Alibaba Cloud Lancar Platform ModelScope, Produk Pangkalan Data Tanpa Pelayan

KUALA LUMPUR, 3 Nov  (Bernama) — Alibaba Cloud melancarkan ModelScope, platform model-as-a-service (MaaS) berasaskan sumber terbuka yang mengandungi ratusan model kecerdasan buatan (AI) , termasuk model pralatihan untuk pembangun dan penyelidik global.

Alibaba Cloud merupakan unit teknologi digital dan kepintaran Alibaba Group.

Pembekal perkhidmatan awan terkemuka global itu juga turut memperkenalkan rangkaian produk pangkalan data tanpa pelayan dan menaik taraf analitik data bersepadu dan platform pengkomputeran pintar bagi membantu pelanggan mencapai inovasi perniagaan melalui teknologi awan.

Presiden Alibaba Cloud Intelligence, Jeff Zhang berkata pengkomputeran awan telah meningkatkan revolusi asas cara sumber pengkomputeran disusun, dihasilkan dan digunakan untuk kegunaan komersial sambil menukar paradigma pembangunan perisian dan mempercepatkan penyepaduan awan dan terminal titik akhir.

“Memandangkan lebih ramai pelanggan menyegerakan penggunaan perkhidmatan awan mereka, kami telah meningkatkan sumber, perkhidmatan dan peralatan berasaskan awan kami untuk menjadikannya tanpa pelayan, lebih pintar dan sepenuhnya digital bagi mengurangkan halangan kepada syarikat menggunakan teknologi baharu dan mendapatkan lebih banyak peluang dalam era perkhidmatan awan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata platform ModelScope mempunyai lebih 300 model AI yang sedia digunakan, dibangunkan oleh Alibaba DAMO Academy (DAMO), iaitu inisiatif penyelidikan global Alibaba, dalam tempoh lima tahun lalu.

Model ini merangkumi pelbagai bidang daripada visi komputer kepada pemprosesan bahasa asal dan audio.

Platform itu juga memiliki lebih daripada 150 model yang termaju, diiktiraf di peringkat global sebagai yang terbaik dalam bidang masing-masing untuk keberkesanan hasil dalam tugasan tertentu.

Turut disediakan pada platform tersebut ialah model pralatihan Alibaba yang besar seperti Tongyi, yang mampu menukar teks kepada imej dengan lima bilion parameter, dan satu untuk semua (OFA), enam bilion parameter pramodel terlatih yang cemerlang dalam tugasan silang modal seperti keterangan imej dan menjawab soalan secara visual.

“Sebagai komuniti sumber terbuka, ModelScope menyasarkan untuk menjadikan model AI lebih mudah dan menjimatkan kos.

“Pembangun dan penyelidik hanya boleh menguji model dalam talian secara percuma dan mendapatkan keputusan ujian mereka dalam beberapa minit sahaja,” katanya.

Zhang berkata Alibaba Cloud menjadikan produk perkhidmatan awan utama tanpa pelayan bagi membolehkan pelanggan menumpukan pada penggunaan dan pembangunan produk tanpa perlu risau tentang mengurus pelayan dan infrastruktur.

Beliau menambah bahawa produk dikemas kini Alibaba Cloud menumpukan pada menukar kuasa pengkomputeran kepada keupayaan atas permintaan untuk pengguna seperti pangkalan data asli awan PolarDB, gudang data asli awan AnalyticDB (ADB) dan ApsaraDB untuk Relational Database Service (RDS).

Pada masa ini, Alibaba Cloud mempunyai lebih daripada 20 produk utama tanpa pelayan secara keseluruhan dan menambah lebih banyak kategori produk tanpa pelayan.

Alibaba Cloud juga menaik taraf platform dan perkhidmatan data terbukanya, analisis data bersepadu yang dibangunkan sendiri dan platform pengkomputeran pintar, untuk menyediakan syarikat dengan perkhidmatan pemprosesan dan analisis data yang pelbagai.

Platform itu boleh mengendalikan kedua-dua data dalam talian dan luar talian secara serentak dalam satu sistem, menyediakan perniagaan yang mengendalikan beban kerja yang kompleks dengan analitik untuk membuat keputusan perniagaan dengan mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan.

— BERNAMA 

Artikel asal: https://thekapital.my/alibaba-cloud-lancar-platform-modelscope-produk-pangkalan-data-tanpa-pelayan/

Previous ArticleNext Article

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.