Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Adalah Terbaik Di Asia Tenggara, Bukti Kerajaan Tidak Gagal – Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) — Pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 8.9 peratus untuk suku kedua tahun ini adalah yang terbaik di Asia Tenggara sekali gus membuktikan kerajaan tidak gagal seperti didakwa pembangkang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pertumbuhan positif itu disumbang keputusan kerajaan untuk membuka semula semua sektor ekonomi dan sempadan negara yang berjaya mengembalikan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

“Sejak mengambil alih kepimpinan, pengangguran jatuh daripada 4.3 peratus kepada 3.8 peratus yang hampir menyamai paras sebelum pandemik.

“Pelaburan langsung asing (FDI) mencapai rekod paras tertinggi pada suku keempat 2021 dengan mencatatkan sebanyak RM26.7 bilion disusuli dengan RM23.3 bilion pada suku pertama 2022,” katanya pada sesi Bicara Hati Perdana Menteri sewaktu Konvensyen Wanita Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata pengumuman terbaharu kemasukan FDI pada suku kedua 2022 sebanyak RM24.1 bilion menjadikan kemasukan FDI untuk tempoh sembilan bulan berjumlah RM74.1 bilion, mengatasi jumlah FDI pada 2021, 2020, 2019 dan 2018.

“Jadi janganlah kita termakan dengan dakwaan bahawa syarikat asing tdak ingin melabur di negara kita,” katanya.

— LAGI

Artikel asal: https://thekapital.my/pertumbuhan-ekonomi-malaysia-adalah-terbaik-di-asia-tenggara-bukti-kerajaan-tidak-gagal-perdana-menteri/

Previous ArticleNext Article

Pembaharuan Subsidi, Kadar Cukai Tinggi Mungkin Tidak Popular, Tetapi Malaysia Memerlukannnya – Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) — Tindakan berani yang diambil oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulihkan ekonomi Malaysia walaupun melibatkan langkah-langkah yang tidak popular, tetapi penting untuk kemajuan negara, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau berkata langkah melaksanakan pembaharuan subsidi diesel dan kadar cukai perkhidmatan yang lebih tinggi akan membolehkan Malaysia menghadapi sebarang cabaran ekonomi yang mungkin timbul pada masa hadapan.

“Apa yang lebih penting, ia adalah untuk membolehkan lebih ruang fiskal bagi kerajaan untuk berbelanja lebih dalam bidang yang boleh membawa lebih produktiviti untuk negara, terutamanya dalam bidang yang berkaitan dengan pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur,” katanya dalam program televisyen Bernama World hari ini.

Mohd Afzanizam menyatakan langkah-langkah pembaharuan itu telah mendapat sambutan yang baik daripada pelbagai pihak berkepentingan, terutamanya daripada pasaran kewangan, yang diterjemahkan kepada prestasi yang lebih baik bagi ringgit dan pasaran ekuiti.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata Malaysia telah berdepan dengan isu defisit belanjawan selama beberapa dekad dan defisit tersebut telah wujud tanpa mengira kitaran ekonomi.

“Secara idealnya, belanjawan seimbang seharusnya dicapai apabila ekonomi telah pulih sepenuhnya daripada sebarang bentuk kejutan, tetapi saya fikir ia lebih daripada itu, apa yang kita lihat adalah defisit tersebut berterusan dan telah menjadi struktur.

“Jadi saya rasa pentadbiran semasa ini sedang membuat langkah berani untuk memastikan kedudukan fiskal kita, terutamanya berkaitan dengan defisit dan tahap hutang, yang akan dikembalikan ke tahap yang lebih mampan,” katanya lagi.

Mohd Afzanizam berpendapat strategi pentadbiran semasa juga akan menarik minat pelabur asing, terutamanya kerana kedudukan kewangan yang lebih kukuh akan menghasilkan skor kredit yang lebih tinggi.

“Defisit fiskal atau hutang kerajaan ini sangat berkait rapat dengan risiko kredit dan risiko kredit sentiasa dinilai oleh agensi penarafan kredit seperti S&P dan Fitch Ratings.

“Agensi penarafan telah memberi ulasan positif terhadap pasaran Malaysia dan ini akan menjadi fokus jualan bagi pasaran Malaysia kita, yang akhirnya akan menarik lebih banyak dana asing ke Malaysia dan mungkin akan menyumbang kepada peningkatan nilai ringgit,” tambahnya.

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam mengakui bahawa langkah-langkah yang tidak popular ini memerlukan komunikasi yang lebih baik dan kerajaan perlu jelas dalam menyampaikan mesej supaya rakyat dapat memahami objektif tindakan tersebut.

“Orang ramai perlu tahu apakah hasil yang akan mereka peroleh pada masa akan datang,” katanya.

— BERNAMA