Kerajaan Kaji Tebus Guna 420,000 Hektar Ladang Getah Terbiar Untuk Tanaman Buluh


BANTING, 26 Sept (Bernama) — Kerajaan sedang melihat keperluan menebus guna 420,000 hektar ladang getah terbiar untuk dijadikan ladang buluh yang mempunyai nilai komersial tinggi di pasaran dunia.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata langkah itu jika direalisasikan berupaya memberi nilai tambah kepada ekonomi dan pendapatan negara pada masa depan selain meningkatkan penyertaan Malaysia dalam pasaran komoditi berkenaan.

Beliau berkata industri buluh dianggarkan bernilai US$70.6 bilion pada 2023 dan dijangka meningkat kepada kira-kira US$100 billion pada 2028. 

“Ladang getah kita ada kira-kira 1.1 juta hektar, tetapi 420,000 hektar tidak ditoreh atau diusahakan atas beberapa faktor seperti ramai pengusaha telah berumur (tua), manakala anak-anak mereka juga sudah memasuki universiti dan memiliki ijazah atau sebagainya, sekali gus menyebabkan ladang tersebut tidak diusahakan.

“Kita lihat ada ada dua cara untuk manfaatkan tanah tersebut iaitu dengan memanggil sektor swasta untuk buat penggabungan bagi kita teroka semula getah atau kalau tidak mahu tanam getah kita bagi kepada pemain industri perabot untuk usahakan tanaman buluh, tambahan pula tanaman ini pun senang dijaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Seminar Buluh Kebangsaan dan Sambutan World Bamboo Day Malaysia 2024 di sini hari ini. 

Johari berkata terdapat pelabur luar yang menyatakan minat untuk menceburi industri buluh di Malaysia namun ada beberapa kekangan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum Malaysia mampu menjadi platform untuk industri tersebut. 

“Antara punca kekangan utama dalam pengkomersialan buluh secara besar-besaran adalah isu tanah yang terhad, di mana keluasan tanah yang diperlukan untuk mana-mana inisiatif komersial haruslah tidak kurang daripada 2,000 hektar. 

“Industri buluh pada masa ini juga dikendalikan secara kecil-kecilan di mana lebih 90 peratus pengusaha industri buluh terlibat dalam penghasilan kraf tangan yang dianggap berskala kecil,” katanya. 

Johari berkata sehubungan itu beliau telah mengarahkan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berhubung produk yang boleh dihasilkan daripada spesies buluh dalam negara selain meningkatkan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi mengembangkan industri itu. 

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian