Jual Air Teh Pun Boleh Jadi Jutawan 

Kalau anda fikir untuk menjadi jutawan perlu mencipta aplikasi seperti Mark Zuckerberg atau membina kereta terbang seperti Elon Musk, mungkin anda patut kenal dengan nama-nama ini terlebih dahulu: Zhang Hongchao dan Zhang Junjie.

Kedua-dua mereka bukan saintis, bukan jurutera teknologi. Tetapi mereka berjaya menjadi jutawan sebelum mencecah umur 30 tahun. Bukan kerana menjual tanah atau minyak. Sebaliknya hanya kerana menjual air teh. Ya, serius.

Chagee – Teh Premium dengan Sentuhan Moden

Chagee, yang kini semakin dikenali di Malaysia, berasal dari Yunnan, China. Diasaskan oleh Zhang Junjie pada tahun 2017, Chagee membawa konsep “teaspresso” iaitu gabungan kualiti teh tradisional dengan penyediaan bergaya kopi barista.

Pada 17 April 2025, Chagee berjaya melangkah ke pasaran antarabangsa apabila disenaraikan di Nasdaq. Melalui IPO tersebut, syarikat ini mengumpul AS$411 juta, dengan penilaian mencecah AS$6.2 bilion. Sahamnya melonjak 21% pada hari pertama dagangan.

Zhang Junjie, yang memiliki hampir 20% saham syarikat, kini bergelar bilionair pada usia 30 tahun. Ini membuktikan bahawa secawan teh boleh membawa seseorang ke tahap luar biasa.

Mixue – Strategi Bajet, Capaian Global

Berbeza dengan Chagee yang premium, Mixue memilih jalan berbeza: menawarkan produk berkualiti pada harga mampu milik. Diasaskan oleh Zhang Hongchao pada tahun 1997 di Zhengzhou, China, Mixue bermula dengan gerai kecil menjual ais krim dan minuman teh.

Kini, Mixue mengendalikan lebih daripada 45,000 cawangan di seluruh dunia.

Pada 3 Mac 2025, Mixue disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong, berjaya mengumpul sekitar AS$444 juta dalam IPO. Sahamnya melonjak 43% pada hari pertama, dan nilai pasaran syarikat kini menghampiri AS$10 bilion.

Kejayaan Mixue membuktikan bahawa dengan strategi harga yang tepat dan kualiti produk yang konsisten, pasaran global boleh dicapai walaupun bermula dari perniagaan kecil.

Malaysia: Siapa Bakal Mengikut Jejak?

Industri teh moden di Malaysia semakin berkembang. Jenama seperti Tealive, Chatime, Chagee, Daboba dan lain-lain sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat tempatan.

Namun, sehingga kini belum ada satu pun jenama teh Malaysia yang melangkah ke pentas IPO atau berjaya menembusi pasaran global secara agresif.

Potensi itu ada. Pasaran pengguna sudah wujud. Yang diperlukan hanyalah keberanian untuk berkembang, strategi perniagaan yang betul, dan kemampuan untuk membina jenama bertaraf dunia.

Adakah Seorang Juatawan Sedang Bancuh Teh Ketika Ini? 

Adakah Malaysia akan terus menjadi sekadar pasaran pengguna untuk jenama luar, atau sudah tiba masanya seorang usahawan tempatan bangkit dan membawa jenama teh Malaysia ke peringkat antarabangsa?

Mungkin, jutawan teh tempatan seterusnya sedang membancuh secawan pertama mereka hari ini.

Rebut Peluang Belajar Melabur Saham Di Pasaran Saham Amerika Syarikat

Kami menerima banyak pertanyaan tentang bagaimana nak terlibat dengan pasaran saham global. Malah banyak artikel percuma yang telah kami kongsikan antaranya:

Eh, banyak lagi lah.

Kami dulu juga hanya fokus melabur di pasaran saham Bursa Malaysia. Tetapi selepas mengambil kira risiko dan faktor-faktor lain, kami mengambil keputusan untuk tidak meletakkan 100% duit lebihan yang ada di pasaran saham Malaysia.

Selalu tengok harga saham Apple, Tesla, Google, NVIDIA duk naik dan ingin menjadi salah seorang daripada pemegang saham syarikat-syarikat terkemuka dunia ini?

Dah tak perlu risau dan susah-susah lagi! Kami akan kongsikan step by step cara untuk mula melabur saham di Wall Street.

Jangan lepaskan peluang ini! Mulakan langkah pertama anda untuk melabur dalam pasaran saham Wall Street hari ini!

Previous ArticleNext Article

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.