Penstrukturan Semula Subsidi Dilaksana Secara Terkawal, Bersasar – MOF

KUALA LUMPUR, (Bernama) — Penstrukturan semula subsidi dilaksanakan secara terkawal dan bersasar supaya tidak membebankan sebahagian besar rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata pendekatan itu membolehkan bantuan disasarkan dengan lebih tepat, mengurangkan ketirisan serta memastikan sumber fiskal digunakan secara lebih cekap dan progresif.

“Penstrukturan semula subsidi dari perspektif makroekonomi tidak mencetuskan tekanan harga yang meluas.

“Kadar inflasi berdasarkan Indeks Harga Pengguna (IHP) menunjukkan trend menurun daripada 2.5 peratus pada 2023 kepada 1.8 peratus pada 2024 dan seterusnya 1.4 peratus pada 2025,” kata kementerian itu melalui jawapan bertulis Dewan Negara hari ini.

MOF menjawab soalan Senator Datuk Halim Suleiman mengenai impak sebenar penstrukturan semula subsidi terhadap kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Merujuk kepada Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024, iaitu instrumen statistik negara dalam menilai corak pendapatan, kementerian itu berkata perbelanjaan serta tahap kesejahteraan sosioekonomi isi rumah, purata perbelanjaan bulanan isi rumah B40 dan M40 antara 2022 hingga 2024 menunjukkan peningkatan yang sederhana.

MOF berkata pemerhatian bagi satu daripada kategori perbelanjaan iaitu pengangkutan bagi kumpulan B40 meningkat secara terkawal daripada sekitar RM311 kepada RM320 sebulan antara tahun 2022 hingga 2024.

Sementara itu, bagi kumpulan M40 ia meningkat daripada sekitar RM575 kepada RM606 sebulan dalam tempoh yang sama.
— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian