WE2025 Menampilkan Pempamer Malaysia Dan Antarabangsa Yang Menjana Inklusiviti, Inovasi Dan Pembangunan Pimpinan Wanita

Kuala Lumpur, 18 November 2025 — WE2025: Future in Motion bakal membuka tirainya sebagai platform pelbagai komponen yang menghimpunkan perdagangan, inovasi dan kepimpinan melalui perspektif inklusiviti dan pemerkasaan wanita.

Tumpuan utama ialah WE2025 Trade Expo yang akan berlangsung dari 25–27 November 2025 di MITEC, Kuala Lumpur, menampilkan penyertaan kira-kira 150 pempamer tempatan dan antarabangsa.

Dianjurkan oleh Qube Integrated Malaysia, acara ini yang menggalakkan penglibatan inklusif dalam perniagaan dan kepimpinan dijangka menerima kehadiran 10,000 pengunjung dengan potensi perdagangan bernilai RM100 juta. Nadi penggerak Expo ini ialah jaringan organisasi dan usahawan Malaysia yang memacu inovasi dan inklusiviti, mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkasakan dunia perniagaan – daripada syarikat korporat kepada perusahaan akar umbi.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) selaku kementerian rakan kolaborasi WE2025 akan menampilkan dua inisiatif sokongan sosial — MamaCare dan Trak Bergerak Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS).

Program MamaCare melatih penyedia penjagaan selepas bersalin profesional serta menggalakkan penjagaan kesihatan ibu bersalin, manakala Trak PSSS menyediakan khidmat kaunseling, sokongan emosi dan intervensi krisis kepada komuniti. KPWKM juga akan membawa penyertaan usahawan mikro wanita di WE2025 Marketplace, yang ditaja oleh PrintDaddy Sdn Bhd. Rangkaian usahawan wanita terkemuka PENIAGAWATI akan mempamerkan perusahaan pimpinan wanita daripada pelbagai sektor, manakala Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) memberi tumpuan kepada peranan wanita dalam industri pembuatan serta usaha meningkatkan daya kepimpinan dan keterlihatan mereka dalam sektor tersebut.

Penaja korporat Berjaya Food Berhad akan menampilkan jenama Starbucks, yang bakal membuka ruang pameran dengan promosi khas, sesi coffee tasting dan kelas Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) yang dikendalikan oleh Starbucks Deaf Coffee Masters. Starbucks Malaysia mempelopori model Signing Store yang memberi laluan kerjaya kepada pekerja pekak di samping mewujudkan interaksi inklusif antara komuniti boleh-dengar dengan golongan pekak.

Yayasan Peneraju akan mempromosikan program pensijilan untuk melengkapkan warga Malaysia, terutamanya wanita dan belia, dengan kemahiran profesional dan berasaskan teknologi.

Ekonomi kreatif turut mendapat tempat melalui Kraftangan Malaysia, yang akan mempamerkan perusahaan wanita dalam bidang tenunan, seni manik, fesyen dan perhiasan rumah, meraikan warisan seni serta keusahawanan tempatan. Manakala Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) pula bakal menonjolkan perusahaan makanan, kesejahteraan dan pelancongan yang memaparkan peranan penting perniagaan kecil dalam pembangunan wilayah.

Alibaba.com akan menganjurkan sesi strategi pengembangan global bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan wanita, manakala Yingke Consulting Malaysia berkongsi kaedah perdagangan rentas sempadan dan akses pasaran.

Selain itu, Intrinsic SEA, peneraju kerjasama teknologi di Asia Tenggara, akan mengetuai kirakira 60 peserta pameran global dari China, Singapura, Kanada, Jepun, Timur Tengah dan rantau ASEAN untuk memanfaatkan platform ini bagi inovasi dan kerjasama.

