Ringgit Dibuka Kukuh Pada 4.35 Berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) — Ringgit dibuka kukuh pada 4.35 berbanding dolar AS, mencecah hampir paras tertinggi dalam tempoh 28 bulan berikutan Rizab Persekutuan (Fed) AS dilihat berada di landasan untuk penurunan kadar faedah, kata penganalisis.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan naik 205 peratusan dalam mata (pip) kepada 4.3515/3700 berbanding dolar AS daripada 4.3720/3775 pada Jumaat lepas.

Paras tertinggi ringgit yang ditutup sebelum ini ialah 4.3520/3570, dicatatkan pada 29 April 2022.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ucapan Pengerusi Fed Jerome Powell pada Simposium Jackson Hole pada Jumaat lepas menunjukkan perubahan dasar daripada mengekang risiko inflasi yang lebih tinggi kepada mengelak pengurangan dalam kadar pertumbuhan pasaran buruh.

“Powell amat jelas dalam ucapannya, menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk dasar itu diselaraskan.

“Sehubungan itu, hampir pasti bahawa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada 17 hingga 18 September akan menyaksikan Fed memulakan pelonggaran dasar monetarinya,” katanya kepada Bernama.

Oleh itu, Mohd Afzanizam berkata ringgit dijangka terus meningkat berbanding dolar AS dan mungkin bergerak ke arah paras sokongan segera pada RM4.3000 hari ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.0231/0362 daripada 2.9914/9956 pada Jumaat lepas, merosot berbanding euro kepada 4.8689/8896 daripada 4.8604/8665 sebelum ini dan susut berbanding pound kepada 5.7501/7745 daripada 5.7391/7463 sebelum ini.

Sebaliknya, prestasi ringgit bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 280.8/282.2 daripada 282.1/282.7 pada Jumaat lepas dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.71/7.75 daripada 7.75/7.76 sebelum ini.

Bagaimanapun, mata wang tempatan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3447/3595 daripada 3.3410/3454 pada Jumaat lepas dan susut berbanding baht Thailand kepada 12.8106/8734 daripada 12.7575/7810.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA