Malaysia Pertimbang Sertai OECD, Pelihara Hubungan Baik Dengan Rakan Dagang – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) — Malaysia sedang mempertimbang untuk menyertai beberapa organisasi antarabangsa lain termasuk Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) sejajar usaha memelihara hubungan baik dengan semua rakan dagang.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata dalam usaha mengekalkan keseimbangan pembangunan ekonomi negara dan menjaga hubungan baik itu terutama kuasa ekonomi dunia, Malaysia juga akan terus memastikan dasar luar negara yang bebas, berprinsip dan pragmatik.

“Kerajaan akan menggunakan pendekatan berbilang arah supaya kepentingan negara sentiasa dijunjung.

“Ini juga antara sebab utama Malaysia tidak hanya mempertimbangkan penyertaan dalam BRICS, malah beberapa organisasi lain yang sesuai seperti OECD supaya dapat memberi sumbangan untuk pembangunan masyarakat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Datuk Noraini Idris mengenai kewajaran Malaysia menyertai gabungan ekonomi BRICS dan bagaimana penyertaan itu tidak merencatkan segala perancangan serta hubungan perdagangan global, pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan juga memerlukannya untuk sentiasa menumpukan usaha mengeratkan kerjasama ekonomi dengan semua negara rakan dagangnya.

Langkah itu terbukti menerusi penglibatan dan peranan aktif Malaysia dalam pelbagai organisasi antarabangsa di peringkat serantau serta pelbagai hala termasuk ASEAN, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam OIC.

“Dalam konteks itu, penyertaan Malaysia dalam BRICS adalah selari dengan usaha memacu agenda ekonomi untuk kepentingan negara dan rakyat.

“Menerusi pendekatan strategik dan seimbang, Malaysia dapat mengoptimumkan manfaat daripada penyertaan dalam BRICS di samping memastikan kestabilan dan kesinambungan hubungan perdagangan global dengan semua rakan ekonomi utama negara,” katanya.

BRICS dianggotai oleh Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan serta empat negara ahli baharu – Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang secara kumulatif mempunyai 3.54 bilion penduduk.

Jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) organisasi itu dianggarkan bernilai US$26.6 trilion (US$1 = RM4.68) atau bersamaan dengan 26.2 peratus daripada KDNK dunia, kata Tengku Zafrul.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

BNM Akan Turunkan Nisbah Keperluan Rizab Berkanun Kepada Satu Peratus


KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) — Bank Negara Malaysia (BNM) akan menurunkan nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sebanyak 100 mata asas iaitu daripada dua peratus kepada satu peratus, berkuat kuasa 16 Mei 2025.

Katanya, keputusan untuk mengurangkan SRR merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bank pusat itu bagi memastikan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem kewangan domestik.

“Langkah ini akan membantu bank-bank menguruskan mudah tunai dengan lebih baik dalam persekitaran ketidaktentuan pasaran kewangan yang lebih tinggi serta menyediakan sokongan yang berterusan terhadap aktiviti pengantaraan kewangan.

“Penurunan SRR akan menambah mudah tunai bernilai kira-kira RM19 bilion ke dalam sistem perbankan,” kata BNM dalam satu kenyataan hari ini.

Bank pusat itu berkata, SRR merupakan instrumen untuk menguruskan mudah tunai dan tidak memberikan isyarat tentang pendirian dasar monetari.

Katanya, kadar dasar semalaman (OPR) merupakan satu-satunya penunjuk yang digunakan untuk memberikan isyarat tentang pendirian dasar monetari selain diumumkan melalui Pernyataan Dasar Monetari yang dikeluarkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari.

— BERNAMA