Majlis Pemulihan Negara Cakna Kelangsungan PKS Dalam Transisi Fasa Endemik

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) — Sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih bergelut untuk pulih dalam transisi endemik selepas menghadapi pelbagai cabaran selepas tidak beroperasi  kira-kira dua tahun akibat COVID-19.

Antara cabaran utama adalah ketidaktentuan persekitaran semasa global yang mendorong kenaikan harga barangan, tarif elektrik serta inflasi, sekali gus menyukarkan sektor ini untuk kekal berdaya saing.

Permasalahan usahawan terbabit bagaimanapun mendapat perhatian Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang cakna dengan cabaran dihadapi PKS, khususnya yang mengalami masalah aliran tunai susulan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) serta bebanan hutang yang tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MPN Tan Sri Sulaiman Mahbob berkata sektor PKS ternyata paling teruk terjejas berbanding syarikat multinasional yang mempunyai pilihan beralih ke negara lain selain kos pekerja yang lebih rendah. 

Justeru, MPN mengetengahkan beberapa cadangan kepada kerajaan dalam usaha membantu usahawan PKS ini untuk kembali bangkit termasuk memudahkan pinjaman serta memperkenalkan moratorium khas kepada PKS selaku tunjang ekonomi negara dengan menyumbang sebanyak 37.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2021.

Beberapa PKS yang ditemui turut menyambut baik inisiatif seperti pemberian moratorium dan kemudahan pinjaman yang dapat meringankan beban kewangan mereka.

Pemilik Taska Oren Enterprise, Norafizah Md Hassan yang mengusahakan pusat penjagaan kanak-kanak di tujuh cawangan sekitar Lembah Klang, mengakui syarikatnya masih dihimpit masalah aliran tunai dan dalam fasa pemulihan.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimulakan pada Mac 2020, pendapatan merosot sebanyak 50 peratus apabila ada ibu bapa memilih untuk tidak menghantar anak kerana bekerja dari rumah.

“Sebelum COVID-19, ramai ibu bapa menghantar anak mereka untuk sehari penuh, namun sekarang tidak menentu dan secara ad-hoc manakala bayaran pula adalah harian (bukan bulanan). Ini menyebabkan pendapatan kami berkurangan,” katanya kepada Bernama.

Keadaan itu memberi kesan ke atas syarikat yang telah beroperasi sejak 2004 dan menyebabkannya mempunyai tunggakan termasuk penyewaan premis, bil api dan air selain caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerja berikutan keutamaannya adalah gaji untuk 42 pekerjanya.

Sehubungan itu, Norafizah menyifatkan pemberian moratorium itu sebagai wajar dalam membantu syarikat mengalami masalah aliran tunai.

“Bagaimanapun, lebih wajar lagi sekiranya pihak bank menawarkan moratorium tanpa faedah serta tidak melanjutkan tempoh pembiayaan lebih panjang yang boleh memberi kesan kepada prestasi syarikat,” katanya.

Sementara itu, Natrah Noor yang mengusahakan kemudahan inap desa Teluk Cempedak Inn Maya Abaya di Kuantan, Pahang, berkata beliau berdepan cabaran mengekalkan momentum perniagaan dan meneruskan operasi harian.

Malah, perniagaan itu pernah ditutup ketika PKP kerana masalah aliran tunai dan terpaksa menggunakan wang simpanan selain bernasib baik mendapat kemudahan pinjaman bank berjumlah RM75,000 untuk membiayai kos operasi serta gaji pekerja.

Natrah berkata, perniagaannya kembali bernafas selepas sempadan negara dibuka pada 1 April lepas dan kemudahan penginapannya itu menerima jumlah pelancong yang tinggi.

“Meskipun sektor pelancongan kian rancak, jumlah pelancong tidak lagi sama seperti sebelum COVID-19.

“Jika sebelum ini semua bilik habis ditempah ketika cuti sekolah, sekarang sebaliknya kerana sentimen pengguna yang lebih berhati-hati dalam berbelanja,” katanya.

Beliau bertindak menambah pekerja bagi tujuan promosi yang membantu peningkatan jualan sebanyak 30 peratus, namun kini berdepan masalah kenaikan kos yang ketara.

Huspalita Hussain Arif yang juga pemilik bakeri, Cheesylogy Enterprise, berkata walaupun perniagaan telah kembali beroperasi seperti biasa, kenaikan harga bahan mentah yang amat mendadak memberi kesan besar kepada keseluruhan perniagaannya.

“Jualan seperti biasa namun keuntungan kami merosot sebanyak 20-30 peratus kerana kenaikan harga bahan mentah dan tarif elektrik. Ini ditambah pula dengan pelaksanaan kadar gaji minimum sebanyak RM1,500 yang memberi impak kepada syarikat,” katanya.

Beliau berkata, corak perbelanjaan pelanggan juga telah berubah apabila tidak lagi rancak berbelanja seperti sebelum pandemik berikutan inflasi.

