Inisiatif Malaysia Digital Raih Pelaburan RM16.2 Bilion Dalam Masa Empat Bulan

GEORGE TOWN, 29 April (Bernama) — Jumlah pelaburan yang diluluskan di bawah inisiatif Malaysia Digital (MD) mencecah RM16.2 bilion dari tempoh Januari hingga April tahun ini, disokong oleh keyakinan kukuh pelabur global, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata momentum pelaburan itu dijangka mencipta hampir 6,500 peluang pekerjaan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju digital serantau.

Menurut Gobind, daripada jumlah pelaburan yang diluluskan itu, RM9.9 bilion atau lebih 60 peratus disumbangkan oleh pusat data dan pelaburan pengkomputeran awan.

“Daripada lensa inovasi, syarikat kecerdasan buatan (AI) kini membentuk bahagian terbesar daripada syarikat berstatus MD baharu iaitu sebanyak 27 peratus, diikuti pusat data (23 peratus) dan Perkhidmatan Perniagaan Global (11.5 peratus).

“Keyakinan pelabur terhadap Malaysia terus kukuh. Lima sumber utama pelaburan langsung asing kita termasuk Belanda, Singapura, Hong Kong, India dan United Kingdom yang mencerminkan infrastruktur teguh negara dan dasar yang mesra pelabur,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Hari Terbuka MD 2025, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari dan Pengerusi Bukan Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Syed Ibrahim Syed Noh.

Gobind berkata pencapaian itu membuktikan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan digital terkemuka dan yang lebih penting, mencerminkan impak dunia sebenar yang kita pacu merentas ekonomi dan tenaga kerja.

Menurutnya, setakat ini terdapat 3,891 syarikat MD yang aktif di Malaysia termasuk 254 di wilayah utara dengan Pulau Pinang sahaja berjaya menarik pelaburan diluluskan bernilai RM1.23 bilion yang dijangka mewujudkan 266 peluang pekerjaan.

“Walaupun 93 peratus daripada pelaburan ini didorong oleh pusat data dan awan, lebih daripada 60 peratus peluang pekerjaan adalah dalam sektor bernilai tinggi seperti reka bentuk IC (litar bersepadu) dan perisian terbenam,” katanya.

Hari Terbuka MD 2025 adalah platform khusus bagi libat urus antara syarikat berstatus MD, pelabur, agensi kerajaan dan pemegang kepentingan utama dalam ekosistem ekonomi digital Malaysia.

Acara itu juga menandakan pelancaran rasmi pejabat wilayah utara Kementerian Digital, mengukuhkan komitmen kerajaan terhadap pemerkasaan wilayah dan penjajaran seluruh negara.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama