Apa Yang Best Sangat Dengan Kad Kredit Islamik?

“Alah, semua kad kredit sama je bro…”

Serius, betul ke sama?

Kad kredit berlandaskan shariah atau Islamik berbeza dengan kad kredit konvensional dari segi penggunaan, manfaat, faedah dan lain-lain lagi. Walaupun terdapat kad kredit Islamik yang tidak jauh bezanya dengan kad kredit konvensional, tetapi konsep kad kredit Islamik lebih jelas dan teratur.

Jom kita tengok 7 ciri-ciri kad kredit Islamik:

#1 Tiada Yuran Tahunan

Amat sukar mencari kad kredit Islamik yang mempunyai yuran tahunan, sememangnya tidak ada. Kebanyakan kad kredit Islamik pasti akan tertulis ‘No Annual Fee’ dan bukannya untuk satu tahun sahaja, tetapi untuk seumur hidup.

#2 Tiada Cas Tambahan

Adakalanya kad kredit konvensional mempunyai cas tambahan untuk sebarang transaksi ataupun pertukaran.  Ciri-ciri kad kredit Islamik pula tidak mempunyai cas tambahan seperti yang telah diberitahu pada awalnya. Pengguna hanya perlu membayar sejumlah yang mereka gunakan pada bulan itu sahaja.

#3 Tiada Faedah Dan Riba

Kad kredit Islamik tidak akan cas anda berulang kali biarpun tidak membayar sejumlah wang yang telah anda gunakan. Faedah dan riba sememangnya dilarang dalam Islam.

Bagi pengguna kad kredit Islamik, mereka akan dikenakan ‘caj keuntungan’ sekiranya akan hanya dikenakan sekiranya ada jumlah tertunggak yang tidak dibayar dalam tempoh yang ditentukan.

#4 Mematuhi Syariah

Ciri-ciri kad kredit Islamik adalah mematuhi shariah dari segi kiraan dan penggunaannya.  Tiada konsep gharar dan riba yang diterapkan kerana ia haram sama sekali.  Oleh itu, kad kredit Islamik tidak mengenakan caj kompaun dan sentiasa mematuhi peraturan shariah.

#5 Hanya Digunakan Untuk Urus Niaga Halal

Menggunakan kad kredit Islamik hanya untuk urusan niaga yang halal sahaja adalah ciri-ciri kad kredit Islamik. Sekiranya pengguna menggunakan kad ini untuk urusan yang tidak halal seperti membeli alkohol, berjudi, melakukan aktiviti atau ke tempat yang tidak dibenarkan dalam Islam, pihak bank (pengeluar kad) akan menyekat transaksi tersebut dan ia tidak dapat digunakan di situ.

#6 Perlindungan Takaful

Kad kredit Islamik akan menawarkan perlindungan Takaful percuma ke atas baki tertunggak bulanan dan manfaat khairat kematian. Maksudnya, syarikat takaful akan bantu menjelaskan keseluruhan jumlah baki yang diguna pelanggan, tidak kira sama ada pelanggan Islam atau bukan Islam.

Nak lagi best, ada produk yang turut menawarkan Travel Takaful kepada pelanggan mereka seperti :

Bank Islam Platinum-i,
Ambank Islamic Al-Taslif,
CIMB Platinum-i dan Affin Islamic Mastercard-i

#7 Menggunakan Konsep Shariah

Konsep shariah digunapakai dalam setiap transaksi kad kredit Islamik.  Ia umpama peraturan dan panduan untuk kegunaan kad tersebut tetapi pengguna juga mendapat banyak manfaat dalam masa yang sama. Jom lihat antara konsep shariah yang digunakan.

Tawarruq:  Tawarruq ialah ialah membeli barangan (komoditi) secara pembayaran tangguh (kos + untung) dan menjualnya secara tunai dengan harga yang lebih rendah kepada pihak selain daripada penjual asal.

