Acara Maya SC InvestSmart® Fest 2020 Sasar Untuk Tingkatkan Literasi Pelaburan dan Kesedaran Mengenai Penipuan

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan menganjurkan pesta pendidikan pelabur tahunannya yang utama iaitu InvestSmart® Fest 2020, bermula 23 hingga 25 Oktober 2020. Ini merupakan acara tahunan InvestSmart® Fest kali ketujuh, dan buat kali diadakan secara maya.

Tahun ini InvestSmart® Fest bertemakan “Silap Labur Duit Lebur” yang juga diadakan untuk menyokong Bulan Literasi Kewangan 2020 yang pertama anjuran Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN). InvestSmart® Fest yang bertujuan untuk melengkapkan para pelabur dengan asas-asas untuk membuat keputusan pelaburan yang mantap mengetengahkan lebih 35 pempamer maya yang terdiri daripada pengantara pasaran modal, persatuan, pengawal selia dan pengendali pendanaan ramai berasaskan ekuiti, pembiayaan antara rakan setara (P2P) dan pasaran aset digital. Bursa Malaysia Berhad, Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia dan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia merupakan rakan kongsi acara SC InvestSmart® Fest tahun ini. Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata InvestSmart® Fest merupakan peluang bagi rakyat Malaysia untuk mempelajari kaedah mencapai kesejahteraan kewangan, di samping meningkatkan kesedaran mereka mengenai skim penipuan yang meningkat.

Walaupun merancang awal untuk persaraan penting untuk mencapai kesejahteraan kewangan seseorang, tinjauan SC menunjukkan bahawa rakyat Malaysia cenderung untuk memulakan rancangan persaraan hanya pada peringkat akhir kehidupan mereka, iaitu sekitar 44 tahun ke atas. SC menambah bahawa penting bagi semua rakyat Malaysia untuk belajar mengurus kewangan dan mula menabung dan melabur awal, walaupun hanya dalam jumlah yang kecil, untuk mengendalikan kewangan mereka.

Dengan meningkatnya skim-skim penipuan, SC telah mempergiatkan kempen kesedaran pencegahan penipuan sejak tahun lalu. Sehingga akhir September tahun ini, SC telah menerima 370 pertanyaan dan aduan mengenai skim pelaburan tidak sah berbanding 317 pada sepanjang tahun lalu. Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar menegaskan bahawa SC baru-baru ini telah menubuhkan pasukan petugas dalaman untuk memberi tumpuan kepada penyiasatan dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap individu di sebalik skim penipuan ini dan menggesa orang ramai untuk tampil memberikan sebarang maklumat untuk membantu SC memerangi skim penipuan ini.

SC menggesa para pelabur agar berhati-hati sebelum melabur dalam mana-mana skim yang dipromosikan di media sosial seperti Facebook dan WhatsApp Messenger. Pelabur hendaklah menggunakan pelbagai saluran yang disediakan oleh SC, seperti Senarai Berhati-Hati (Alert List) SC, untuk mengesahkan kesahihan skim pelaburan dan status individu yang mempromosinya. Pelabur juga boleh menghubungi SC di talian +603 6204 8999 atau e-mel: [email protected] jika mereka telah dipelawa untuk melabur dalam skim yang menjanjikan pulangan yang indah khabar dari rupa.

InvestSmart® Fest 2020 menampilkan barisan pakar-pakar industri yang ternama untuk berkongsi pandangan mengenai peluang pelaburan, pengurusan kewangan, perancangan persaraan, cara digitalisasi mempengaruhi keputusan pelaburan di samping mengingatkan orang ramai agar terus berwaspada ketika melabur. Setakat ini, acara tahun ini telah berjaya menarik lebih daripada 5,000 peserta.

Orang ramai juga boleh meraih manfaat daripada sesi penilaian perancangan kewangan percuma bersama para perancang kewangan berlesen di bawah program #FinPlan4u, yang diadakan dalam talian bermula 19 hingga 25 Oktober 2020. Di samping itu, orang ramai juga berpeluang memenangi baucar dalam talian melalui hadiah cabutan bertuah dan kuiz pop yang diadakan sepanjang acara 3 hari itu. Untuk maklumat yang lebih lanjut atau menyertai acara secara langsung, sila layari www.investsmartsc.my.

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia:

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di twitter di @SecComMy untuk perkembangan terkini.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.