Bila TheLorry Nak IPO?

TheLorry ditubuhkan lewat tahun 2014 oleh Nadhir Ashafiq dan Chee Hau Goh. Idea awal TheLorry adalah menjadi “Expedia untuk logistik” sebelum menjadi “Uber untuk lori”.

Peringkat awal TheLorry fokus pada segmen business-to-consumer (B2C) sebelum beralih kepada business-to-business (B2B).

Dengan bisnes yang semakin berkembang, ramai yang berminat dan bertanyakan mengenai perancangan jika TheLorry akan ke bursa saham.

Berikut adalah perkongsian hantaran oleh salah seorang pengasas TheLorry iaitu Nadhir Ashafiq

“Nadhir, bila TheLorry nak IPO?”

Saya sering dapat soalan ini apabila berjumpa dengan rakan-rakan bisnes atau saudara mara. Sejujurnya pada waktu itu mungkin belum bersedia.

Sekarang? Sudah. Tetapi kami memilih untuk memberi ‘signal’ terlebih dahulu kepada pasaran bahawa kami bersedia untuk IPO. Sambil itu membina kredibiliti daripada segi kewangan dan tadbir urus (governance) yang baik.

Dengan cara apa? Jawapannya – pitchIN

“Apa kena mengena pitchIN dengan IPO, Nadhir?”

Tenang. Biar saya terangkan. pitchIN adalah sebuah platform equity crowdfunding (ECF) yang menghubungkan pelabur dengan syarikat-syarikat yang mencari dana pelaburan. Mereka adalah platform yang mempunyai lesen daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Hampir RM300 juta sudah dilaburkan oleh pelabur-pelabur kepada lebih 150 syarikat di platform pitchIN sejak ditubuhkan pada tahun 2016.

“Tapi ini bukan IPO. Bagaimana saya nak jual saham saya nanti?”

Tenang. Saya belum habis terang.

Pada tahun 2022, pitchIN dapat kebenaran daripada SC untuk melancarkan pitchIN Secondary Market.

Ini bermakna, saham yang diterbitkan untuk tujuan meraih dana (fundraising) di pitchIN boleh didagangkan di Secondary Market. Contoh, syarikat ABC mahu meraih dana RM1 juta di pitchIN dengan menerbitkan 1,000,000 saham baru dengan harga RM1 sesaham.

Setelah pendanaan di pitchIN berjaya, pelabur-pelabur di pitchIN boleh mendagangkan 1,000,000 unit saham ini di Secondary Market kepada pelabur-pelabur lain.

Sekiranya pelabur-pelabur lain bullish, maka mereka sanggup membeli dengan harga yang lebih tinggi, misalnya RM1.30. Sekiranya pelabur lain bearish, maka mereka hanya akan membeli pada harga yang lebih rendah, misalnya RM0.90. Harga saham ABC boleh naik dan turun.

“Wah macam pasaran saham betullah? Ada sentimen pasaran..”

Ya, benar. Butiran Secondary Market ini akan dikeluarkan oleh pihak pitchIN sendiri dalam masa 1-2 bulan ini. Nantikan!

“Boleh ceritakan beberapa pencapaian TheLorry untuk saya nilai sekiranya saya mahu melabur?”

Saya bagi lima pencapaian:

• Pertumbuhan jualan pesat daripada RM16 juta tahun 2018 ke ~RM65 juta 2022

• Sudah membina aplikasi web dan telefon bimbit serta infrastruktur teknikal yang scalable dan boleh dikembangkan lagi ke segmen bisnes lain untuk jana pendapatan tambahan

• TheLorry Indonesia yang pada tahun 2018 hanya 3% daripada jualan kini ~40% pada tahun 2022. Dijangka peratusan ini akan meningkat di tahun 2023 dengan perkongsian strategik kami di Indonesia.

•Team yang berpengalaman dan mempunyai semangat keusahawanan

• Kini mendapat kepercayaan daripada pelanggan-pelanggan besar seperti Lazada, Coca Cola, Goodyear, Shopee dan IKEA

“Boleh berikan butiran pendanaan dan untuk tujuan apa?”

Minimum: RM2 juta

Maksimum: RM5 juta

Pelaburan minimum: RM5,000 (20 saham)

Tujuan: Mengembangkan bisnes di Indonesia dan modal pusingan.

