Projek ECRL Berjaya Selesaikan 12 Penembusan Terowong Setakat Ini – MRL

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) — Terowong Kuantan, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 2.8 kilometer telah berjaya ditembusi 2 bulan lebih awal daripada jadual dan menjadikannya terowong ECRL yang ke-12 melengkapkan proses pengorekan sehingga hari ini, kata Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata Projek ECRL telah mencapai satu lagi pencapaian dengan penembusan Terowong Kuantan yang merupakan terowong terpanjang antara 12 buah terowong yang telah berjaya ditembusi.

“Kejayaan penembusan 12 buah terowong ECRL sehingga hari ini membuktikan keupayaan pasukan projek dalam menangani cabaran dari segi kejuruteraan dan menerima pakai teknologi terowong yang lebih canggih. Tambahan 3 terowong ECRL yang sedang menjalani kerja-kerja pengorekan dijangka akan tembus pada hujung 2022.

“Tahap kemajuan yang baik bagi kerja-kerja pengorekan terowong, yang juga merupakan antara kerja paling mencabar bagi projek ECRL, akan memudahkan penyiapan infrastruktur rel dari Kota Bharu ke Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) di Gombak menjelang Disember 2026,” katanya dalam satu kenyataan.

Letupan terakhir di Terowong Kuantan hari ini menembusi lapisan akhir kira-kira 1,700 meter dari portal masuk terowong. Terowong itu melintasi dua buah negeri di Pantai Timur dengan anggaran 976 meter bahagian terowong di Pahang dan 1,890 meter terletak di Terengganu.

Bagaimanapun, portal masuk terowong di Kg. Alor Batu Jabor dan portal keluar di Hutan Simpan Bukit Galing adalah di bawah daerah Kuantan, Pahang.

Pembinaan Terowong Kuantan membolehkan laluan kereta api ECRL memenuhi tahap maksimum kecerunan iaitu 0.9 peratus serta mengelakkan penebangan terbuka di Hutan Simpan Bukit Galing.

— BERNAMA

Artikkel asal: https://thekapital.my/projek-ecrl-berjaya-selesaikan-12-penembusan-terowong-setakat-ini-mrl/

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.