Pengukuhan Ringgit, Unjuran KDNK IMF, Bukti Keyakinan Dunia Terhadap Ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) — Pengukuhan berterusan ringgit serta peningkatan unjuran ekonomi oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menunjukkan kekuatan asas ekonomi negara dan keyakinan pelabur terhadap hala tuju pentadbiran Malaysia MADANI.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata perkembangan tersebut juga merupakan mesej jelas bahawa Malaysia sedang kembali muncul sebagai destinasi ekonomi dan pelaburan diyakini di rantau Asia.

Muhammad Kamil berkata CNBC Indonesia melaporkan ringgit mencatatkan peningkatan sekitar 2.64 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sehingga penghujung April 2026, sekali gus meletakkan Malaysia pada kedudukan teratas dalam prestasi mata wang Asia, diikuti China dan Singapura.

“Apa yang lebih membanggakan, pengukuhan ini bukan berlaku secara sementara atau bersifat spekulatif.

“Sebaliknya, (ia) menunjukkan trend yang konsisten dan berterusan hasil kekuatan asas ekonomi negara serta keyakinan pelabur terhadap hala tuju pentadbiran Malaysia MADANI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Kamil berkata kekuatan ringgit hari ini tidak berlaku secara kebetulan tetapi disokong oleh faktor-faktor seperti pertumbuhan ekonomi negara yang mampan, aliran masuk pelaburan asing positif, kestabilan politik, reformasi ekonomi jelas, serta keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar kerajaan dan Bank Negara Malaysia.

“Pengukuhan ringgit bukan sekadar angka di pasaran kewangan tetapi simbol keyakinan dunia terhadap kestabilan dan masa depan ekonomi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata pada masa sama, IMF telah menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia 2026 kepada 4.7 peratus berbanding 4.3 peratus sebelum ini, memperlihatkan keyakinan lebih tinggi terhadap ekonomi Malaysia walaupun ekonomi dunia berdepan ketidaktentuan.

“Peningkatan unjuran ini jelas menunjukkan bahawa Malaysia berada pada landasan ekonomi lebih kukuh berbanding banyak negara lain, didorong oleh permintaan domestik yang mantap, asas eksport pelbagai serta keyakinan pelabur terhadap kestabilan dasar negara,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Cabaran Ekonomi Global Tuntut Usahawan Lebih Bersedia Dan Strategik

KUALA LUMPUR, Malaysia – Program Seven Mega Growth Strategies 2026 hari ini menghimpunkan tokoh korporat, usahawan, pemain industri, wakil diplomatik, media serta komuniti perniagaan tempatan dan antarabangsa dalam membincangkan strategi pertumbuhan perniagaan dan daya tahan usahawan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global semasa. 

Program tersebut telah dirasmikan oleh YB Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan turut dihadiri barisan duta, wakil kedutaan asing di Malaysia, tokoh korporat, usahawan serta rakan strategik daripada pelbagai sektor industri. 

Turut hadir ialah Datuk Seri Dr. Zurainah Musa, Pengerusi KNKV Group, Prof. (Adjung.) Hj. Adam Richman, Ketua Pegawai Eksekutif KNKV Group serta Datuk Wan Azmir Wan Majid daripada Hafarizam Wan & Aisha Mubarak. 

Dalam ucapannya, YB Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata dunia perniagaan hari ini sedang berhadapan dengan cabaran ekonomi global yang semakin kompleks melibatkan tekanan inflasi, ketidaktentuan geopolitik, perubahan teknologi yang pesat serta peningkatan kos operasi yang memberi kesan langsung kepada usahawan dan perusahaan tempatan. 

Beliau berkata usahawan hari ini perlu lebih bersedia bukan sahaja dari aspek operasi dan jualan, malah perlu memperkukuh strategi pemasaran, positioning, pengurusan risiko serta kesiapsiagaan perundangan bagi memastikan perniagaan kekal relevan dan mampan dalam pasaran yang semakin kompetitif.

“Dalam dunia yang terlalu kompetitif hari ini, visibility adalah survival. Jenama yang terus relevan dan dilihat akan terus dipercayai pengguna. Sebab itu usahawan perlu memahami kepentingan pemasaran strategik, jaringan kolaborasi dan perlindungan asas perniagaan mereka,” – YB Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus komited memperkasa ekosistem perdagangan domestik serta membantu rakyat menangani cabaran kos sara hidup. Menurut beliau, bagi tahun 2025, KPDN mensasarkan pelaksanaan Program Jualan RAHMAH MADANI di seluruh 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negara ini dengan kekerapan minimum dua kali sebulan sebagai usaha berterusan membantu rakyat mendapatkan akses kepada barangan keperluan pada harga lebih berpatutan. 

Dalam masa yang sama, beliau turut menyambut baik platform yang menghimpunkan pemain industri, usahawan dan komuniti antarabangsa bagi membuka ruang perkongsian ilmu, jaringan strategik dan kerjasama rentas sempadan yang mampu memperkukuh daya tahan ekonomi negara. 

Sementara itu, Datuk Seri Dr. Zurainah Musa berkata platform seperti ini penting dalam membantu memperluaskan jaringan strategik serta membuka peluang kerjasama antara pemain industri, komuniti perniagaan dan rakan antarabangsa. Menurut beliau, dunia perniagaan hari ini memerlukan lebih banyak ruang perkongsian ilmu dan networking berkualiti bagi membantu syarikat tempatan terus berkembang secara mampan. 

Prof. (Adjung.) Hj. Adam Richman pula berkata syarikat dan usahawan hari ini perlu memahami bahawa pemasaran strategik, positioning dan visibility merupakan antara elemen penting dalam memastikan sesebuah jenama kekal relevan dalam pasaran yang semakin kompetitif. 

Program ini turut menampilkan sesi perkongsian berkaitan pemasaran strategik, pengembangan perniagaan, pengukuhan jenama, kerjasama antarabangsa serta kesiapsiagaan undang-undang dalam perniagaan melibatkan penyertaan tokoh industri dan pakar profesional. 

Penganjuran program ini dilihat sebagai antara usaha memperkukuh hubungan strategik antara sektor swasta, komuniti antarabangsa dan agensi kerajaan dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negara serta membantu melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya tahan dan kompetitif di peringkat global.