Hi WEALTH & RinggitPlus Umum Kerjasama Bantu M40 Celik Asas Perancangan Kewangan

Hi WEALTH mengumumkan kerjasama strategik dengan RinggitPlus untuk membantu golongan kelas pertengahan Malaysia (M40) melalui pendidikan asas-asas perancangan kewangan.

Dalam kerjasama ini, RinggitPlus akan menawarkan kepakaran dan produk fintech dalam perancangan kewangan peribadi kepada peserta Hi WEALTH. “Kesan pandemik COVID-19 terhadap ekonomi telah menyebabkan ramai orang kehilangan pekerjaan, dipotong gaji dan pengurangan hasil jualan perniagaan. Sekarang adalah masa penting bagi setiap rakyat Malaysia, terutamanya golongan M40, untuk diberi pendidikan tentang perancangan kewangan untuk memastikan mereka boleh bertahan melalui teknik dan tips yang betul untuk mengurus aliran wang tunai, hutang, risiko dan pelaburan,” kata Hann Liew, pengasas bersama RinggitPlus.

Radzi Tajuddin, pengasas bersama Hi WEALTH bersetuju dengan pandangan Hann. “Malangnya, pandemik COVID-19 telah memburukkan lagi isu ketaksamaan pendapatan di Malaysia. Seramai 600,000 isi rumah keluarga M40 telah tergelincir ke B40 dek kerana kehilangan pekerjaan dan pengurangan pendapatan. Sebab itulah Hi WEALTH diasaskan – untuk membantu M40 memperbaiki aliran wang tunai mereka. Perancangan kewangan memainkan peranan besar dalam objektif ini,” katanya.

Menurut Jawatankuasa Tindakan Ekonomi Kebangsaan (NEAC), lebih 600,000 isi rumah M40 telah tergelincir ke B40 pada tahun 2020i. Ini bermakna daripada 7.28 juta keluarga di Malaysia menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2019, 8% daripada mereka telah menyaksikan pendapatan isi rumah jatuh di bawah paras maksimum golongan B40 iaitu RM4,850 sebulan.

“Melalui Hi WEALTH, kami mahu M40 untuk memanfaatkan duit simpanan mereka melalui perancangan kewangan yang teliti dan strategi pelaburan yang bijak dalam beberapa kelas aset,” terang Radzi. Kerjasama Hi WEALTH dengan RinggitPlus membolehkan golongan M40 mengelak kesilapan yang biasanya dilakukan oleh orang yang tidak mempunyai asas perancangan kewangan. “Bila dibandingkan dengan kursus lain, RinggitPlus menawarkan kursus perancangan kewangan yang tekniknya telah terbukti berkesan kepada rakyat Malaysia, termasuk M40,” tambah Hann.

Dalam Hi WEALTH, setiap pesertanya akan menerima dua servis perancangan kewangan dari RinggitPlus seperti berikut:-

RinggitPlus Advance Lite: Sesi perancangan kewangan yang khusus dengan perancang kewangan bersijil peribadi mereka sendiri. Dalam sesi ini, peserta akan memahami kedudukan kewangan terkini mereka dan bagaimana untuk memperbaikinya.

RinggitPlus Academy Plus: Kursus komprehensif yang merangkumi kandungan seperti cara menetapkan matlamat kewangan, cara membuat bajet, cara melabur, cara mengurus risiko, cara mengurus insurans/takaful, cara merancang hari persaraan dan aset.

Ketika ini, Hi WEALTH sedang membuka pendaftaran untuk kumpulan peserta kedua sehingga 24 Julai 2021. Program ini telah menerima sambutan menggalakkan ketika pendaftaran kumpulan peserta pertama dibuka pada bulan Jun lepas apabila menerima lebih 1,000 pendaftaran dalam masa tiga hari. Pendaftaran dibuat di laman sesawang rasmi Hi WEALTH: https://www.hiwealth.asia/.

Tentang Hi WEALTH:

Hi WEALTH merupakan inovasi terbaru dari Hi HOME dan TradingPlan.io. Ia berfungsi sebagai program pemecutan penjanaan kekayaan khusus untuk golongan M40 di Malaysia. Hi WEALTH memeriksa profil kewangan pemohon terlebih dahulu sebelum mereka diterima masuk. Apabila telah diterima masuk, peserta akan menjalani program selama tiga (3) bulan untuk mencapai objektif berikut:

  • Memperbaiki aliran wang tunai
  • Belajar cara menjana lebih banyak modal daripada modal sedia ada
  • Meningkatkan pegangan pelbagai kelas aset
  • Meluaskan jaringan sosio-ekonomi

Dalam Hi WEALTH, peserta akan belajar cara menggandakan modal sedia ada melalui pelaburan dalam pelbagai kelas aset seperti saham, kriptowang, dan hartanah. Peserta juga akan diberi akses ke jaringan pelabur-pelabur berjaya dari pelbagai industri untuk mendapatkan lebih banyak ilmu, kepakaran, tips dan motivasi.

Laman sesawang rasmi Hi WEALTH: https://www.hiwealth.asia/

Tentang RinggitPlus:

RinggitPlus merupakan pasar kewangan digital terulung di Malaysia dengan lebih 1 juta pelanggan seluruh negara. Setiap hari, RinggitPlus membantu rakyat Malaysia mendapatkan tawaran terbaik untuk wang mereka dalam urusan permohonan kad kredit, pinjaman kewangan atau pelan insurans. Seiring dengan matlamat mereka untuk memperkayakan rakyat Malysia dengan ilmu kewangan, mereka juga menawarkan servis perancangan kewangan yang komprehensif. Beribu pejabat di Kuala Lumpur, RinggitPlus merupakan salah satu daripada beberapa jenama yang dimiliki dan diurus oleh syarikat fintech, Jirnexu Sdn Bhd. Mereka bermula pada tahun 2012 apabila pengasas-pengasasnya bertemu dan menyedari minat bersama mereka terhadap keperluan nasihat kewangan untuk membolehkan rakyat Malaysia dapat berbelanja, mengurus dan menjimatkan wang dengan lebih bijak.

Previous ArticleNext Article

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.