Mungkin Ini Cara Untuk Perangi Kartel Tender

Baru-baru ini hangat apabila pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berjaya menumpaskan sindiket kartel projek dan tender kerajaan dengan nilai projek dianggarkan mencecah RM3.8 bilion.

Kartel tersebut dikatakan memonopoli sebanyak 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara dan dipercayai beroperasi sejak tahun 2014 sehingga sekarang.

“Ketua sindiket berkenaan mengawal lebih 150 buah syarikat yang digunakan untuk memasuki tender atau sebut harga di kementerian dan agensi yang terbabit.

“Beliau dikatakan mewujudkan 150 syarikat berbeza dengan menggajikan beberapa individu sebagai pengarah syarikat yang mana sebenarnya dimiliki beliau sendiri.

“Tumpuan sindiket ialah terhadap projek penyelenggaraan kemudahan dan projek pembangunan.”

Kredit: BH Online

Sebenarnya Kerajaan sudah lama menggunakan sistem dalam menguruskan tender. Biasanya tender kerajaan perlu submit online menggunakan laman web ePerolehan.

Apa Itu ePerolehan?

Kalau nak tahu ePerolehan merupakan sistem perolehan elektronik yang membolehkan pembekal menawarkan produk dan perkhidmatan kepada Kerajaan melalui Internet.

ePerolehan bertindak sebagai medium alternatif untuk para pembekal mendaftar/memperbaharui Sijil Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).

Aplikasi kerajaan elektronik disasarkan mampu menjimatkan kos, masa dan tenaga apabila konsep “paperless” atau bebas kertas diaplikasikan sepenuhnya.

Sumber: ePerolehan
Sumber: ePerolehan

Banyak syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum sesuatu syarikat layak menjadi pembekal kepada Kerajaan. Namun nampaknya tetap ada kelompangan. Selagi ada ‘tangan ghaib’ yang terlibat dalam proses, selagi itulah masalah ini tidak akan selesai.

Cara Nak Perangi Jenayah Kolar Putih

Jenayah zaman sekarang sudah tak perlu merompak dan tak perlu pistol pun. Cukup sekadar kertas, laptop dan pen. Sijil-sijil pun boleh dipalsukan.

Sekarang adalah zaman data.

Jika betul telus dan serius nak ‘berperang’ dengan golongan sebegini adalah lebih molek jika memaksimumkan terus data-data sedia ada milik Kerajaan:

CCRIS – CCRIS bermaksud Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (Central Credit Reference Information System)

Ia adalah sistem yang disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang mensintesiskan maklumat kredit mengenai peminjam. Maklumat pinjaman individu/syarikat semua ada dalam tu.

Jadi dengan mudah boleh dapatkan scoring kewangan untuk syarikat, dan pengarah syarikat / pemilik perniagaan.

Pemilik data : Kementerian Kewangan

Data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

Ini semakan paling asas wajib ada. Maklumat pematuhan cukai.

Kerajaan perlu meletakkan syarat supaya syarikat / perniagaan hanya layak dapat tender jika mempunyai rekod pematuhan cukai yang baik. Takkan kerajaan nak award tender ratus ribu atau jutaan ringgit kepada pengarah syarikat / pemilik perniagaan yang silap haribulan fail cukai pun tidak ada?

Sudah sampai masa pihak LHDN juga mengeluarkan scoring pembayar cukai sebagaimana scoring untuk CCRIS.

Pemilik data : Kementerian Kewangan

Data Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM)

Melalui data SSM yang boleh diperolehi secara umum (boleh bayar SSM secara online untuk mendapatkannya), kita boleh dapat maklumat penyata kewangan syarikat.

Takkan nak award tender kepada syarikat yang asyik-asyik lapor rugi pula?

Pemilik data : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Nak berkongsi data zaman sekarang sudah jauh lebih mudah. Kami pasti para penasihat berkaitan IT dan teknologi Kerajaan bukan kaleng-kaleng. Bersama-samalah kita perangi rasuah, demi masa depan negara yang cerah.

Previous ArticleNext Article

Jimat Berlebihan Boleh Melumpuhkan Ekonomi Negara

Dalam ilmu kewangan, kita sering ditekankan dengan pesanan supaya menyimpan wang untuk kegunaan masa hadapan. Pesanan itu tidak salah sama sekali. Namun, dari sudut ekonomi makro, wujud satu fenomena yang dipanggil sebagai ‘Paradox of Thrift’. Jika semua orang, terutamanya mereka yang masih mempunyai pendapatan stabil memutuskan untuk berhenti berbelanja secara drastik, ekonomi tidak akan menjadi lebih kukuh. Sebaliknya, ia akan menjadi lumpuh!

