SK Hynix Pecahkan Rekod Alibaba. Kenapa Syarikat Buat ‘RAM’ Ini Tiba-Tiba Bernilai Beratus Bilion?

Kalau ditanya syarikat AI paling terkenal hari ini, ramai akan jawab Nvidia, OpenAI atau Anthropic.

Tetapi hakikatnya, revolusi AI bukan hanya menguntungkan syarikat yang menghasilkan chatbot.

Ada satu lagi kumpulan syarikat yang mungkin lebih sibuk daripada mereka.

Mereka ialah pembuat cip.

Masih ingat saham Micron yang melonjak lebih 200% tahun ini dan sempat melepasi AS$1,000 sesaham?

Itu bukan kebetulan.

Ledakan AI bukan sahaja menguntungkan Nvidia, tetapi turut melonjakkan permintaan terhadap cip memori.

Kini, pesaing utamanya, SK hynix, pula mencuri perhatian selepas mencipta sejarah dengan IPO terbesar oleh syarikat asing di Amerika Syarikat. SK hynix dari Korea Selatan berjaya mencipta sejarah apabila mengumpul AS$26.5 bilion (sekitar RM112 bilion) menerusi penyenaraian saham mereka di Amerika Syarikat.

Ia sekali gus mengatasi rekod yang sebelum ini dipegang oleh Alibaba, menjadikannya penyenaraian syarikat asing terbesar dalam sejarah pasaran saham AS.

Persoalannya, kenapa syarikat yang ramai orang tidak kenal ini mampu menarik minat pelabur seluruh dunia?

Bukan Buat ChatGPT, Tetapi Tanpanya AI Pun Susah Nak Bergerak

SK hynix bukan syarikat yang membangunkan chatbot.

Mereka juga bukan pembangun aplikasi AI.

Sebaliknya, mereka menghasilkan cip memori seperti DRAM, NAND Flash dan yang paling mendapat perhatian sekarang ialah HBM (High Bandwidth Memory).

Kalau nak bagi mudah faham, HBM ini ibarat RAM versi Formula 1. Lebih laju. Lebih cekap.

Direka khas untuk bekerja bersama GPU berkuasa tinggi seperti Nvidia. Tanpa memori seperti ini, GPU yang hebat sekalipun tidak mampu mencapai prestasi maksimum ketika melatih model AI.

Sebab itu permintaan terhadap HBM melonjak sejak ledakan AI bermula.

Kenapa HBM Sangat Penting?

Bayangkan seorang chef yang sangat pantas memasak.

Tetapi pembantunya lambat menghantar bahan mentah.

Walaupun chef itu hebat, kerja tetap akan menjadi perlahan.

Begitulah hubungan antara GPU dan memori.

GPU memerlukan data dihantar sepantas mungkin.

Jika memori lambat, keseluruhan sistem menjadi kurang efisien.

HBM dibangunkan untuk menyelesaikan masalah itu.

Ia menawarkan jalur lebar (bandwidth) yang jauh lebih tinggi berbanding memori biasa, membolehkan AI memproses data dalam jumlah yang sangat besar.

AI Boom Mengubah Nasib SK hynix

Beberapa tahun lalu, SK hynix lebih dikenali sebagai pengeluar cip memori untuk komputer dan telefon pintar.

Hari ini, fokus pelabur sudah berubah.

Mereka melihat SK hynix sebagai antara syarikat yang paling mendapat manfaat daripada ledakan AI.

Apabila syarikat seperti OpenAI, Meta, Microsoft, Amazon dan Google membina lebih banyak pusat data AI, permintaan terhadap GPU dan cip memori premium juga meningkat.

Inilah sebabnya pendapatan dan keuntungan SK hynix berkembang dengan begitu pantas.

Siapa Jual Penyodok?

Ada satu analogi yang sering digunakan oleh pelabur.

Semasa zaman perlombongan emas, bukan semua pencari emas menjadi kaya.

Tetapi penjual penyodok hampir sentiasa mempunyai pelanggan.

Dalam revolusi AI hari ini, SK hynix boleh dianggap sebagai salah satu “penjual penyodok”.

