Boost Menawarkan Pembayaran Zakat Fitrah Tanpa Kontak Di Enam Negeri Pada Bulan Ramadan Ini

E-dompet tempatan Boost sekali lagi membuka bayaran tanpa kontak untuk Zakat Fitrah di enam negeri pada Ramadan kedua sempena pandemik ini. Dengan ciri ini, lebih ramai umat Islam boleh membayar Zakat pada bulan mulia dengan selamat dan mudah. Ini bersempena kempen Ramadan Boost, ‘Bersama Berkongsi Berkat’, di mana Boost menawarkan semula ciri aplikasi yang diperlukan untuk umat Islam apabila memenuhi tuntutan di bulan puasa, seperti tile ‘Waktu Solat.’

Sehingga 12 Mei, pengguna Boost boleh membayar Zakat Fitrah di negeri-negeri berikut, tanpa perlu berkunjung ke pusat pungutan Zakat:

  1. Lembaga Zakat Selangor (LZS)
  2. Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK)
  3. Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang (MUIP)
  4. Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS)
  5. Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan (PBMaINS)
  6. Pusat Pungutan Zakat- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP)

Mohd Khairil Abdullah, CEO Boost berkata, “Di ‘Norma Sekarang’, semakin ramai  orang  terbuka kepada pengalaman serta gaya hidup tanpa kontak dan dalam talian. Memandangkan Bazar Ramadan dan solat terawih di masjid diizinkan pada jumlah terhad tahun ini, kami ingin memastikan kesejahteraan warga Malaysia kekal terpelihara, dengan menawarkan solusi tanpa kontak. Oleh itu, kami memperkenalkan semula tawaran utama dan kolaborasi baharu dengan pelbagai rakan kerja, sebagai usaha kolektif untuk membolehkan masyarakat Islam beribadah dengan selamat pada bulan mulia.”

Sepanjang bulan Ramadan, Boost akan menganjurkan sesi Facebook Live setiap Ahad sehingga 2 Mei bersama personaliti terkenal, Daphne Iking dan Harris Annuar. Mereka akan memperkenalkan pelbagai peniaga tempatan untuk disokong, berkongsi kisah persediaan Ramadan dan Raya masing-masing, serta menawarkan peluang untuk pengguna Boost menerima lebih banyak hadiah dan Boost Coins. 

Zakat Fitrah Tanpa Kontak

Pengguna boleh membayar Zakat Fitrah dengan mengetik tile ‘Zakat’ di laman utama atau melalui tab ‘Do More’ di bahagian ‘Donation’. Pengguna boleh menambahkan akaun zakat dengan mudah dengan hanya menyediakan maklumat seperti nama, nombor kad pengenalan dan nombor telefon bimbit. Maklumat ‘Harga Beras’ juga tersedia di aplikasi. Setelah selesai membuat pembayaran, pengguna akan menerima resit melalui e-mel yang boleh digunakan untuk tujuan rebet cukai persendirian. Pembayaran zakat melalui e-dompet adalah sah tanpa ‘Lafaz Akad’ dan mematuhi undang-undang Islam.

Pembayaran Zakat Harta di aplikasi juga tersedia untuk LZS, PPZ-MAIWP, dan MUIS sepanjang tahun. Untuk LZNK, MUIP dan PBMaINS, perkhidmatan ini akan ditawarkan bermula bulan Mei ini.

#DoGoodWithBoost

Bulan Ramadan juga merupakan tempoh menyumbang kepada komuniti. Boost tetap meneruskan tradisi Ramadan ini dengan ciri e-derma untuk pengguna Android melalui inisiatif #DoGoodwithBoost. Ciri ‘Donation’ pada aplikasi membolehkan pengguna menderma dengan mudah kepada badan amal dan organisasi yang disukai hanya dengan beberapa ketikan skrin. Amalan kecil seperti ini bakalmenyumbang kepada membantu komuniti yang memerlukan, khususnya mereka yang terjejas oleh pandemik yang sudah berlarutan selama lebih daripada setahun.  

