Malaysia Tidak Mampu Untuk Tarik Diri Daripada CPTPP – MCMTC

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) — Malaysia tidak mampu untuk menarik diri daripada Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) berikutan perjanjian itu penting untuk perdagangan negara pada masa depan.

Menurut Syarikat Pertengahan Konsortium Malaysia (MCMTC), bukan seperti perjanjian perdagangan lain, CPTPP bukan sahaja membuka perdagangan tetapi turut membawa bantuan teknikal dan pemindahan teknologi/pengetahuan, yang penting untuk pembinaan kapasiti bagi perniagaan tempatan.

“MCMTC bersama dengan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menentang gesaan daripada pihak tertentu yang menggesa kerajaan menarik diri daripada CPTPP yang telah lama ditunggu, yang berkuat kuasa mulai 29 Nov 2022,” kata Presiden Callum Chen dalam kenyataan hari ini.

Katanya kelewatan dalam meratifikasi telah menyebabkan Malaysia kehilangan kelebihan dari segi pelaburan langsung asing (FDI), apabila Vietnam, yang telah menandatangani lebih awal pada Januari 2019, telah menjadi batu loncatan kepada Kanada ke pasaran ASEAN melalui CPTPP. 

“Banyak telah diperkatakan mengenai kos berbanding faedah CPTPP. Malaysia adalah sebuah negara yang kecil dari segi jumlah penduduk dan keluasan tanah tetapi dari segi perdagangan, kita berada di kedudukan ke-25 di dunia.

“Kita telah menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Petronas Mungkin Kehilangan Sebahagian Pendapatan Kerana Tidak Menjadi Agregator Gas Tunggal Di Sarawak

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama)– Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dijangka kehilangan sebahagian daripada pendapatannya kerana tidak lagi menjadi pengagregat gas tunggal di Sarawak, kata RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).

Dalam nota penyelidikan hari ini, bank itu berkata terdapat banyak perbincangan mengenai Petronas yang dijangka memotong perbelanjaan modal (capex) berikutan berita Petroleum Sarawak Bhd (Petros) akan mengambil alih pembelian dan penjualan gas asli Sarawak daripada Petronas.

Pengambilalihan itu akan bermula pada separuh kedua 2024.

“Kami mungkin menyaksikan beberapa potensi dalam gangguan operasi bagi tempoh terdekat sebelum banyak kejelasan atau penyelesaian jelas dicapai antara Petros dan Petronas.

“Bagaimanapun, kami percaya bahawa pada akhirnya kedua-dua pihak mahu memaksimumkan pengeluaran, terutamanya apabila harga minyak dijangka kekal stabil,” tambahnya.

Selain itu, RHB IB berpendapat pemotongan capex domestik yang drastik oleh satu pihak adalah tidak mampan dalam jangka panjang kerana ia akhirnya akan menjejaskan kedudukan minyak dan gas (O&G) Malaysia di rantau ini.

Sebelum ini Petronas memperuntukkan capex sebanyak RM300 bilion antara 2023 dan 2027 (RM50 bilion setahun) yang merangkumi perbelanjaan modal purata domestik RM22.6 bilion setahun (capex lima tahun RM113 bilion).

Bank pelaburan itu berkata Petronas memperuntukkan capex sebanyak RM52.8 bilion pada tahun kewangan 2023, dengan pembahagian yang hampir sama untuk portfolio domestik dan antarabangsanya.

“Segmen huluan dan gas masing-masing menyumbang 52 peratus dan 22 peratus daripada capex domestik, dan pemindahan peranan pengumpul gas tunggal kepada Petros mungkin membawa kepada pemotongan capex yang lebih ketara dalam segmen gas.

“Walaupun kami mungkin melihat beberapa gangguan operasi yang berpotensi dalam tempoh terdekat, kami masih menganggap resolusi yang perlu dicapai antara kedua-dua pihak terbabit tanpa menjejaskan pengeluaran sedia ada dan pelaburan domestik masa depan untuk memperoleh permintaan gas global yang semakin meningkat,” katanya.

Bank pelaburan itu berkata impak pendapatan terhadap Petronas juga kekal tidak menentu, tetapi langkah itu mungkin menjejaskan keupayaannya untuk berbelanja.

Secara keseluruhannya, walaupun terdapat ketidaktentuan yang semakin meningkat terhadap hala tuju dan strategi Petronas, RHB IB masih mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor O&G.

Buat masa ini, bank pelaburan itu terus memihak kepada pemain perkhidmatan huluan dengan pendedahan yang lebih besar dalam bidang berkaitan penyelenggaraan, kerana ia memberikan daya tahan dalam pendapatan yang lebih besar, ditambah pula dengan syarikat yang memiliki kepelbagaian antarabangsa seperti Yinson, MISC dan Bumi Armada.

–BERNAMA