4 Benda Anda Kena Tahu Tentang KoPPIM dan Kempen Noriba

Baru-baru ini terbaca satu usaha dari pihak Koperasi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) berkenaan kempen Noriba. Apa yang cuba diusahakan oleh pihak KOPPIM adalah pinjaman yang tiada sebarang unsur keuntungan di mana jika anda meminjam RM10,000, bayaran yang perlu dibuat adalah RM10,000.

Buat masa ini, pinjaman yang mengamalkan cara seperti ini adalah pinjaman pendidikan sahaja iaitu Pinjaman Pendidikan Mara atau Pinjaman Pendidikan yang ditawarkan oleh kerajaan negeri.

Pada waktu ini, amalan oleh perbankan islam di Malaysia adalah pihak bank akan mengenakan kadar keuntungan kepada peminjam mengikut kadar keuntungan efektif bank tersebut. Kadar keuntungan yang ditawarkan pula bergantung kepada Overnight Policy Rate (OPR) yang ditentukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) selaku pengawal selia bank-bank di Malaysia.

Jika OPR diturunkan, kadar keuntungan yang ditawarkan oleh pihak bank juga akan rendah bermakna ansuran bulanan turut rendah, begitu juga sebaliknya.

Photo by Danish Ahmad from Pexels

Daripada segi perbezaan dengan bank konvensional, perbankan Islam di Malaysia mengaplikasikan ‘profit ceiling rate’ di mana walaupun profit rate melambung tinggi, tetapi peminjam hanya perlu membayar pada kadar siling sahaja. Berbeza dengan bank konvensional yang tiada kadar siling.

Selain daripada itu, perbankan islam tidak mengenakan faedah atas faedah di atas kelewatan pembayaran bayaran. Denda caj lewat itu pula mengaplikasikan konsep ta’widh dan gharamah di mana pihak bank hanya berhak mengambil apa yang pihak bank rugi sahaja akibat dari kelewatan bayaran tersebut, sebarang lebihan perlu disalurkan ke badan kebajikan.

Perbandingan lain adalah perbankan islam menitikberatkan akad jual beli di mana terdapat kontrak yang telah dipersetujui antara peminjam dan bank. Di Malaysia, pihak bank menggunakan kontrak tawarruq antara peminjam dan bank.

Di sebalik kontrak tersebut, adanya jual beli komoditi yang mungkin tidak diketahui atau disedari oleh peminjam disebabkan kemungkinan tiada penerangan dari eksekutif jualan (wakil bank).

Berbalik kepada KoPPIM dan kempen Noriba, apa yang kami boleh rumuskan adalah seperti berikut:

1. Tiada Kadar Keuntungan

Photo by Lukas from Pexels

Ini yang paling dinanti-nanti banyak pihak. Siapa yang tak nak kalau pinjam seribu bayar pun seribu. Itu kalau pinjam seribu, kalau pinjam amaun yang lebih besar mungkin lebih ketara perbezaannya.

Sebagai contoh pinjaman berjumlah RM 100K dengan kadar keuntungan 3 peratus setahun pada kadar tetap dan perlu dibayar dalam tempoh 9 tahun, amaun pinjaman sebenar yang perlu dibayar adalah sebanyak RM127,000.

Jika tiada kadar keuntungan yang diambil oleh pihak yang memberi pinjam, secara tidak langsung ansuran bulanan juga akan berkurang dan meningkatkan pendapatan bersih peminjam.

2. Berorientasikan Kebajikan

Koperasi ini ditubuhkan adalah berorientasikan kebajikan bukan keuntungan. Penubuhan koperasi ini adalah bagi pembangunan ekonomi ummah.

Kalau nak tahu, pencetus idea kempen Noriba ini adalah pengasas Malakat Mall (Coach Fadzil Hashim) iaitu satu pasaraya yang mengumpulkan produk-produk muslim untuk dipasarkan. Coach Fadzil adalah merupakan CEO KoPPIM.

3. Infaq dan Saham

Image by eko pramono from Pixabay

Mengikut maklumat dari laman web KoPPIM, dana pinjaman akan diperolehi melalui saluran infaq dan pembelian saham. Bagi infaq tiada sebarang amaun minimum, ikut keikhlasan masing-masing.

Bagi pembelian saham pula, nilai minimum adalah RM100 setiap bulan.

4. Pelaburan

Dana yang dikumpulkan melalui infaq dan saham, kemudiannya akan diasingkan kepada dua tabung iaitu tabung pinjaman dan tabung pelaburan. Tabung pinjaman digunakan untuk memberi pinjaman manakala tabung pelaburan akan digunakan untuk melabur di dalam pelaburan berisiko rendah (target keuntungan adalah dalam 10 hingga 15 peratus setahun).

Keuntungan daripada tabung pelaburan ini akan digunakan untuk menampung kos operasi.

Jika diteliti kembali, konsep yang diaplikasikan pihak KoPPIM ini adalah seperti konsep takaful di mana setiap peserta akan saling bantu membantu antara satu dengan yang lain. Cuma takaful memberikan perlindungan bukannya pinjaman.

Tak banyak maklumat yang kami dapat dari laman web KoPPIM kerana pada peringkat ini, mereka masih dalam proses pengumpulan dana. Tiada lagi maklumat seperti kriteria peminjam, apa berlaku jika peminjam gagal membuat bayaran, dan lain-lain lagi.

Photo by Mohammad Danish from Pexels

Cuma buat masa ini, cadangan pinjaman akan diberikan mengikut kategori iaitu:

Pinjaman Peribadi – Maksimum RM 5K
Pinjaman Kenderaan – Maksimum RM 50K
Pinjaman Pendidikan – Maksimum RM 50K
Pinjaman Perumahan – Maksimum RM 500K

Maklumat lanjut boleh layari laman web KoPPIM https://www.koppim.com.my/.

Semoga dengan usaha pihak KoPPIM ini dapat meningkatkan taraf ekonomi masyarakat khususnya golongan muslim. Sebagai seorang muslim pula, jika usaha ini untuk kesejahteraan ummah, adalah amat baik untuk kita menyokongnya.

Ditulis Oleh Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.