Setiap minggu dari 16 April sehingga 14 Mei, Boost akan mengetengahkan badan amal dari pelbagai kategori untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap misi sosial dan matlamat mereka. Antara kategori yang tersedia adalah kebajikan komuniti dan masyarakat, kesihatan dan OKU, kanak-kanak, pendidikan dan pemeliharaan alam semulajadi. 

Ganjaran Ramadan Boost

Untuk menambahkan lagi kemeriahan di musim perayaan ini, Boost juga telah memperbaharui hadiah BoostUP Pick&Win. Hadiah menarik kini termasuk perkakas keperluan rumah premium seperti Mesin Vakum Tanpa Kord Dyson dan TV QLED Samsung “The Sero” yang menawan; peranti kesihatan dan kecergasan seperti HUAWEI Watch GT2 Pro dan Fitibit Sense serta peranti premium lain seperti iPhone 12 Pro Max, kamera Canon DSLR dan wireless headphone Jabra Elite, serta hadiah lain yang bakal diumumkan.

Katalog Ganjaran Ramadan telah disediakan khas untuk menambah keceriaan Ramadan. Memandangkan keperluan membeli-belah yang meningkat pada musim ini, pengguna boleh menukarkan Boost Coin untuk barang dari katalog. Antara hadiah yang boleh ditebus ialah Kuih Raya, sos masakan Brahim’s serta pelengkap kesihatan dan kecantikan Kinohimitsu.

Pengguna juga boleh menukar mata ganjaran sedia ada di BonusLink, Rakuten Trade atau UOB kepada Boost Coin untuk menebus hadiah dan baucer di katalog Ramadan ini. Penukaran mata ganjaran boleh dilakukan bahagian ‘Coins Exchange’ di bawah tab ‘Do More’ di aplikasi.

Ikuti Boost di Facebook (facebook.com/myboostapp) untuk menonton sesi FB Live. Pengguna juga boleh mendapatkan berita terbaharu sepanjang Ramadan di laman Instagram rasmi Boost (instagram.com/myboostapp) dan laman sesawang (www.myboost.com.my) boleh dimuat turun di  Google Play, App Store atau HUAWEI AppGallery.

Previous ArticleNext Article

Zakat KWSP: Kenapa Kena Bayar Walaupun Tak Keluarkan Duit?

Ramai mungkin tertanya-tanya, kalau duit KWSP masih tersimpan dan belum dikeluarkan, kenapa pula perlu bayar zakat setiap tahun?

Persoalan ini timbul selepas KWSP memperkenalkan kemudahan pembayaran Zakat Perniagaan Simpanan Shariah melalui potongan dividen tahunan. Untuk memahami rasionalnya, kita perlu melihat bagaimana Simpanan Shariah KWSP diuruskan dan bagaimana zakatnya dikira.

1. KWSP melaburkan simpanan ahli secara kolektif

Bagi Simpanan Shariah, caruman ahli dihimpunkan dalam satu portfolio pelaburan yang diuruskan oleh KWSP mengikut prinsip Syariah. Pelaburan ini menjana pulangan yang diagihkan kepada ahli dalam bentuk dividen tahunan.

Dalam urusan ini, KWSP bertindak sebagai wakil (wakil) dan pemegang amanah yang menguruskan serta melaburkan simpanan bagi pihak ahli berdasarkan akad wakalah.

2. Kenapa kena bayar zakat walaupun duit belum dikeluarkan?

Persoalan ini telah dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali Ke-125 pada 24 hingga 26 September 2024.

Muzakarah memutuskan bahawa akaun Simpanan Shariah memenuhi ciri pemilikan sempurna (al-milk al-tam) dan hak untuk berurus niaga (haq al-tasarruf) melalui pemberian wakalah kepada KWSP.