Ujrah:  Pertukaran pembayaran dalam bentuk perkhidmatan, keistimewaan dan manfaat (pernah dengar ujrah PTPTN?). Ada formula diterangkan awal-awal dalam Terma & Syarat (T&C). Pelanggan biasanya tak baca. Terma ini diluluskan oleh penasihat shariah bank tersebut dan Bank Negara Malaysia.

Contoh:

Swipe kad kredit RM1,000. Lambat bayar, dikenakan Ujrah sebanyak 1%, jadi hutang akan bertambah RM1,010. Apabila tak bayar bulan berikutnya, Ujrah masih 1% tetapi dikenakan pada baki hutang awal-awal dulu dan bukan baki hutang semasa, maka RM1,000 x 1% lagi dan bukan RM1,010 x 1%.

Bal’Al Inah:  Akad atau kontrak yang melibatkan urusniaga jualan dan pembeli semula aset oleh si penjual.

Orang Islam Ada Pilihan

“Saya guna kad kredit konvensional tapi bila guna, saya bayar habis. Jadi tidak tercalit najis riba pun kan? Jadi tak perlulah saya tukar ke kad kredit Islamik?”

Logiknya bila kita guna fasiliti kad kredit konvensional, bank itu dapat mencipta pendapatan hasil penggunaan kad tersebut.

Tak perlu bersubahat tuan-tuan.

Institusi kewangan yang menawarkan kad kredit berlandaskan shariah ada banyak. Mereka perlu dipuji kerana berjaya memberikan alternatif kepada pelanggan Islam untuk mendapatkan produk yang patuh shariah.

“Bunyi di-Arabkan. Konsep sama, kata si polan“

Bukan sekadar tukar istilah, kemudahan dan peraturan berkonsepkan Islam pastinya mempunyai manfaat dan hikmah yang tersendiri. Yang halal itu jelas, yang haram itu juga jelas.

Disclaimer : Ini bukan promosi untuk sertai mana-mana produk kad kredit.

Sumber Rujukan:

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Dapat Hadiah Rumah RM400,000 Sebagai Komisen – Kena Lapor LHDN Ke?

“Kami hadiahkan sebuah banglo bernilai RM400,000 kepada ejen.”

Ayat macam ini memang kedengaran macam hadiah.

Tapi cuba kita ubah sedikit situasinya.

Sebuah syarikat emas menjalankan program insentif. Ejen yang berjaya mencapai sasaran jualan tertentu akan diberikan sebuah banglo bernilai RM400,000.

Contohnya ejen emas, ejen MLM, ejen jualan kereta yang berjaya mencapai sasaran tertentu dan diberikan sebuah banglo sebagai ganjaran.

Persoalannya:

Adakah ini benar-benar hadiah atau sebenarnya komisen/insentif kepada ejen?

Ini penting kerana dari sudut cukai, kita bukan hanya melihat apa nama yang diberikan kepada sesuatu bayaran.

Kalau banglo itu diberikan kerana ejen berjaya menghasilkan jualan, sifat bayaran tersebut perlu dilihat sebagai insentif yang diterima hasil daripada aktiviti ejen.

Dan yang menariknya, CP58 sendiri mengiktiraf bayaran insentif bukan dalam bentuk wang tunai, termasuk rumah.

Komisen tak semestinya dalam bentuk duit

Ramai orang apabila dengar perkataan “komisen”, mereka bayangkan:

Jual RM1 juta → dapat komisen RM50,000.

Tetapi insentif kepada ejen tidak semestinya dibayar dalam bentuk tunai.

Ia boleh diberikan dalam bentuk manfaat atau aset tertentu.

Contohnya:

  • kereta
  • rumah
  • pakej pelancongan
  • perabot
  • komputer
  • atau bentuk insentif bukan tunai yang lain.

Dalam dokumen CP58, HASiL memang menyediakan ruangan khusus untuk “Nilai insentif berbentuk bukan wang tunai”, termasuk kategori “Rumah”.

Jadi, kalau sebuah syarikat memberikan rumah kepada ejen sebagai ganjaran kerana pencapaian jualan, kita tidak boleh sekadar berkata:

“Ini hadiah, bukan pendapatan.”

Kita perlu lihat sebab rumah itu diberikan.

Katakan

Syarikat emas: ABC Gold Sdn Bhd

Ejen: Ali

Syarat program:

“Ejen yang mencapai jualan RM5 juta dalam tempoh tertentu akan menerima sebuah banglo bernilai RM400,000.”

Ali berjaya mencapai sasaran tersebut.

Syarikat kemudiannya memberikan sebuah banglo bernilai RM400,000 kepada Ali.

Pada zahirnya, syarikat mungkin menggunakan perkataan:

“Hadiah banglo.”

Tetapi dari perspektif cukai, soalan yang lebih penting ialah:

Mengapa Ali mendapat banglo tersebut?

Kalau jawapannya:

“Sebab Ali berjaya mencapai sasaran jualan yang ditetapkan.”

Maka kita sudah nampak ciri sales incentive yang jauh lebih jelas.

Jadi, bila ejen kena lapor?

Ini juga perkara yang selalu mengelirukan.

Bukan bermaksud ejen hanya perlu fikir tentang cukai apabila dia menjual banglo tersebut.

Persoalan yang perlu dilihat ialah bila ejen memperoleh hak atau manfaat daripada insentif tersebut, berdasarkan terma program dan fakta transaksi.

Contohnya, jika semua syarat telah dipenuhi dan ejen sudah mempunyai hak terhadap banglo tersebut, itulah titik yang perlu dianalisis dari sudut pengiktirafan pendapatan.

Bukan semata-mata tunggu banglo itu dijual.

Dan tarikh S&P, pindah milik atau penyerahan juga perlu dilihat bersama dokumen dan terma sebenar transaksi.

Sebab itu kita tidak boleh menetapkan secara automatik:

“Tarikh S&P = tarikh cukai.”

atau

“Tarikh geran keluar = tarikh cukai.”

Bagaimana pula dengan syarikat?

Kalau syarikat membayar insentif kepada ejen, pengedar atau pengagih, terdapat tanggungjawab di bawah Seksyen 83A ACP 1967 untuk menyediakan penyata bayaran insentif melalui Borang CP58.

HASiL menyatakan bahawa CP58 merangkumi bayaran insentif berbentuk wang tunai dan bukan wang tunai kepada ejen, pengedar atau pengagih. Salinan CP58 perlu diberikan kepada penerima sebelum atau pada 31 Mac tahun berikutnya.

Dan tengok apa yang terdapat dalam CP58.

Di bahagian insentif bukan tunai, terdapat:

(a) Kenderaan
(b) Rumah
(c) Pakej pelancongan/perjalanan
(d) Lain-lain

Maksudnya, kalau kita bercakap tentang banglo yang diberikan kepada ejen sebagai insentif, memang terdapat ruang dalam CP58 untuk melaporkan rumah sebagai insentif bukan tunai.

Bagaimana pula dengan Withholding Tax 2%?

Ini satu lagi perkara yang perlu dibezakan.

Di bawah Seksyen 107D, terdapat potongan cukai 2% bagi bayaran tertentu kepada ejen, pengedar atau pengagih.

Tapi untuk banglo RM400,000 yang diberikan sebagai insentif bukan tunai, 2% tidak dikenakan atas nilai banglo tersebut.

Ejen pula kena buat apa?

Ejen jangan anggap “Syarikat dah bagi CP58, jadi selesai.”

Tidak.

CP58 ialah penyata yang membantu menunjukkan berapa banyak insentif yang telah diterima.

Ejen, pengedar atau pengagih perlu melaporkan bayaran insentif yang diterima dalam e-filing masing-masing.

Untuk banglo, bila ejen sudah memperoleh hak ke atas rumah tersebut, contohnya selepas S&P ditandatangani dan hak menerima banglo itu sudah tidak lagi bersyarat maka nilai insentif tersebut perlu diambil kira dalam tahun taksiran yang berkaitan.

Bagaimana kalau syarikat panggil ia “hadiah”?

Ini bahagian yang paling menarik.

Dalam percukaian, nama yang diberikan kepada transaksi tidak semestinya menentukan sifat sebenar transaksi.

Kalau syarikat kata:

“Kami hadiahkan banglo kepada ejen.”

tetapi dokumen program menyatakan:

“Ejen yang mencapai jualan RM5 juta akan mendapat sebuah banglo bernilai RM400,000.”

maka terdapat hubungan yang jelas antara:

prestasi jualan → kelayakan → insentif → banglo.

Ini jauh berbeza daripada seseorang yang membeli emas seperti biasa, menyertai cabutan bertuah dan kebetulan memenangi sebuah banglo.

Dalam kes kedua, kita tidak boleh terus melabelkan banglo tersebut sebagai komisen.

Sifat transaksi bergantung kepada fakta.

Jadi, jangan tengok “hadiah” sahaja

Bayangkan dua situasi.

Situasi 1 – Ejen capai target

“Jualan RM5 juta → dapat banglo RM400,000.”

Ini mempunyai ciri sales incentive/commission.

Situasi 2 – Menang peraduan

“Beli produk, masuk peraduan → terpilih sebagai pemenang → dapat banglo RM400,000.”

Ini adalah situasi yang berbeza dan perlu dianalisis berdasarkan struktur peraduan dan sifat bayaran tersebut.

Bagaimana pula kalau ejen tidak menjual banglo itu?

Tidak penting sama ada ejen:

  • duduk dalam banglo itu,
  • sewakan banglo itu,
  • simpan banglo itu,
  • atau jual banglo itu kemudian.

Isu awalnya ialah apa yang ejen terima sebagai balasan kepada aktiviti yang menghasilkan pendapatan.

Kalau banglo tersebut merupakan incentive kerana prestasi jualan, hakikat bahawa ia berbentuk rumah tidak semestinya mengubah sifat asas bayaran tersebut.

RM400,000 bukan angka kecil

Sebab itu kes seperti ini menarik dari sudut pematuhan.

Katakan syarikat memberikan:

1 banglo = RM400,000

Kalau ia merupakan insentif kepada ejen, kita bukan lagi bercakap tentang:

“Dapat hadiah kecil.”

Kita bercakap tentang manfaat bernilai RM400,000.

Dan nilai tersebut perlu dilihat dalam pengiraan cukai penerima berdasarkan fakta sebenar.

Jangan terus ambil RM400,000 dan darab satu kadar cukai untuk menentukan cukai sebenar, kerana cukai individu bergantung kepada keseluruhan pendapatan, status pemastautin, perbelanjaan/potongan yang dibenarkan dan keadaan pembayar cukai.

Kesimpulannya

Kalau syarikat emas berkata:

“Kami hadiahkan sebuah banglo RM400,000 kepada ejen.”

Jangan berhenti pada perkataan “hadiah”.

Tanya:

Kenapa ejen dapat banglo itu?

Kalau jawapannya:

“Sebab dia berjaya mencapai sasaran jualan.”

maka kita perlu melihatnya sebagai insentif/komisen bukan tunai, bukan semata-mata hadiah biasa.

Dan yang lebih menarik:

CP58 sendiri mempunyai ruangan khusus untuk melaporkan insentif bukan tunai dalam bentuk “Rumah”.

Syarikat perlu menyediakan CP58 kepada ejen mengikut tempoh yang ditetapkan, manakala ejen pula perlu mengambil kira bayaran insentif tersebut dalam e-filingnya.

Penafian: Artikel ini adalah untuk tujuan perkongsian informasi dan pendidikan sahaja, bukan nasihat cukai atau nasihat profesional. Layanan cukai sebenar bergantung kepada fakta, struktur transaksi dan keadaan setiap pembayar cukai. Sila rujuk LHDN atau penasihat cukai berlesen untuk mendapatkan nasihat berkaitan kes khusus.