SC Anjurkan Pameran Pendidikan Pelabur Pada 14-16 Oktober 2022

  • InvestSmart® Fest 2022 dijangka menarik lebih 40 peserta pameran, ribuan pelawat

Kuala Lumpur, 12 Oktober 2022

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan mengadakan pameran pendidikan pelabur selama tiga hari pada 14-16 Oktober 2022 bagi meningkatkan tahap celik kewangan dan membantu orang ramai melindungi diri mereka daripada penipu pelaburan.

Data terkini daripada SC menunjukkan bahawa penipu atau scammer masih berleluasa, terutamanya mereka yang menggunakan media sosial untuk menarik dan menipu pelabur dengan tawaran pakej pelaburan dan tuntutan jaminan pulangan tinggi yang tidak realistik dan tanpa risiko. Ini berikutan penemuan kaji selidik SC yang menunjukkan rakyat Malaysia masih mempunyai tahap kesedaran dan pengetahuan yang rendah tentang pelaburan dan produk pasaran modal.

Berdasarkan data yang dikumpul, SC telah menerima 1,800 aduan dan pertanyaan berkaitan penipuan pelaburan dan aktiviti tidak berlesen dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini. Kesemua penipuan itu dipromosikan dalam talian melalui saluran komunikasi seperti Telegram dan WhatsApp serta platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok.

Pengerusi SC Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata SC memantau Internet secara aktif untuk mengenalpasti aktiviti pasaran modal yang mencurigakan dan juga mengeluarkan amaran kepada pelabur melalui Senarai Makluman Pelabur SC, yang dikemas kini hampir setiap hari.

“Ciri Internet yang terbuka menyukarkan kita untuk melindungi pelabur,” kata Dato’ Seri Dr. Awang. “Oleh itu, tindakan terbaik yang boleh diambil oleh pelabur untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan pelaburan dan aktiviti tidak berlesen adalah untuk melengkapkan diri dan meningkatkan pengetahuan kewangan mereka.”

Di bawah undang-undang sekuriti Malaysia, mana-mana individu atau syarikat yang menjalankan atau mempromosikan aktiviti pasaran modal, walaupun yang diluluskan dalam bidang kuasa lain, mesti dilesenkan atau didaftarkan oleh SC. Oleh itu, pelabur meletakkan diri mereka dalam risiko apabila berurusan dengan pihak tidak berlesen atau tidak berdaftar kerana capaian kawal selia SC ke atas entiti haram ini adalah terhad.

Dalam tinjauan yang dijalankan oleh SC, didapati pelabur Malaysia mempunyai jangkaan yang tidak realistik terhadap pulangan pelaburan kerana salah tanggapan tentang risiko dan pulangan. Celik kewangan yang rendah juga menjadikan pelabur terdedah kepada aktiviti tidak berlesen dan penipuan.

Pameran pendidikan pelabur SC iaitu InvestSmart® Fest (ISF 2022) akan berlangsung pada 14-16 Oktober 2022 di Dewan Pameran 5 Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

ISF 2022 akan menghimpunkan lebih 40 peserta pameran, terdiri daripada Rangkaian Pendidikan Kewangan (FEN), Bursa Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bank pelaburan dan penyedia produk dan perkhidmatan pasaran modal lain. Pemain daripada industri fintech seperti Luno Malaysia dan Wahed Investment juga akan membuat penampilan. ISF 2022 akan menampilkan ceramah, perbincangan panel dan sesi diskusi oleh pakar kewangan dan pelaburan terkemuka untuk berkongsi pandangan mereka tentang pasaran modal Malaysia dan peluang pelaburan yang tersedia.

ISF 2022 juga akan menawarkan sesi perancangan kewangan percuma untuk membolehkan orang ramai merancang pelaburan dan persaraan mereka dengan bimbingan perancang kewangan berlesen. Terdapat hampir 600 perundingan #FinPlan4U tersedia, secara fizikal dan maya.

