Prospek Pusat Data, Tenaga Lonjak Pertumbuhan Kee Ming

KUALA LUMPUR: Kee Ming Group (KM) berada di landasan kukuh untuk mencatat pertumbuhan pendapatan yang lebih mampan, disokong rekod buku tender bernilai RM1.7 bilion setakat Mei 2026 yang dijangka menjadi pemacu utama perolehan kontrak baharu syarikat.

Maybank Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya berkata, momentum kemenangan kontrak syarikat kejuruteraan itu dijangka kekal kukuh dalam tempoh beberapa tahun akan datang berdasarkan aliran tender semasa.

Penganalisisnya, Thong Kei Jun, mengandaikan kadar kemenangan sejarah syarikat sebanyak 15 peratus bagi perolehan kerja baharu.

“Berdasarkan rekod prestasi, kadar kemenangan sejarah ini berpotensi diterjemahkan kepada tambahan RM250 juta bagi penambahan semula buku pesanan dalam tahun kewangan 2027 (FY27E),” katanya.

Menurut laporan itu, Kee Ming turut berada pada kedudukan yang baik untuk mengembangkan penglibatan dalam projek infrastruktur kuasa voltan tinggi (HV) serta pencawang pusat data (DC), sejajar dengan permintaan yang terus meningkat dalam kedua-dua segmen berkenaan.

Komitmen syarikat dalam sektor yang sedang berkembang pesat itu dibuktikan menerusi kejayaan memperoleh kerja subkontrak bagi pembangunan fasiliti pusat data berskala hiper.

Antara kontrak yang diperoleh ialah kerja subkontrak bernilai RM6.7 juta di Elmina Business Park 1A serta projek bernilai RM21.4 juta di Puncak Alam yang dianugerahkan oleh kontraktor pihak ketiga.

Dari sudut sinergi korporat, penyertaan Solarvest sebagai pemegang saham utama dengan pegangan 23.9 peratus terus memberikan kelebihan daya saing kepada Kee Ming.

Baru-baru ini, syarikat itu menerima surat penganugerahan (LOA) bernilai RM70 juta daripada Solarvest bagi membina fasiliti saling sambungan (IF) untuk ladang solar berkapasiti 100 megawatt (MW) di Kedah.

Kontrak berkenaan meningkatkan baki buku pesanan tertunggak Kee Ming sebanyak 40 peratus kepada RM243.3 juta berbanding RM173.2 juta sebelum ini.

Susulan perkembangan positif itu, Maybank Investment Bank menaikkan unjuran pendapatan Kee Ming bagi tahun kewangan 2027 hingga 2029 sebanyak 18 peratus hingga 29 peratus, sejajar semakan sasaran penambahan buku pesanan kepada antara RM350 juta dan RM470 juta.

Firma itu turut mengekalkan saranan “Beli” terhadap saham Kee Ming serta menaikkan harga sasaran kepada RM1.94 sesaham, yang mewakili potensi kenaikan sekitar 21 peratus daripada paras semasa.

— Berita Harian

Previous ArticleNext Article

GEAR-uP: KWAP labur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical Holdings Sdn Bhd, pembekal sehenti dan pemilik jenama nutraseutikal di Malaysia, bagi membangunkan ekosistem pasaran persendirian negara menerusi Dana Pemacu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini berkata, pelaburan itu dilaksanakan menerusi pengurus dana tempatan Mekar Capital dan pengurus dana global Navis Capital.

Menurut laporan itu, pelaburan berkenaan membuktikan modal institusi mampu memajukan sektor kesihatan bernilai tinggi menerusi inovasi nutraseutikal, pengkomersialan produk serta pembangunan jenama premium.

KWAP turut menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan bersama sebanyak RM210 juta dalam Fasa 1 bagi pembangunan 9,000 katil.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pembangunan yang lebih luas untuk menyediakan 28,800 katil menerusi empat projek, dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira RM600 juta,” menurut laporan itu.

MOF berkata, pelaburan berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran kediaman lebih baik kepada golongan yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Laporan itu turut memaklumkan pencapaian setakat Jun 2026 bagi inisiatif Dana Impak Khazanah Nasional Bhd.

Sebanyak 32 syarikat peringkat pertengahan disokong di bawah Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme, manakala 21 lagi menerima sokongan menerusi Program ELEVATE 2.0.

Sementara itu, MOF berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting sebagai pelabur asas dan pelabur utama strategik dalam penyenaraian berkualiti di Bursa Malaysia.

Langkah itu melengkapkan konsep larian berganti apabila modal yang dipulangkan kepada pelabur modal teroka dan ekuiti swasta boleh dilaburkan semula dalam generasi baharu firma peringkat awal.

Pendekatan berkenaan membolehkan lebih banyak syarikat berkembang secara berperingkat sehingga mencapai tahap sesuai untuk disenaraikan.

Menurut laporan itu, aliran penyenaraian yang berterusan penting bagi mencapai sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk meningkatkan permodalan pasaran kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030.

Sokongan kukuh pelabur institusi turut menjadi antara faktor penting bagi memastikan aliran berkenaan kekal mampan.

MOF berkata, GLIC mengurus secara aktif portfolio merangkumi 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan sasaran pulangan tahunan 7.5 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Portfolio berkenaan berpotensi menjana nilai sehingga RM100 bilion.

Prestasi pada 2025 melepasi sasaran apabila mencatat pulangan pemegang saham sebanyak 8.0 peratus.

“Memandangkan GLC mewakili kira-kira 27 peratus daripada permodalan Pasaran Utama Bursa Malaysia, keuntungan ini disalurkan semula kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWAP, Permodalan Nasional Bhd dan Tabung Haji untuk meningkatkan simpanan persaraan rakyat Malaysia,” menurut MOF.

Menurut laporan itu, GLIC memacu penjanaan nilai portfolio menerusi tiga pendekatan utama, iaitu menyediakan laluan keluar bagi kitaran modal, memperkukuh kredibiliti untuk pasaran lebih luas serta membina asas pemilik jangka panjang yang stabil.