai “Kumpulan”), terlibat terutamanya dalam penyediaan perkhidmatan kerusi urut layan diri di bawah jenama “Rest N Go”. Dari segi hasil, ia merupakan pengendali kerusi urut layan diri terbesar di Malaysia dengan pegangan pasaran sebanyak 66.2% pada tahun 2025.

Kumpulan menawarkan perkhidmatan urutan yang mudah, boleh diakses dan mampu milik melalui kerusi urut layan diri yang ditempatkan secara strategik di kawasan menunggu bertrafik tinggi termasuk pusat beli-belah, lapangan terbang dan kawasan rehat lebuh raya. Operasinya disokong oleh infrastruktur digital bersepadu yang merangkumi sistem bacaan meter yang membolehkan pemantauan jarak jauh secara masa nyata. Aplikasi mudah alih RNG yang mempunyai lebih daripada 600,000 ahli berdaftar turut menyokong pembayaran digital serta meningkatkan penglibatan pelanggan.

Sejak menubuhkan stesen RNG pertama di Selayang Mall, Selangor pada tahun 2009, Kumpulan telah mengembangkan kehadirannya ke Malaysia, Singapura, Thailand, Kemboja dan Brunei Darussalam. Sehingga 18 Mei 2026, Kumpulan memiliki dan mengendalikan 5,611 kerusi urut layan diri di 1,438 stesen RNG dan outlet premium RNG yang terletak di lima negara tersebut. Selain itu, sebanyak 2,458 kerusi urut layan diri lagi ditempatkan di Vietnam dan Filipina menerusi perjanjian pelesenan.

Pengarah Urusan RNG Tech, Datin Sophia Tan Sok Fei (拿汀陈淑菲) berkata, “Pelancaran prospektus hari ini merupakan satu pencapaian penting bagi RNG Tech ketika kami semakin hampir untuk menjadi sebuah syarikat tersenarai. Sepanjang tempoh operasi kami, kami telah membina jenama ‘Rest N Go’ yang kukuh dan dikenali ramai, disokong oleh rangkaian serantau yang luas, kedudukan peneraju pasaran serta keupayaan digital yang bersepadu.”

“Dana hasil IPO berjumlah RM16.4 juta akan menyokong fasa pertumbuhan seterusnya melalui pengembangan rangkaian kerusi urut layan diri, kerja-kerja baik pulih dan naik taraf stesen RNG serta outlet premium RNG, selain mengukuhkan keupayaan operasi kami.”

RNG Tech bercadang untuk mengumpul RM16.4 juta daripada terbitan awam di bawah IPO. Dana tersebut dijangka digunakan seperti berikut:

Penggunaan DanaRM juta%
Pembukaan stesen RNG dan outlet premium RNG baharu4.929.9%
Baik pulih dan naik taraf stesen RNG serta outlet premium RNG sedia ada2.213.3%
Perbelanjaan pemasaran1.06.1%
Pembayaran balik pinjaman3.018.3%
Modal kerja1.16.8%
Anggaran perbelanjaan penyenaraian4.225.6%
Jumlah16.4100.0%

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (“TK2025”), Kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM49.3 juta, meningkat 22.3% berbanding RM40.3 juta pada TK2024. Peningkatan ini didorong terutamanya oleh pengembangan stesen RNG dan outlet premium RNG dengan pertambahan jumlah kerusi urut di lokasi bertrafik tinggi.

Keuntungan selepas cukai (PAT) berjumlah RM6.0 juta, berbanding RM14.5 juta pada TK2024. Penurunan PAT ini disebabkan terutamanya oleh ketiadaan keuntungan sekali sahaja daripada pelupusan aset berjumlah RM2.5 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya, selain peningkatan kos akibat pengembangan pesat Kumpulan. Kos tersebut termasuk perbelanjaan susut nilai yang lebih tinggi, kos operasi langsung serta kos kakitangan yang merupakan pelaburan awal untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang Kumpulan.

Datin Sophia menambah, “TK2025 merupakan tahun penting bagi RNG Tech dari segi pengembangan, dengan sumbangan daripada tiga pasaran baharu yang diperoleh iaitu Thailand, Kemboja dan Brunei. Kami menjangkakan sumbangan pasaran ini akan terus meningkat pada tahun kewangan berikutnya apabila kami memperluaskan lagi rangkaian kerusi urut di negara-negara tersebut.”

Pada September dan November 2025, Kumpulan berjaya memperoleh kontrak untuk menubuhkan stesen RNG di lokasi yang diuruskan oleh Lotus Thailand dan Big C Thailand. Dengan memanfaatkan hubungan perniagaan tunggal bersama pengendali rangkaian yang menguruskan pelbagai lokasi, Kumpulan berjaya mengembangkan rangkaian kerusi urut layan diri di Thailand dengan ketara.

Pelaksanaan IPO ini melibatkan terbitan awam sebanyak 126.1 juta saham biasa baharu (“Saham Terbitan”), mewakili kira-kira 16.0% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan syarikat, serta tawaran jualan sebanyak 78.8 juta saham sedia ada (“Saham Tawaran”), mewakili kira-kira 10.0% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan.

Daripada 126.1 juta Saham Terbitan tersebut:

  • 39.4 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian;
  • 11.8 juta saham diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja yang layak (“Peruntukan Borang Merah Jambu”);
  • Baki 74.9 juta saham akan diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Sementara itu, daripada 78.8 juta Saham Tawaran:

  • 23.6 juta saham akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan MITI;
  • Baki 55.2 juta saham akan ditempatkan kepada pelabur terpilih.

Selepas penyenaraian, RNG Tech dijangka mempunyai permodalan pasaran sekitar RM102.4 juta, berdasarkan modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 788.0 juta saham dan harga IPO RM0.13 sesaham.

Susulan pelancaran prospektus ini, permohonan bagi terbitan awam dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada 24 Jun 2026, jam 5.00 petang. RNG Tech dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities pada 7 Julai 2026.

M & A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai Penasihat, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi pelaksanaan IPO ini.