Azlan Shah Al Bakri Dilantik Jadi CEO Baharu KTMB

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Azlan Shah Al Bakri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB yang baharu, berkuat kuasa 12 Januari 2026.

Pelantikan ini mencerminkan keyakinan Ahli Lembaga Pengarah terhadap kewibawaan serta kepakaran beliau, khususnya dalam ekosistem pengangkutan awam dan tadbir urus organisasi.

Ia juga selari dengan komitmen KTMB untuk terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan rel negara secara berfasa, progresif dan berpaksikan pengguna.

Pengerusi KTMB, Datuk Ahmad Redza Abdullah, berkata pelantikan Azlan Shah adalah berdasarkan rekod kepimpinan beliau yang kukuh serta pengalaman mendalam dalam sektor pengangkutan awam.

“KTMB yakin beliau mampu memacu syarikat ke arah pencapaian yang lebih tinggi melalui pendekatan berteraskan tadbirurus baik, daya saing operasi dan penambahbaikan pengalaman pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.

Azlan Shah sebelum ini berkhidmat selama enam tahun sebagai Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di bawah Kementerian Pengangkutan.

Beliau memiliki pengalaman luas dalam ekosistem pengangkutan awam khususnya sektor rel, meliputi aspek kawal selia, perancangan perkhidmatan serta penyelarasan pelaksanaan inisiatif pengangkutan awam di peringkat nasional.

Pengalaman itu diyakini dapat memperkukuh hala tuju strategik KTMB sebagai pengendali rel negara.

Sebelum menyertai pihak berkuasa pengangkutan awam, Azlan Shah mempunyai pengalaman dalam sektor korporat serta institusi kewangan, khususnya dalam bidang operasi, pengurusan risiko dan kawalan dalaman.

Beliau merupakan graduan perakaunan dari University of Portsmouth, United Kingdom dan pemegang Sarjana Pentadbiran Kewangan (Kewangan) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Mengulas pelantikan, Azlan Shah berkata: “Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan yang diberikan dan menerima amanah ini dengan penuh tanggungjawab dan komitmen untuk memperkukuh keupayaan KTMB sebagai pengendali rel negara melalui penambahbaikan berterusan yang menekankan aspek keselamatan, kebolehpercayaan perkhidmatan serta kecekapan operasi demi manfaat pengguna”.

KTMB yakin pelantikan ini akan memperkukuh hala tuju strategik organisasi dalam melaksanakan pembaharuan operasi, mempertingkat tahap penyampaian perkhidmatan, serta memperkukuh kerjasama strategik bersama pemegang taruh demi manfaat rakyat dan pembangunan mobiliti negara.

Terdahulu, KTMB diterajui oleh Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin yang telah meletakkan asas yang kukuh dalam penstrukturan organisasi, pengukuhan tadbir urus serta pemerkasaan perkhidmatan rel negara.

— Berita Harian

Previous ArticleNext Article

Indeks Faktor Kualiti Pertama Bursa Malaysia Menampilkan Syarikat Dengan Ciri Kewangan Yang Kukuh

Kuala Lumpur — Bursa Malaysia (“Bursa”) hari ini melancarkan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 (BMQ) dan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 Shariah (BMQ-S), iaitu indeks dalaman pertama Bursa yang dibangunkan berasaskan prestasi kewangan.

Berbeza dengan indeks penanda aras utama yang kebanyakannya menjejaki syarikat berdasarkan permodalan pasaran, indeks BMQ dan BMQ-S menampilkan syarikat tersenarai yang menunjukkan ciri kewangan yang lebih kukuh dari segi keuntungan, struktur modal dan kualiti pendapatan. Faktor-faktor ini diukur melalui Pulangan ke atas Ekuiti (Return on Equity), Nisbah Hutang kepada Ekuiti (Debt-to-Equity), serta Aliran Tunai Operasi berbanding Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti.

Setiap indeks merangkumi 50 syarikat daripada Pasaran UTAMA dan Pasaran ACE yang tidak termasuk dalam FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBMKLCI), iaitu penanda aras utama pasaran yang menumpukan sebahagian besar permodalan pasaran dan perhatian pelabur.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed, berkata “Pelancaran Indeks Bursa Malaysia Quality 50 dan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 Shariah menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan inovasi indeks kami. Kami melihat kemunculan syarikat yang berdaya tahan dari segi kewangan merentasi pelbagai sektor, termasuk syarikat teknologi yang membentuk hampir 18% daripada kedua-dua BMQ dan BMQ-S. Indeks ini menyediakan titik rujukan yang mencerminkan landskap pertumbuhan yang lebih luas, sekali gus memastikan syarikat Malaysia dengan asas kukuh lebih jelas kelihatan dan mudah diakses oleh pelabur, di samping menyokong penyertaan yang lebih meluas dalam pasaran ekuiti Malaysia.”

Kedua-dua indeks BMQ dan BMQ-S menggunakan rangka kerja pembinaan indeks yang sama, dengan BMQ-S hanya merangkumi sekuriti yang diiktiraf sebagai patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Bagi memastikan indeks ini mencerminkan syarikat yang sesuai sebagai penanda aras dan rujukan pelaburan, syarikat terpilih perlu memenuhi keperluan minimum dari segi saiz dan aktiviti dagangan.

Indeks-indeks ini akan disemak dua kali setahun bagi memastikan ia terus mencerminkan keadaan pasaran semasa dan prestasi syarikat. Nilai indeks serta maklumat komponen akan tersedia di laman sesawang Bursa Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai indeks BMQ dan BMQ-S serta metodologinya, sila layari:
https://www.bursamalaysia.com/trade/our_products_services/indices/bursamalaysia-quality-50-index