“Selepas pitchIN apa rancangan?”

Kita akan fokus 100% untuk kembangkan bisnes. Selepas mencapai nombor-nombor tertentu kami akan mengorak langkah untuk ke bursa saham.

“Ok ok apa perlu saya buat sekiranya berminat?”

1. Website kami di pitchIN akan dilancarkan minggu ini. Di situ akan ada maklumat berkenaan rekod prestasi, pelan ke hadapan dan juga data kewangan kami untuk dinilai. Nantikan pengumuman saya di semua media sosial minggu ini.

2. Kami berhasrat untuk membuat beberapa majlis “Investor Day” untuk memberi penerangan yang lebih mendalam kepada pelabur-pelabur. Butiran untuk majlis ini juga kami akan umumkan dalam masa terdekat.

3. Setelah mendapat maklumat secukupnya, boleh ke website kami di pitchIN nanti untuk memberi komitmen pelaburan. Buat akaun pitchIN tak sampai seminit!

P.S: Gambar2 sedutan video ECF kami. Shoot 2 jam, edit 2 hari. Teamwork makes the dream work!#LangkahpitchIN

Sumber: https://www.facebook.com/598083891/posts/pfbid02uwdMuGk1u8jY9ihGjdT9WBpWeC35tbYPCvehqHpf4r98TzmMiaFr42fqtWawqcpXl/

Previous ArticleNext Article

Indeks Faktor Kualiti Pertama Bursa Malaysia Menampilkan Syarikat Dengan Ciri Kewangan Yang Kukuh

Kuala Lumpur — Bursa Malaysia (“Bursa”) hari ini melancarkan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 (BMQ) dan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 Shariah (BMQ-S), iaitu indeks dalaman pertama Bursa yang dibangunkan berasaskan prestasi kewangan.

Berbeza dengan indeks penanda aras utama yang kebanyakannya menjejaki syarikat berdasarkan permodalan pasaran, indeks BMQ dan BMQ-S menampilkan syarikat tersenarai yang menunjukkan ciri kewangan yang lebih kukuh dari segi keuntungan, struktur modal dan kualiti pendapatan. Faktor-faktor ini diukur melalui Pulangan ke atas Ekuiti (Return on Equity), Nisbah Hutang kepada Ekuiti (Debt-to-Equity), serta Aliran Tunai Operasi berbanding Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti.

Setiap indeks merangkumi 50 syarikat daripada Pasaran UTAMA dan Pasaran ACE yang tidak termasuk dalam FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBMKLCI), iaitu penanda aras utama pasaran yang menumpukan sebahagian besar permodalan pasaran dan perhatian pelabur.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed, berkata “Pelancaran Indeks Bursa Malaysia Quality 50 dan Indeks Bursa Malaysia Quality 50 Shariah menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan inovasi indeks kami. Kami melihat kemunculan syarikat yang berdaya tahan dari segi kewangan merentasi pelbagai sektor, termasuk syarikat teknologi yang membentuk hampir 18% daripada kedua-dua BMQ dan BMQ-S. Indeks ini menyediakan titik rujukan yang mencerminkan landskap pertumbuhan yang lebih luas, sekali gus memastikan syarikat Malaysia dengan asas kukuh lebih jelas kelihatan dan mudah diakses oleh pelabur, di samping menyokong penyertaan yang lebih meluas dalam pasaran ekuiti Malaysia.”

Kedua-dua indeks BMQ dan BMQ-S menggunakan rangka kerja pembinaan indeks yang sama, dengan BMQ-S hanya merangkumi sekuriti yang diiktiraf sebagai patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Bagi memastikan indeks ini mencerminkan syarikat yang sesuai sebagai penanda aras dan rujukan pelaburan, syarikat terpilih perlu memenuhi keperluan minimum dari segi saiz dan aktiviti dagangan.

Indeks-indeks ini akan disemak dua kali setahun bagi memastikan ia terus mencerminkan keadaan pasaran semasa dan prestasi syarikat. Nilai indeks serta maklumat komponen akan tersedia di laman sesawang Bursa Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai indeks BMQ dan BMQ-S serta metodologinya, sila layari:
https://www.bursamalaysia.com/trade/our_products_services/indices/bursamalaysia-quality-50-index