Oleh itu, kewajipan zakat bagi Simpanan Shariah ditetapkan sebagai zakat perniagaan tahunan, berkuat kuasa mulai tahun kewangan 2025. Kewajipan ini tidak bergantung pada sama ada ahli sudah mengeluarkan wang daripada akaun KWSP atau belum.

3. Bagaimana pula kalau simpanan tak cukup nisab?

Ini antara perkara yang mungkin mengejutkan ramai orang.

Biasanya, zakat individu dikaitkan dengan nisab, iaitu paras minimum harta yang ditetapkan untuk mewajibkan zakat. Namun, bagi Simpanan Shariah, KWSP menguruskan dana secara kolektif atau khultah, bukannya mengasingkan pelaburan bagi setiap ahli.

Oleh itu, penentuan nisab dibuat berdasarkan keseluruhan dana terkumpul yang tertakluk kepada zakat. Jumlah tanggungan zakat setiap ahli Muslim kemudiannya ditentukan secara berkadar berdasarkan Kadar Zakat Ahli masing-masing.

Maka, kewajipan ini boleh terpakai walaupun baki simpanan seseorang ahli secara individu berada di bawah nisab.

4. Macam mana nak bayar zakat KWSP?

Ahli Muslim yang telah memilih Simpanan Shariah boleh memberikan persetujuan kepada KWSP untuk memotong zakat daripada dividen tahunan dan menyalurkannya kepada pihak berkuasa zakat negeri berkaitan.

Pilihan ini boleh dibuat melalui KWSP i-Akaun, portal i-Akaun (Ahli), Self-Service Terminal (SST) atau pejabat KWSP.

Cara mengaktifkan kemudahan zakat KWSP:

  1. Buka KWSP i-Akaun dan tekan menu Profil.
  2. Pilih menu Zakat.
  3. Buat pilihan untuk mewakilkan KWSP menguruskan pembayaran zakat bagi Simpanan Shariah anda.
  4. Lengkapkan maklumat dan sahkan pilihan.

Jika tidak memilih kemudahan potongan dividen, ahli tetap bertanggungjawab menguruskan pembayaran zakat perniagaan Simpanan Shariah sendiri berdasarkan kadar yang dimaklumkan oleh KWSP.

Kemudahan potongan ini bukan automatik; persetujuan ahli diperlukan terlebih dahulu.

5. Adakah sama dengan Simpanan Konvensional?

Tidak. Kaedah zakat bagi Simpanan Konvensional berbeza dan tertakluk kepada ketetapan serta kaedah yang berkaitan, termasuk zakat atas wang yang dikeluarkan apabila memenuhi syarat yang ditetapkan.

Bagi Simpanan Shariah yang telah dizakatkan melalui kemudahan ini, ahli tidak perlu membayar zakat sekali lagi secara berasingan atas simpanan yang sama apabila membuat pengeluaran.

Kesimpulan

Zakat KWSP ini bukan semata-mata zakat atas wang yang sudah berada dalam tangan. Bagi Simpanan Shariah, kewajipan zakat perniagaan ditentukan berdasarkan kaedah pengurusan pelaburan secara kolektif dan keputusan hukum yang berkaitan.

Kemudahan baharu KWSP ini bertujuan memudahkan ahli Muslim menunaikan kewajipan tersebut tanpa perlu menguruskan pengiraan dan pembayaran sendiri.

Satu lagi persoalan yang menarik: jika zakat ini dibayar melalui potongan dividen dan ahli menerima resit rasmi daripada pihak berkuasa zakat negeri, bolehkah bayaran tersebut dituntut sebagai rebat cukai pendapatan melalui e-Filing? Jawapannya boleh. Bayaran zakat KWSP ini boleh dituntut sebagai rebat cukai pendapatan sebab bayaran dibuat kepada pihak berkuasa zakat yang diiktiraf.