Google Malaysia Mohon Maaf Atas Kesilapan Kadar Pertukaran Dolar AS-Ringgit

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) — Google Malaysia hari ini membuat permohonan maaf atas kesilapan berkenaan kadar pertukaran Dolar AS-Ringgit yang disiarkan di laman kewangannya.

“Kami segera menghubungi pihak ketiga yang memberikan maklumat tentang kadar pertukaran Dolar AS-Ringgit untuk membetulkan kesilapan itu. Isu itu kini telah diselesaikan dan kami memohon maaf atas sebarang kekeliruan yang timbul,” kata Google Malaysia menerusi hantaran di laman X (dahulunya dikenali sebagai Twitter).

Google juga berkata bahawa ia menyediakan kadar pertukaran mata wang hanya untuk tujuan maklumat sahaja.

“Sila rujuk sumber rasmi seperti laman sesawang Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membuat sebarang keputusan kewangan,” katanya di laman blog mikro itu.

Pada 15 Mac lepas Google telah menyiarkan kadar pertukaran Dolar AS-Ringgit yang tidak tepat di laman kewangannya. Ini merupakan insiden kedua Google menyiarkan data kadar pertukaran Dolar AS-Ringgit yang tidak tepat pada tahun ini yang mana pertama kali berlaku pada 6 Feb.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

BNM Digesa Siasat, Kaji Semula Notis Premium Insurans – Sim


KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) — Bank Negara Malaysia (BNM) digesa menyiasat dan mengkaji semula tindakan syarikat insurans yang mengeluarkan notis kenaikan premium insurans, kata Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin. 

Beliau yang mewakili beberapa Ahli Parlimen berkata BNM tidak harus membiarkan perkara ini dengan alasan ia merupakan keputusan perniagaan oleh syarikat.

“Kalau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) boleh melaksanakan siasatan pengambilan keuntungan berlebihan (excessive profiteering) ke atas kenaikan 10 sen sebiji telur, kenapa BNM tidak boleh membuat siasatan ke atas kenaikan berpuluh sehingga beratus peratus kenaikan premium? 

“Kenapa pihak berkuasa tidak boleh menyiasat adakah kenaikan caj hospital swasta sebagai pengambilan keuntungan berlebihan?,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini. 

Sim berkata beliau membangkitkan isu kenaikan caj hospital swasta dan kenaikan premium insurans kesihatan dalam sesi perbahasan peringkat jawatan kuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi Kementerian Kesihatan pada Selasa.

“Saya menyambut baik kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkifli Ahmad bahawa beliau akan mengadakan konsultasi bersama hospital swasta untuk mencapai pendirian penjagaan kesihatan berasaskan nilai. 

“Saya menaruh harapan menteri boleh berjaya,”  katanya.

Beliau juga berasa kesal dengan kenyataan media oleh Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia Dr Kuljit Singh yang mempertahankan kenaikan premium insurans kesihatan antara 40 hingga 70 peratus sebagai tidak sangsi dan berpatutan.

Katanya, kenyataan Kuljit berkaitan premium insurans kesihatan amat dikesali kerana beliau cuba menegakkan benang yang basah.

“Umum diketahui, kenaikan premium insurans kesihatan berkait rapat secara langsung dan tidak langsung berhubung kenaikan caj hospital swasta yang melambung tinggi serta tidak terkawal.

“Caj hospital swasta yang melonjak sudah menjadi bebanan yang tinggi kepada syarikat insurans dan kini mereka melepaskan kos kepada pencarum insurans daripada golongan M40 ke atas,” katanya.

— BERNAMA