Antara peserta pameran ini ialah Zhejiang Jiakang Electronics Co. Ltd., iFLYTEK, Target Media dan MIMOS, menampilkan kekuatan teknologi dari China dan Malaysia. Turut serta adalah Naviderman, serta barisan syarikat yang berpangkalan di Singapura seperti KT Cap Consulting Pte Ltd, KTCC Talent Profiling Pte Ltd dan One Knowledge Academy Pte Ltd.

Delegasi mantap dari Kanada juga akan ditampilkan melalui kehadiran syarikat seperti AIBo Talk Inc., imMobot Technology Inc. dan ClickSuperMarket Inc. Rakan inovasi berkaitan Jepun seperti Elysimate akan turut serta, menambah kepelbagaian portfolio pempamer. Menyerlahkan jangkauan global acara ini, hadir sama adalah rangkaian kepimpinan dan inklusiviti wanita seperti Jawatankuasa Usahawan Wanita Dewan Perniagaan Malaysia-China yang akan menampilkan Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiatives).

WE2025 mendapat sokongan padu daripada KPWKM, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB).

“Selain expo perdagangan, WE2025 turut merangkumi Persidangan Kepimpinan, sesi padanan perniagaan dan 15 acara satelit yang menyediakan satu ekosistem bagi perniagaan dan para pelopor inovasi untuk berhubung, berkolaborasi dan memacu pertumbuhan inklusif,” kata Richard Teo, Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia.

Untuk melawat ekspo perdagangan WE2025, daftar di https://reg.we2025.com.my/registration-visitor/

Previous ArticleNext Article

Kajian Segmen Pasaran SC Perkukuh Rangka Kerja Pasaran Awam

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan Garis Panduan Ekuiti yang disemak semula serta Kertas Respons, memperkenalkan penambahbaikan bersasar terhadap rangka kerja pasaran utama.

Inisiatif ini bertujuan meningkatkan akses kepada penyenaraian awam bagi penerbit, di samping memperjelas peranan serta memperkukuh pembezaan antara setiap segmen pasaran seperti berikut:

  • Pasaran Utama  – Pasaran utama bagi syarikat lebih besar dan dikenali
  • Pasaran ACE        – Pasaran bagi syarikat kecil dan sederhana yang berfungsi sebagai laluan peralihan ke Pasaran Utama

Penambahbaikan ini adalah susulan proses rundingan awam yang telah selesai  pada Disember 2025 di bawah kajian segmentasi pasaran, dengan mengambil kira maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan.

Cadangan yang diterima pakai bagi Pasaran Utama akan berkuat kuasa pada 3 Jun 2026 melalui Garis Panduan Ekuiti yang disemak semula.

Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata penambahbaikan ini mencerminkan komitmen berterusan SC terhadap pengawalseliaan yang bersesuaian dengan tujuan (fit-for-purpose) — seimbang, memudah cara serta responsif terhadap  evolusi model perniagaan.

“Usaha ini menyokong inisiatif lebih luas SC dalam meningkatkan kecekapan kawal selia dan kecemerlangan tadbir urus seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030,” katanya.

Penambahbaikan utama termasuk:

  • Pasaran Utama: Keperluan keuntungan yang lebih tinggi, kualiti pelaporan kewangan yang diperkukuh, penambahan fleksibiliti dalam penilaian aliran tunai operasi serta peluasan kelayakan bagi penyenaraian berasaskan infrastruktur.
  • Pasaran ACE: Diperkukuh sebagai pasaran berasaskan penaja (sponsor-driven), dengan keperluan rekod prestasi minimum dua tahun selepas penyenaraian sebelum boleh dipindahkan ke Pasaran Utama, pemansuhan pengecualian terhadap penajaan dan moratorium, serta pengenalan keperluan peruntukan pegangan saham awam minimum.

Dato’ Faiz menambah, “Secara keseluruhannya, segmentasi yang lebih jelas ini memperkukuh pembezaan antara lapisan pasaran, meningkatkan kualiti penyenaraian serta menyediakan laluan peralihan yang lebih tersusun bagi syarikat untuk berkembang daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama.”

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman berikut: