6 Tips Urus Kewangan Sendiri Dan Keluarga

Orang yang gagal merancang adalah merancang untuk berdepan dengan kegagalan. Dengan adanya perancangan dan tindakan, ianya merupakan resipi untuk menuju kejayaan.

Pengurusan kewangan yang baik bermula dengan diri sendiri terlebih dahulu. Apabila kita sendiri dah ada tabiat yang baik, pastinya dengan mudah dapat mengurus kewangan keluarga pula.

Berikut merupakan 5 tips bijak urus kewangan bagi anda yang telah berkeluarga.

1. Buat Bajet

Wujudkan bajet peribadi yang merangkumi perbelanjaan harian, mingguan dan bulanan anda. Lebih baik jika anda dapat merancang kewangan anda untuk tempoh setahun terus.

Bila dah ada bajet untuk diri sendiri, kini lebih mudah untuk buat bajet untuk keluarga pula. Masukkan sekali perbelanjaan keluarga seperti duit rumah, bil internet, barang dapur, kelengkapan sekolah anak-anak dan sebagainya.

Dengan adanya bajet, kita boleh kira-kira sama ada cukup atau tidak. Dengan adanya data ini, bolehlah buat tindakan untuk kurangkan perbelanjaan atau tingkatkan pendapatan.

2. Ada Pelan Simpanan

Pastikan setiap kali masuk saja gaji setiap bulan, buatlah simpanan sekurang-kurangnya 10% daripada gaji. Sebelum terus dibelanjakan untuk urusan-urusan lain, pastikan kita menyimpan untuk diri sendiri terlebih dahulu.

Kita disarankan untuk mempunyai tabung kecemasan sebanyak 6 bulan gaji bulanan. Kalau gaji kita RM4,000 sebulan, pastikan kita ada sebanyak RM24,000 dalam tabung kecemasan ini.

Bukan apa, ianya boleh digunakan apabila kita sesak atau ditimpa sebarang musibah. Tak perlu kita meminjam atau meminta-minta nanti. Lebih parah sekiranya kita terpaksa meminjam dengan Along.

3. Keperluan vs Kehendak

Ada banyak sebenarnya ruang untuk kita mengurangkan perbelanjaan, cuma kena pandai bezakan di antara keperluan dan kehendak. Dengan adanya kemudahan online shopping, ada saja sale setiap bulan.

Hanya berbelanja ikut keperluan dan kemampuan, selebihnya boleh masuk dalam tabung simpanan.

4. Jana Pendapatan Sampingan

Gunakan kemahiran yang anda miliki untuk menjana pendapatan sampingan buat anda dan juga keluarga. Contohnya, jika anda minat memasak dan sedap apabila memasak, anda boleh sahaja mengambil upah membuat kek ataupun kuih.

Bila ada duit lebih, makin banyak kita boleh simpan setiap bulan.

5. Melabur

Bila dah ada simpanan sebanyak 6 bulan gaji tadi, gunakan duit lebihan untuk melabur. Tetapi mula dengan melabur ke dalam ilmu terlebih dahulu.

Fahamkan konsep ‘high risk high return’ dalam pelaburan serta konsep kepelbagaian sesuai dengan pepatah ‘Don’t put all your eggs in one basket’.

6. Bersedekah

Tangan yang memberi adalah lebih baik daripada tangan yang menerima. Jika anda benar-benar memahami konsep menderma, pastinya anda akan sentiasa ingin menderma walaupun dalam jumlah yang kecil.

Allah akan menambahkan lagi rezeki serta mencukupkan keperluan sekiranya anda berkongsi rezeki dengan orang lain yang lebih memerlukan. Oleh itu, jangan takut untuk bersedekah.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Adakah Wang Dalam E-Dompet Dan Simpanan Di Bank Sama?

Oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia

Hari ini, bayar apa sahaja semudah mengimbas kod QR, sama ada di pasar raya, kedai kopi, pasar malam, mahupun gerai tepi jalan. Wang ditolak terus daripada akaun bank atau e-dompet (e-wallet) anda secara dalam talian. Dengan satu imbasan, urusan pembayaran selesai. Seolah-olah telefon pintar sudah menggantikan wang tunai.

