Takaful Malaysia Menyediakan Perlindungan Kemalangan Diri Kepada Pelanggan LPPSA Di Bawah Program i-Prihatin

Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (“Takaful Malaysia”), syarikat insurans Islam PERTAMA di Malaysia melalui anak syarikatnya, Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad (“STMAB”) telah bekerjasama dengan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (“LPPSA”) untuk memperkenalkan pelan kemalangan diri yang berpatutan secara ekslusif untuk pelanggan LPPSA.

Dato’ Sri Mohamed Hassan Kamil, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia berkata, “Pengenalan Takaful myProtect PA kepada pelanggan LPPSA merupakan satu lagi mercu tanda terhadap hubungan kerjasama yang telah lama terjalin. Pada masa ini, kami adalah salah satu panel insurans untuk LPPSA yang menawarkan Mortgage Reducing Term Takaful (“MRTT”) untuk pembiayaan rumah kepada kakitangan di sektor awam. Tawaran Takaful myProtect PA melalui Program i-Prihatin LPPSA ini adalah bukti komitmen berterusan kami dalam menyediakan penyelesaian insurans untuk memenuhi pelbagai keperluan pelanggan LPPSA dan tambah nilai pada produk dan perkhidmatan yang kami tawarkan.”

Takaful myProtect PA menyediakan perlindungan kemalangan diri secara menyeluruh sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan, keilatan menyeluruh atau separuh dan kekal sehingga RM100,000. Pelanggan LPPSA layak untuk memohon pelan perlindungan tambahan dengan sumbangan yang berpatutan pada hanya RM100 setahun serta menerima pelbagai manfaat dan perlindungan, termasuk perlindungan tambahan untuk kematian akibat kemalangan atau keilatan menyeluruh dan kekal akibat kemalangan semasa melancong ke luar negara atau di dalam pengangkutan awam. Takaful myProtect PA juga memberikan manfaat dan perlindungan lain seperti Badal Haji, perbelanjaan perubatan dan bayaran ambulans, perbelanjaan pengebumian, elaun kecederaan akibat diragut, kehilangan akibat rompakan ATM, elaun penyembuhan denggi, dan pendapatan harian hospital akibat kemalangan.

Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA, Mohd Farid Dato’ Haji Nawawi menjelaskan, “Kerjasama bersama panel insurans melalui program i-Prihatin berfungsi sebagai sebahagian tanggungjawab kami dalam menyediakan produk yang dapat memenuhi keperluan pelanggan dalam situasi yang sukar. Kerjasama seperti ini juga membantu untuk mengenal pasti dan menjangka keperluan perlindungan pelanggan kami. Produk ini ditawarkan secara pilihan untuk pemegang akaun sedia ada LPPSA yang aktif, dan memberikan perlindungan serta manfaat tambahan selain daripada perlindungan yang diberikan dari MRTA/MRTT sedia ada yang termasuk dalam pembiayaan. Kami percaya bahawa peningkatan tambahan dalam perlindungan kemalangan peribadi ini akan menenangkan fikiran dan memberi jaminan kewangan kepada para pelanggan LPPSA apabila diperlukan.”

“Pendaftaran perlindungan kemalangan diri untuk pelanggan LPPSA juga dipermudahkan dan dapat diselesaikan dalam beberapa minit sahaja melalui portal LPPSA. Pelanggan akan menerima e-Sijil setelah transaksi berjaya dan dapat mengakses maklumat sijil, kemas kini butiran peribadi serta maklumat berkaitan yang tersedia melalui portal pelanggan kami. Untuk pelan perlindungan dalam talian komprehensif lain, pelanggan LPPSA boleh mengunjungi Portal Jualan Dalam Talian Click for Cover kami dan mengetahui pelan yang tepat untuk memenuhi keperluan mereka, seperti insurans motor, perlindungan perubatan dan banyak lagi,” rumus Dato’ Sri Hassan Kamil.

Mengenai Takaful Malaysia

Syarikat Takaful Malaysia Berhad (“STMB”) ditubuhkan pada 29 November 1984. Syarikat mempunyai modal saham RM211.9 juta dengan jumlah aset RM11.8 bilion di peringkat Kumpulan pada 31 Disember 2020. Selaras dengan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (“IFSA”), lesen komposit STMB dipisahkan kepada dua (2) entiti berlesen. STMB, kini dikenali sebagai Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (“STMKB”) menguruskan perniagaan Takaful Keluarga sementara Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad (“STMAB”) menguruskan perniagaan Takaful Am. STMKB adalah syarikat induk dan memiliki 100% STMAB. STMKB dan STMAB beroperasi melalui gabungan rangkaian pusat perkhidmatan di 24 lokasi seluruh negara.

Mengenai LPPSA

Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) merupakan badan berkanun yang bertanggungjawab menguruskan kemudahan pembiayaan perumahan sektor awam. Penubuhan LPPSA yang sebelum ini dikenali sebagai Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP), Kementerian Kewangan Malaysia telah berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Januari 2016. LPPSA menguruskan Dana dan mengurus pembiayaan rumah sektor awam mengikut peruntukan Akta Lembaga Pembiayaan Rumah Sektor Awam 2015 (Akta 767). Visinya menjadi sebuah agensi pembiaya perumahan sektor awam yang cemerlang dan mampan dengan mengamalkan dasar, prosedur, budaya kerja dan pematuhan yang terbaik, pada masa yang sama meningkatkan prestasi melalui inovasi berterusan.

Previous ArticleNext Article

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.