Huspalita yang memulakan perniagaan sejak 2016, menggunakan wang simpanan untuk menampung keperluan perniagaan.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/majlis-pemulihan-negara-cakna-kelangsungan-pks-dalam-transisi-fasa-endemik/

Previous ArticleNext Article

Mastercard Melancarkan Portfolio Penyelesaian Fleet Di Asia Pasifik

Malaysia, 4 Februari 2026 – Mastercard hari ini mengumumkan pelancaran Mastercard Fleet: Next Gen di Asia Pasifik, iaitu satu portfolio penyelesaian inovatif yang memperluaskan pembayaran fleet melangkaui pembelian bahan api bagi menyokong keseluruhan keperluan mobiliti pengendali fleet masa kini. Penyelesaian ini direka secara strategik untuk memenuhi tahap kematangan pasaran dan segmen pelanggan yang berbeza daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan fleet berskala kecil, hingga kepada pengendali logistik berskala besar.

Seiring ekosistem fleet yang semakin kompleks, pengendali memerlukan keterlihatan yang lebih jelas terhadap perbelanjaan, kawalan yang lebih kukuh, serta data yang boleh digunakan secara masa nyata. Apabila data pembayaran terpisah dalam sistem yang berasingan, ia mewujudkan titik buta yang mengehadkan kecekapan dan pengoptimuman termasuk kesukaran menyatukan transaksi bahan api, penyelenggaraan dan pengecasan kenderaan elektrik (EV) dalam satu platform, atau menyukarkan pengurus mengenal pasti ketidakwajaran di sepanjang laluan operasi. Mastercard Fleet: Next Gen menyatukan data pembayaran dan menukarkannya kepada maklumat yang boleh ditindaklanjuti, yang diintegrasikan terus ke dalam aliran kerja pengurusan fleet.

Asia Pasifik merupakan rantau yang berkembang paling pesat bagi pengurusan fleet, dengan pasaran diunjurkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 18% sehingga tahun 2030. Dalam tempoh yang sama, pengendali terus berdepan tekanan kos, keperluan kelestarian yang semakin ketat serta jangkaan tinggi terhadap aspek keselamatan dan pematuhan. Dalam persekitaran ini, keupayaan untuk mengakses data pembayaran yang konsisten dan diperkaya merentasi semua aktiviti fleet adalah penting bagi menyokong skala operasi dan prestasi jangka panjang.

Disokong oleh lebih dua dekad kepakaran global dalam bidang fleet, Mastercard Fleet: Next Gen menghimpunkan satu set penyelesaian yang direka untuk menyokong keperluan pengendali fleet dan pengeluar kad yang sentiasa berkembang, termasuk:

  • Penerimaan global di berjuta-juta lokasi, merangkumi pembelian bahan api, pengecasan EV, penyelenggaraan, tol dan perbelanjaan sokongan fleet lain
  • Data fleet berasaskan rangkaian yang direkodkan di tempat jualan, selaras dengan piawaian global
  • Penyelesaian khusus pasaran yang membolehkan pengumpulan data yang dipertingkatkan di stesen minyak dan peniaga berkaitan fleet
  • Kad fleet yang diperuntukkan dan dikeluarkan secara digital untuk kenderaan atau pemandu bagi pembayaran tanpa sentuh atau mudah alih, termasuk penyelesaian kad maya khusus untuk kegunaan fleet
  • Integrasi dengan teknologi sedia ada seperti platform mobiliti, rangkaian pemeroleh dan alat pengurusan fleet

Menurut Anouska Ladds, Ketua Pembayaran Komersial & Aliran Pembayaran Baharu Asia Pasifik, Mastercard, “Keperluan fleet di Asia Pasifik sangat berbeza-beza, dan penyatuan pembayaran, data serta kawalan dalam satu pengalaman mencerminkan keperluan sebenar pengurus fleet. Penyelesaian fleet Mastercard direka untuk membantu pengeluar kad fleet dan penyedia pembayaran khusus membawa keupayaan fleet termaju ke pasaran dengan lebih pantas, sambil mengurangkan kerumitan dan pelaburan yang biasanya diperlukan untuk membangunkan keupayaan tersebut.”

Mastercard membolehkan pemilik program fleet menyediakan:

  • Kawalan kelulusan dan dasar perbelanjaan yang lebih pintar mengikut kenderaan, pemandu, kategori peniaga, lokasi, masa dan amaun
  • Pengurusan data fleet bagi menyokong pematuhan, perakaunan dan analitik seterusnya membolehkan pengurusan kos yang lebih baik serta ramalan yang lebih tepat
  • Pemantauan penipuan dan penyalahgunaan secara masa nyata yang boleh disesuaikan dengan keperluan operasi fleet

Pelancaran rangkaian penyelesaian fleet terbaharu Mastercard di Asia Pasifik ini memperluaskan lagi tawaran syarikat dalam segmen penting ini, di samping memperkukuh kepakaran dan inovasi Mastercard dalam bidang fleet dan mobiliti di peringkat global. Langkah ini juga mencerminkan komitmen Mastercard untuk mempermudah pembayaran B2B dengan menghubungkan aliran komersial yang terpecah-pecah melalui satu infrastruktur yang dipercayai, sekali gus membantu perniagaan daripada pelbagai saiz berkembang dalam persekitaran operasi yang semakin kompleks.