Suntikan tunai daripada perbelanjaan anda sebenarnya adalah minyak pelincir yang menggerakkan enjin ekonomi negara. Jika pendapatan anda tidak terjejas, berikut adalah tiga perkara yang anda perlu teruskan demi kelangsungan ekonomi komuniti.

1. Terus Makan Di Restoran Seperti Biasa

Apabila anda melangkah masuk ke dalam restoran dan memesan sepinggan nasi atau secawan sirap limau, wang tersebut tidak hanya terhenti di tangan pemilik kedai. Ia sebenarnya memulakan satu rantaian ekonomi yang sangat luas.

Sebagai contoh, bayangkan anda membayar RM20 untuk makan tengah hari. Wang itu akan digunakan oleh pemilik restoran untuk membayar bil elektrik kedai, sewa premis dan yang paling penting adalah gaji para pekerja. Pekerja tersebut pula akan menggunakan gaji mereka untuk membeli barangan keperluan harian di pasar raya. Selain itu, pemilik restoran juga perlu membayar pembekal ayam, sayur dan beras di pasar borong.

Jika anda dan ramai lagi orang lain berhenti makan di situ, rantaian ini akan putus. Pembekal sayur akan kehilangan pembeli dan pekerja restoran mungkin kehilangan pekerjaan. Ekonomi adalah satu kitaran yang saling berkait.

2. Terus Membeli Di Gerai Tepi Jalan

Peniaga marhaen atau peniaga kecil biasanya tidak mempunyai simpanan tunai yang besar seperti syarikat korporat. Mereka sangat bergantung kepada aliran tunai harian untuk meneruskan hidup.

Ambil contoh seorang peniaga goreng pisang di simpang jalan. Pelanggan utama mereka mungkin terdiri daripada pekerja pejabat di kawasan sekitar yang masih mempunyai gaji tetap. Jika semua pelanggan ini memutuskan untuk berhenti membeli kerana terlalu panik, jualan peniaga tersebut akan jatuh menjunam.

Kesannya, peniaga kecil ini tidak lagi mampu untuk membeli bahan mentah daripada pembekal lain atau membayar keperluan sekolah anak-anak mereka. Apabila peniaga kecil tidak mempunyai kuasa beli, ekonomi di peringkat akar umbi akan mula mati secara perlahan lahan.

3. Terus Gunakan Perkhidmatan Penghantaran Makanan

Mungkin ada yang berasa bersalah untuk memesan makanan melalui aplikasi seperti Grab atau Foodpanda kerana dianggap membazir kos penghantaran. Namun, sedarilah bahawa dalam situasi ekonomi yang mencabar, sektor ekonomi gig adalah penyelamat utama bagi mereka yang telah kehilangan pekerjaan tetap.

Misalnya, anda memesan makanan secara segera kerana tidak sempat memasak atau ada urusan penting. Wang yang anda belanjakan itu bukan sahaja memberi keuntungan kepada vendor makanan, tetapi ia memberikan pendapatan langsung kepada rider yang menghantarnya.

Bagi anda, caj penghantaran mungkin sekadar beberapa ringgit sahaja. Tetapi bagi seorang rider, itulah modal untuk mereka mengisi minyak motosikal dan menyediakan makanan di atas meja untuk keluarga mereka. Dengan terus membuat pesanan, anda sedang memastikan ekosistem logistik ini terus bernafas.

Berjimat Biar Bertempat

Kita perlu bijak membezakan antara amalan berjimat dengan tindakan berhenti berbelanja. Berjimat bermaksud anda mengurangkan pembelian barangan mewah yang tidak perlu seperti gajet terbaharu atau barangan berjenama.

Memang benar, mengurangkan pembelian gajet atau barangan mewah mungkin menjejaskan pekerja di sektor tersebut. Namun, dalam fasa menghadapi krisis, keutamaan kita adalah pada keperluan asas dan ekonomi tempatan.

Wang yang dibelanjakan di gerai nasi lemak atau restoran tempatan berpusing lebih cepat dalam komuniti setempat berbanding pembelian barangan import yang keuntungannya akan mengalir ke luar negara. Pekerja kedai gajet mungkin terkesan, namun kerosakan ekonomi adalah jauh lebih parah jika peniaga makanan dan pembekal bahan mentah (nadi utama rakyat) yang tumbang dahulu.

Jika anda masih mempunyai slip gaji yang stabil dan aliran tunai yang sihat, jadilah wira ekonomi yang tidak didendang. Teruskan menyokong peniaga marhaen di sekeliling anda.