Perlu Pembaharuan Struktur Untuk Tingkatkan Segmen B40 – Principal Asset Management

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — Pembaharuan struktur diperlukan di Malaysia untuk meningkatkan segmen B40 dan menangani ketidakpadanan kemahiran dalam pasaran tenaga kerja, kata Principal Asset Management Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Negara bagi Malaysia, Principal Asset Management Bhd Munirah Khairuddin berkata negara amat memerlukan pekerja mahir dan beliau meminta kerajaan supaya melihat secara mendalam sistem pendidikan dengan mengguna pakai pendekatan sains dan inovasi.

“Golongan B40 akan menjadi lebih besar dan lebih miskin. Kita harus memikirkan bagaimana untuk meningkatkan 40 peratus penduduk Malaysia ini kepada kedudukan yang lebih baik.

“Saya berpendapat kerajaan akan melakukan pelbagai tindakan tetapi ia juga memerlukan kesedaran diri yang tinggi oleh kumpulan B40 mengenai cara untuk meningkatkan nilai mereka dan ia bermula dengan sistem pendidikan,” katanya kepada Bernama di luar Persidangan Principal Retirement and Investment 2022, di sini hari ini.

Munirah berkata pembaharuan struktur dalam sistem pendidikan dan celik kewangan perlu dimulakan lebih awal.

“Kami mempunyai ramai graduan tetapi adakah mereka boleh diambil bekerja atau boleh dipasarkan? Justeru itu pembaharuan struktur adalah penting untuk menjadikan mereka berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Simpanan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berada pada 26 peratus tetapi secara relatifnya lebih tinggi berbanding negara lain, katanya.

Selain itu, beliau berkata sebilangan besar golongan muda berada dalam nilai bersih negatif disebabkan oleh liabiliti yang tinggi.

“Ramai orang masih berada dalam kedudukan hutang bersih selain aset bersih. Ia benar-benar penting untuk melihat kepada nilai bersih.

“Daripada segi kedudukan aset bersih, rakyat Malaysia mempunyai banyak perkara yang perlu dilakukan tetapi pada tahap yang lebih tinggi, banyak wang digunakan untuk pelaburan dan golongan kaya melancong ke merata tempat,” katanya.

Munirah berkata masalahnya terletak pada jurang pendapatan, ia telah menjadi lebih besar.

“Bagi mengekalkan masyarakat yang maju, ia adalah penting meningkatkan segmen B40 ke tahap lebih tinggi.

“Apa yang kerajaan lakukan adalah penting, jika tidak kita akan terus berada pada tahap yang sama,” katanya.

Ditanya sama ada kenaikan gaji akan menjadi penyelesaian yang lebih baik, Munirah berkata langkah itu dilihat tidak sesuai dalam keadaan ekonomi semasa.

“Sebagai contoh, kadar inflasi Amerika Syarikat berada pada 9.1 peratus. Adakah ini bermakna kenaikan gaji sepatutnya 10 peratus, lebih tinggi daripada inflasi?, peningkatan sedemikian akan menjadi sukar jika kita melalui tempoh kemelesetan dan inflasi,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA