
KUALA LUMPUR: Kee Ming Group (KM) berada di landasan kukuh untuk mencatat pertumbuhan pendapatan yang lebih mampan, disokong rekod buku tender bernilai RM1.7 bilion setakat Mei 2026 yang dijangka menjadi pemacu utama perolehan kontrak baharu syarikat.
Maybank Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya berkata, momentum kemenangan kontrak syarikat kejuruteraan itu dijangka kekal kukuh dalam tempoh beberapa tahun akan datang berdasarkan aliran tender semasa.
Penganalisisnya, Thong Kei Jun, mengandaikan kadar kemenangan sejarah syarikat sebanyak 15 peratus bagi perolehan kerja baharu.
“Berdasarkan rekod prestasi, kadar kemenangan sejarah ini berpotensi diterjemahkan kepada tambahan RM250 juta bagi penambahan semula buku pesanan dalam tahun kewangan 2027 (FY27E),” katanya.
Menurut laporan itu, Kee Ming turut berada pada kedudukan yang baik untuk mengembangkan penglibatan dalam projek infrastruktur kuasa voltan tinggi (HV) serta pencawang pusat data (DC), sejajar dengan permintaan yang terus meningkat dalam kedua-dua segmen berkenaan.
Komitmen syarikat dalam sektor yang sedang berkembang pesat itu dibuktikan menerusi kejayaan memperoleh kerja subkontrak bagi pembangunan fasiliti pusat data berskala hiper.
Antara kontrak yang diperoleh ialah kerja subkontrak bernilai RM6.7 juta di Elmina Business Park 1A serta projek bernilai RM21.4 juta di Puncak Alam yang dianugerahkan oleh kontraktor pihak ketiga.
Dari sudut sinergi korporat, penyertaan Solarvest sebagai pemegang saham utama dengan pegangan 23.9 peratus terus memberikan kelebihan daya saing kepada Kee Ming.
Baru-baru ini, syarikat itu menerima surat penganugerahan (LOA) bernilai RM70 juta daripada Solarvest bagi membina fasiliti saling sambungan (IF) untuk ladang solar berkapasiti 100 megawatt (MW) di Kedah.
Kontrak berkenaan meningkatkan baki buku pesanan tertunggak Kee Ming sebanyak 40 peratus kepada RM243.3 juta berbanding RM173.2 juta sebelum ini.
Susulan perkembangan positif itu, Maybank Investment Bank menaikkan unjuran pendapatan Kee Ming bagi tahun kewangan 2027 hingga 2029 sebanyak 18 peratus hingga 29 peratus, sejajar semakan sasaran penambahan buku pesanan kepada antara RM350 juta dan RM470 juta.
Firma itu turut mengekalkan saranan “Beli” terhadap saham Kee Ming serta menaikkan harga sasaran kepada RM1.94 sesaham, yang mewakili potensi kenaikan sekitar 21 peratus daripada paras semasa.
— Berita Harian