Untuk maklumat lanjut tentang ISF 2022 dan perundingan perancangan kewangan #FinPlan4U, sila layari https://investsmartsc.my/ atau akaun media sosial InvestSmart®.

InvestSmart® Fest disokong oleh Bursa Malaysia, Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia, Persatuan Perancang Kewangan Malaysia dan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia. Ia diadakan sempena Bulan Celik Kewangan 2022 dan Minggu Pelabur Sedunia 2022.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Previous ArticleNext Article

SC Dakwa Bekas Pengarah Urusan Kumpulan & CEO Sarawak Consolidated Industries Berhad Atas Penyata Kewangan Palsu

Securities Commission Malaysia (SC) hari ini mendakwa bekas Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB), Rosland Othman, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalahan menyebabkan penyata palsu dikemukakan oleh SCIB kepada Bursa Malaysia.

Rosland didakwa atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 369(b)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana menyebabkan pengemukaan Laporan Kewangan Interim SCIB bagi Keputusan Disatukan untuk Suku Berakhir 30 Jun 2021 yang mengandungi angka hasil sebanyak RM852.8 juta kepada Bursa Malaysia pada 30 September 2021.

Menurut pertuduhan tersebut, Rosland dianggap melakukan kesalahan di bawah Seksyen 367(1) CMSA dalam kapasiti beliau sebagai pengarah SCIB pada waktu kejadian.

Rosland mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut. Hakim Mahkamah Sesyen, Tuan Azrul bin Darus, membenarkan Rosland diikat jamin sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin tempatan. Mahkamah turut memerintahkan beliau menyerahkan pasport serta melapor diri kepada Pegawai Penyiasat SC setiap bulan sehingga perbicaraan selesai sebagai syarat tambahan jaminan.

Jika sabit kesalahan, Rosland boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda tidak melebihi RM3 juta.

Pihak SC diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya SC, Mohd Hafiz Mohd Yusoff dan Hashley Tajudin, serta pegawai pendakwa Quek Yiing Huey dan Siti Sarah Kamaruzaman.

Waran Tangkap terhadap Bekas Pengerusi SCIB

Dalam perkembangan berasingan, SC turut memperoleh waran tangkap terhadap bekas Pengerusi SCIB serta pengarah bukan eksekutif dan bukan bebasnya, Mohd Abdul Karim Abdullah.

Karim sebelum ini pernah didakwa oleh SC pada tahun 2021 atas kesalahan hampir sama berkaitan maklumat palsu dalam penyata kewangan Serba Dinamik Holdings Berhad. Kes tersebut bagaimanapun diselesaikan melalui kompaun selepas pihak Pendakwa Raya menerima representasi beliau, dengan kompaun sebanyak RM3 juta dikenakan.

Karim yang kini dipercayai masih bebas dikehendaki atas kesalahan sama di bawah Seksyen 369(b)(B) CMSA kerana penglibatannya dalam menyebabkan penyata palsu SCIB dikemukakan kepada Bursa Malaysia. Pendakwa Raya telah memberi kebenaran untuk pendakwaan jenayah terhadap beliau.

Butiran Karim dan alamat terakhir yang diketahui adalah seperti berikut:

Nama: Mohd Abdul Karim bin Abdullah
No. IC: 650523-13-5719

Alamat terakhir diketahui:

  1. No. 35, Jalan Hijau Pelangi U9/51, The Lake Garden Villas Cahaya SPK, Seksyen U9, 40150 Shah Alam, Selangor
  2. Flat 3401, 345-Burj Khalifa, Premise Number 345265912, PO Box 5130, Dubai, UAE

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Karim diminta memaklumkan kepada SC di talian 012-6112496 atau melalui e-mel [email protected].

SC menegaskan bahawa pendedahan maklumat yang tepat berkaitan kedudukan kewangan syarikat tersenarai awam adalah amat penting bagi memastikan kepercayaan dan keyakinan terhadap pasaran modal terus terpelihara. SC akan terus mengambil tindakan tegas terhadap kesalahan seumpama ini.