Keyakinan Terhadap Kerajaan Kunci Utama Pelaburan Masa Depan Untuk Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) — Asas utama untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang stabil ialah dapat memberikan keyakinan kepada pelabur domestik dan asing, kata ketua ekonomi global Juwai IQI, Shan Saeed.

Beliau berkata ini terbukti apabila jumlah perdagangan Malaysia menyaksikan pertumbuhan dua angka pada September 2022, mengembang sebanyak 31.4 peratus untuk mencecah RM257 bilion.

Eksport pula melonjak 30 peratus kepada RM144.3 bilion tahun ke tahun dan imbangan perdagangan Malaysia terus mencatat lebihan, meningkat 20 peratus kepada RM31.7 bilion.

“Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan telah dapat mengekalkan kestabilan makroekonomi dan ia telah memberikan pelabur tempatan keyakinan ekonomi,” katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, tahun lepas gergasi teknologi Intel Corporation mengumumkan pelaburan besar sebanyak US$7.5 bilion (RM30 bilion) di ASEAN, termasuk Malaysia.

“Ini menghantar isyarat positif bukan sahaja kepada rantau ASEAN tetapi juga pelabur global bahawa Malaysia semakin berkembang,” kata Shan.

Bank Negara Malaysia mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga 2022, dipacu oleh pengembangan berterusan dalam permintaan domestik, pemulihan kukuh pasaran pekerja, eksport elektrik dan elektronik (E&E) dan bukan E&E yang teguh serta sokongan dasar yang berterusan.

Melihatkan kepada  pertumbuhan sihat dalam sembilan bulan pertama 2022,  pertumbuhan tahun penuh 2022 dijangka melebihi tujuh peratus yang diunjurkan sebelum ini.

Sementara itu, dalam keadaan global yang begitu mencabar, Shan berkata negara memerlukan pemimpin berkualiti yang berorientasikan tindakan, berpengalaman dan memahami ekonomi.

Bagaimanapun, Malaysia masih mampu mengekalkan dasar ekonominya secara konsisten, yang membawa kepada penggunaan swasta yang lebih kukuh dan pasaran buruh yang bertambah baik.

Beliau menambah sebagai pelabur teknologi hartanah antarabangsa di Malaysia dan percaya kepada pasaran bebas, syarikat itu melihat kerajaan telah menyediakan rangka kerja dasar dan membenarkan sektor swasta menggerakkan ekonomi.

“Pada masa hadapan, kami ingin melihat konsistensi ini berterusan.

“Namun begitu, ini hanya akan berlaku apabila negara diterajui oleh mereka yang berpengalaman yang memahami ekonomi di peringkat makro.

“Untuk mempunyai kestabilan makroekonomi, ia juga bermakna kita perlu mempunyai kestabilan politik, kestabilan ekonomi dan kestabilan kewangan,” katanya.

“Justeru, Perdana Menteri sementara atau ‘’caretaker”, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ialah pilihan yang baik dan kita berharap beliau dapat terus menyampaikan hasil dan memberi impak positif kepada rakyat,” katanya.

Pada 20 Okt 2022, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari pengundian untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan pada 19 Nov, manakala pengundian awal pada 15 Nov.

Kesemua 222 kerusi parlimen akan dipertandingkan.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/keyakinan-terhadap-kerajaan-kunci-utama-pelaburan-masa-depan-untuk-malaysia/

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.