Mereka mungkin tidak menghasilkan chatbot.

Tetapi mereka membekalkan komponen penting kepada syarikat-syarikat yang menghasilkan AI.

Apa Maksudnya Kepada Pelabur?

Kisah SK hynix mengingatkan kita bahawa peluang pelaburan tidak semestinya datang daripada syarikat yang paling popular.

Kadangkala syarikat yang bekerja di belakang tabir juga mampu mencipta pulangan yang luar biasa apabila sesuatu industri berkembang pesat.

Sebab itu ramai pelabur bukan sahaja melihat syarikat AI, tetapi juga keseluruhan rantaian bekalan (AI supply chain) seperti pembuat GPU, cip memori, wafer, peralatan semikonduktor dan pusat data.

baca juga Arteris: Saham Semikonduktor Paling ‘Hot’ Di Samping AMD Dan NVIDIA

Nota untuk pelabur Muslim: Status patuh Syariah bagi saham luar negara boleh berbeza mengikut metodologi saringan yang digunakan. Sebagai contoh, saringan AAOIFI pada masa ini mengklasifikasikan SK hynix sebagai "Doubtful", manakala sesetengah indeks atau ETF Islamik mungkin menggunakan metodologi berbeza dan masih memasukkan saham ini dalam portfolio. Oleh itu, semak dahulu status mengikut penyedia saringan yang anda gunakan sebelum membuat keputusan pelaburan.

Berminat nak buka akaun saham CDS dengan CGSI (sebelum ini dikenali sebagai CGS-CIMB)? Sekarang dah mudah, boleh buka secara atas talian (online) sahaja. Kelulusan pun segera jika tiada apa-apa isu.

Rujuk tutorial mudah ini > Tutorial Buka Akaun CDS Online Dengan CGSI (CGS-CIMB), Beli Saham Bursa Malaysia & Global

Masukkan kod SP1M538 pada ruang Remisier Reference.

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Untung Bersih 99 Speed Mart Lonjak 13.4 Peratus Pada Suku Kedua

KUALA LUMPUR: 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) mencatat keuntungan bersih RM163.95 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026, meningkat 13.4 peratus daripada RM144.63 juta pada suku sama tahun lalu.

Hasil kumpulan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM3.08 bilion daripada RM2.71 bilion sebelumnya, menurut syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan itu didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan rangkaian cawangan, dengan pertambahan bersih 257 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 3,151 cawangan setakat 30 Jun 2026 berbanding 2,894 cawangan setahun sebelumnya.

“Jumlah transaksi jualan meningkat 13.6 peratus kepada 146.4 juta, dengan nilai purata setiap bakul RM21,” menurut syarikat itu.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, 99 Holdings mencatat keuntungan bersih RM352.5 juta berbanding RM289.53 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh enam bulan pula meningkat kepada RM6.14 bilion daripada RM5.32 bilion sebelumnya.

Selain itu, platform e-dagang jualan pukal syarikat terus mencatat pertumbuhan kukuh apabila hasil meningkat 80.5 peratus tahun ke tahun kepada RM50.2 juta bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2026.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata momentum pertumbuhan positif pada suku berkenaan disokong pengembangan berterusan rangkaian cawangan serta pelaksanaan waktu operasi lebih awal di seluruh negara.

Thiam Wah berkata tumpuan berterusan terhadap kecekapan operasi turut mula memberikan manfaat ketara kepada kumpulan.

Menurutnya, inisiatif penjimatan tenaga dan penggunaan peralatan membantu mengurangkan kos utiliti serta meningkatkan kecekapan kos merentasi operasi kumpulan.

“Dengan rangkaian cawangan kami terus berkembang, kami kekal komited untuk memperkukuh rantaian bekalan bagi menyokong kecekapan operasi,” katanya.

Beliau berkata kumpulan itu juga terus memperluas penawaran produk bagi memenuhi keperluan pelanggan yang berubah susulan sambutan menggalakkan terhadap rangkaian peralatan rumah terpilih.

Rangkaian berkenaan kini diperluas ke semua cawangan di seluruh negara dan turut ditawarkan menerusi platform 99 Bulksales bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat serta pembelian secara pukal.