Namun di sebalik kemudahan ini, masih terdapat kekeliruan dalam kalangan pengguna e-dompet: adakah wang yang disimpan dalam e-dompet mempunyai status yang sama seperti simpanan dalam akaun bank? Jika berlaku masalah kepada pengeluar e-dompet pula, adakah wang tersebut dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM)?

Hasil tinjauan PIDM mendapati bahawa masih terdapat sebahagian pengguna beranggapan wang yang disimpan dalam e-dompet dilindungi oleh PIDM sebagaimana simpanan di bank ahli PIDM.

Kekeliruan ini mungkin timbul kerana e-dompet menawarkan fungsi yang hampir sama seperti kemudahan perbankan digital di bank. Walaupun kedua-duanya membolehkan pengguna menambah nilai, menyemak baki, memindahkan wang dan membuat pembayaran, namun fungsi utamanya adalah berbeza.

Sebenarnya, PIDM tidak melindungi wang atau dana yang disimpan dalam e-dompet. Tahukah anda – pengeluar e-duit atau e-dompet merupakan pengeluar wang elektronik yang beroperasi atas lesen berbeza jika dibandingkan dengan bank berlesen atau institusi perbankan Islam berlesen? E-duit juga bukan deposit. Berdasarkan ciri-ciri ini, pengeluar e-duit bukan institusi ahli PIDM dan e-duit tidak dilindungi oleh PIDM.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna dana dalam e-dompet tidak mempunyai perlindungan. Di Malaysia, e-dompet dikategorikan sebagai wang elektronik atau e-money yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia. Mengikut keperluan kawal selia, pengeluar e-dompet tertentu[1] perlu menyimpan dana pelanggan dalam akaun amanah di bank berlesen serta mengasingkannya daripada dana operasi syarikat. Langkah ini membantu memastikan wang pelanggan tidak digunakan untuk tujuan lain serta memastikan rekod yang lengkap disimpan bagi memudahkan proses pengesahan dan pengagihan baki setiap pengguna apabila diperlukan.

Sekiranya bank yang memegang akaun amanah pengeluar e-dompet ialah bank ahli PIDM dan bank tersebut gagal atau muflis, dana pelanggan yang disimpan dalam akaun amanah tersebut dilindungi oleh PIDM sehingga had perlindungan yang ditetapkan.

PERBANDINGAN ANTARA E-DOMPET DAN AKAUN BANK
 E-dompetAkaun Simpanan di Bank
Fungsi utamaAplikasi dalam talian atau melalui peranti mudah alih yang digunakan untuk pembayaran harian, serta pemindahan dan penerimaan wangTempat simpanan wang yang berupaya melaksanakan transaksi pembayaran, pemindahan dan penerimaan wang serta membantu pengurusan kewangan
Penyedia perkhidmatanPengeluar e-dompet atau wang elektronikBank berlesen (bank komersial, institusi perbankan Islam atau bank digital)
Institusi perbankanPerkhidmatan e-dompet juga ditawarkan oleh institusi bukan perbankan.Ya
Cara dana disimpanDisimpan secara terkumpul dalam akaun amanah bankDisimpan terus dalam akaun bank atas nama individu
Perlindungan PIDMTerhad kepada dana dalam akaun amanah yang ditempatkan di bank ahli PIDM dan tertakluk kepada syarat kelayakanDeposit yang layak di bank ahli PIDM

Gambar rajah di bawah menunjukkan bagaimana dana dalam e-dompet dilindungi oleh PIDM secara tidak langsung:

Seiring perkembangan ekonomi digital, penggunaan e-dompet dijangka akan terus meningkat. Justeru, pengguna perlu memahami perbezaan antara e-dompet dan simpanan akaun bank, termasuk tahap perlindungan yang tersedia.  Dengan pengetahuan ini, pengguna dapat memanfaatkan kemudahan pembayaran digital dengan lebih yakin dan tahu hak mereka sebagai pengguna kewangan.

Untuk maklumat lanjut mengenai perlindungan PIDM ke atas deposit anda di bank ahli, klik https://www.pidm.gov.my/my/general/how-we-protect-you/dis


[1] Merujuk kepada pengeluar wang elektronik bukan bank dengan jumlah liabiliti e-Duit tertunggak sebanyak RM1 juta atau lebih, seperti yang dinyatakan dalam Dokumen Dasar Bank Negara Malaysia mengenai Wang Elektronik (e-Duit).