Kadar Pengangguran Malaysia Kembali Meningkat Kepada Tiga Peratus – DOSM

KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran Malaysia kembali meningkat kepada tiga peratus, dengan merekodkan 511,800 orang penganggur pada April 2026, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pasaran buruh negara terus menunjukkan pertumbuhan sederhana pada bulan dikaji, mencerminkan perkembangan ekonomi yang stabil.

Beliau berkata, tenaga buruh naik 0.1 peratus kepada 17.33 juta orang berbanding 17.31 juta orang pada Mac 2026 manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal tidak berubah iaitu pada 70.9 peratus, sama seperti bulan sebelumnya.

Sementara itu, katanya bilangan penduduk bekerja terus meningkat pada April 2026, bertambah sebanyak 0.1 peratus kepada 16.82 juta orang berbanding bulan sebelumnya pada 16.80 juta orang.

“Bilangan penganggur kekal dalam trend menaik, bertambah 0.6 peratus kepada 511,800 orang, berbanding 509,000 orang pada bulan yang lalu. Sehubungan itu, kadar pengangguran pada bulan itu naik 0.1 mata peratus kepada 3.0 peratus berbanding 2.9 peratus pada Mac 2026, sekali gus kembali kepada paras yang pernah direkodkan pada Oktober 2025.

“Kategori pekerja merangkumi 75 peratus daripada jumlah penduduk bekerja pada April 2026, meningkat sedikit 0.05 peratus kepada 12.61 juta orang berbanding 12.60 juta orang pada Mac 2026, manakala bilangan penduduk bekerja sendiri terus menunjukkan trend peningkatan dan naik 0.2 peratus kepada 3.15 juta orang berbanding 3.14 juta orang,” katanya dalam satu kenyataan Statistik Tenaga Buruh Malaysia untuk April 2026 yang dikeluarkan DOSM, hari ini.

Memberikan gambaran lanjut mengenai situasi pengangguran pada tempoh dikaji, Mohd Uzir berkata, penganggur aktif yang ditakrifkan sebagai mereka bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 79.5 peratus daripada jumlah penganggur.

Beliau berkata, kumpulan itu merekodkan peningkatan 0.3 peratus kepada 407,100 orang dengan 63.9 peratus daripada penganggur aktif menganggur kurang daripada tiga bulan, sementara 5.0 peratus daripadanya berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.

Pada masa yang sama, katanya penganggur tidak aktif yang terdiri daripada mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, meningkat 1.5 peratus kepada 104,700 orang berbanding 103,200 orang pada bulan sebelumnya.

“Kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada kadar 10.2 peratus pada April 2026 dengan sejumlah 290,800 penganggur belia manakala kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun meningkat 0.1 mata peratus kepada 6.3 peratus dengan seramai 394,700 penganggur belia direkodkan pada bulan itu,” katanya.

Mohd Uzir berkata, melangkah ke hadapan, prospek ekonomi dan pasaran buruh Malaysia dijangka kekal positif dalam jangka masa terdekat disokong oleh asas ekonomi domestik yang kukuh, momentum pelaburan yang berterusan serta pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan.

Beliau berkata, walau bagaimanapun, ketidaktentuan yang berpunca daripada krisis tenaga global, perkembangan geopolitik dan kedudukan permintaan luaran dijangka akan terus mempengaruhi momentum pertumbuhan ekonomi serta prestasi pasaran buruh.

“Dalam tempoh yang akan datang, usaha memperkukuh keyakinan perniagaan, meningkatkan kebolehsuaian tenaga kerja dan merangsang pertumbuhan produktiviti akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan ekonomi dan pasaran buruh negara kekal berdaya tahan,” katanya.

— Berita Harian

Previous ArticleNext Article

BMI Unjur Pertumbuhan Pinjaman Akan Perlahan Pada Separuh Kedua 2026

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — BMI, sebuah unit Fitch Solutions, menjangkakan pertumbuhan pinjaman akan perlahan pada separuh kedua 2026, memandangkan momentum yang lebih kukuh daripada jangkaan setakat ini.

Susulan itu, firma penyelidikan itu menyemak semula unjuran pertumbuhan pinjaman Malaysia kepada 5.0 peratus menjelang akhir 2026, berbanding 4.6 peratus sebelum ini.

Dalam satu kenyataan, ia memaklumkan bahawa pertumbuhan pinjaman bank meningkat sejak beberapa bulan lepas, daripada 4.7 peratus pada Januari kepada 5.7 peratus pada Mei.

Menurut BMI, pertumbuhan ekonomi Malaysia yang perlahan akan menjejaskan pertumbuhan kredit bagi beberapa suku tahun akan datang, dengan mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar menyusut kepada 4.3 peratus pada 2026 daripada 5.2 peratus pada 2025, ia akan berada di paras bawah unjuran semakan kerajaan sebanyak 4.0-5.0 peratus.

Pada masa sama, konflik berterusan antara Amerika Syarikat dan Iran menimbulkan risiko penurunan terhadap pandangan (unjuran) ini.

“Pasukan global kami baru-baru ini menyemak semula unjuran mereka untuk pertumbuhan global kepada 2.4 peratus pada 2026, berbanding 2.8 peratus sebelum ini.

“Sehubungan itu, kami mengingatkan bahawa kelembapan pertumbuhan dalam rakan dagang utama Malaysia boleh mengatasi daya tahan permintaan domestik, sektor pembinaan akan menerima kesan paling teruk,” menurut BMI.

Bagaimanapun, menurut firma penyelidikan itu, bagi Malaysia, kelembapan dalam pertumbuhan kredit mungkin bukan satu perkembangan yang negatif sepenuhnya, terutamanya untuk isi rumah Malaysia yang merangkumi 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman.

Data daripada Bank of International Settlements menunjukkan kredit kepada isi rumah berada pada paras 69.8 peratus daripada KDNK pada suku keempat 2025, manakala nisbah khidmat hutang mencecah paras tertinggi dalam tempoh empat tahun iaitu 15.5 peratus setakat suku keempat 2025, menurut BMI.

Sementara itu, pinjaman isi rumah dijangka terus perlahan pada 2026, disokong oleh jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus sehingga 2027, sekali gus membayangkan kadar pinjaman akan kekal tinggi untuk beberapa suku tahun kelak.

“Dalam persekitaran ini, kami percaya risiko kestabilan kewangan kekal rendah. Selain itu, BNM mengumumkan kemudahan bantuan kestabilan bernilai RM5 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai persediaan menghadapi kemungkinan konflik di Asia Barat akan membawa kepada lonjakan ‘pinjaman lapuk’ (pinjaman tidak berbayar) dalam kalangan bank tempatan.

“Bagaimanapun, buat masa ini, kebanyakan petunjuk menunjukkan sektor perbankan kekal berada dalam keadaan yang sihat,” menurut kenyataan itu.

Setakat suku pertama 2026, nisbah modal agregat sistem perbankan berada pada paras 18.1 peratus – jauh lebih tinggi daripada syarat minimum kawal selia sebanyak 10.5 peratus (8.0 peratus daripada jumlah nisbah modal dan 2.5 peratus penampan modal).

“Walaupun nisbah Ekuiti Biasa Tahap 1 dan nisbah Modal Tahap 1 menyusut sedikit pada 2025, ia kekal berada di atas keperluan Basel III, masing-masing ditetapkan pada 4.5 peratus dan 6.0 peratus,” menurut BMI.

— BERNAMA