Bank Pusat China Kini Secara Rasminya Menggunakan Mata Wang Yuan Digital

China kini merupakan kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia. Dijangka bahawa mereka akan menjadi salah sebuah kuasa besar dunia yang akan mencabar dominasi Amerika Syarikat pada tahun 2050.

Kepesatan ekonomi China ini disebabkan oleh dasar membuka pintu perdagangan kepada dunia luar.

Tarikan utama yang terdapat di negara tersebut adalah mereka menyediakan buruh dengan kos yang rendah. Disebabkan inilah, harga kos pengeluaran terhadap barangan dihasilkan di China sangat murah.

Banyak syarikat dari Eropah dan Amerika Syarikat menggunakan peluang yang ada ini untuk mengurangkan kos operasi mereka dan menjana keuntungan berlipat kali ganda.

Situasi ini menjadikan banyak negara maju dunia bergantung hampir sepenuhnya kepada China untuk pengeluaran produk mereka.

Kini, China yang semakin maju telah membangunkan satu lagi teknologi iaitu dengan membangunkan duit digital yang boleh digunakan di beberapa bandar utama di negara tersebut.

Penggunaan wang digital bukanlah perkara baru tetapi apa yang membezakan China dan negara dunia yang lain adalah, China secara rasmi memperkenalkan teknologi tersebut melalui bank pusat mereka ketika negara lain masih lagi ragu-ragu dalam membangunkan sistem wang digital.

Pengenalan Peringkat Pertama Wang Digital Yuan

China menggunakan Yuan sebagai mata wang rasmi mereka. Buat permulaan pengenalan wang digital Yuan ini, China telah memberi kepada 50,000 orang yang mengambil bahagian dalam program tersebut. Mereka dikreditkan dengan duit sebanyak 200 Yuan untuk dibelanjakan.

Banyak kedai di bandar-bandar besar mula membenarkan pelanggan mereka menggunakan wang digital ini dan proses menggunakannya sangat mudah dan mesra pengguna.

Kredit Gambar: Asia Times

Dengan hanya membawa sebuah telefon pintar, pengguna mata wang digital ini tidak perlu lagi membawa duit dan kad kredit untuk membuat pembayaran.

Kerajaan China juga turut memberi jaminan pada masa akan datang, pembayaran menggunakan duit digital ini tidak memerlukan internet untuk berfungsi dan ini memudahkan lagi pengguna.

Risiko Yang Dihadapi Oleh Pengguna Mata Wang Digital Yuan

Sebelum ini, penggunaan wang digital ini dipelopori oleh syarikat gergasi internet seperti Ant Financial dan Tencent yang menawarkan ini di China.

Kini, kerajaan China turut menegaskan yang mereka bukan bersaing dengan dua syarikat gergasi tersebut di dalam pembayaran cashless ini.

China memberi alasan jika salah satu syarikat gergasi yang menyediakan perkhidmatan cashless ini tersungkur, impak terhadap ekonomi negara tersebut tidaklah begitu teruk. Ianya disebabkan oleh kerajaan China yang mampu mengisi kelompongan perkhidmatan wang digital yang berada di dalam pasaran.

China turut mendakwa, dengan penyertaan bank pusat di dalam sistem kewangan digital, pihak penjenayah dan pengganas tidak dapat melakukan jenayah yang melibatkan kewangan seperti mencuci duit atau money laundering.

Walaupun begitu, sesetengah pihak percaya bahawa Kerajaan China sebenarnya ingin menjejak maklumat peribadi rakyat mereka dengan menggunakan platform tersebut.

Sesiapa yang ingin menggunakan platform terbabit perlu mendaftar menggunakan kad pengenalan dan setiap pembelian yang dilakukan melalui wang digital Yuan, maklumat tersebut disimpan dan diketahui oleh Bank Pusat China.

Syarikat asing yang mula bimbang jika China melaksanakan secara paksa, ini meyebabkan China mengetahui segala maklumat syarikat asing yang berada di negara tersebut.

Jaminan Keselamatan Oleh Kerajaan China Terhadap Pengguna Yuan Digital

Kredit Gambar: FT

China memberi jaminan bahawa negara tersebut tidak menggunakan data peribadi atau syarikat untuk kepentingan mereka.

Walaupun begitu, kebanyakan pengguna begitu sangsi dengan jaminan yang diberi oleh Kerajaan China memandangkan negara tersebut mengamalkan pemerintahan autokrasi yang boleh mengubah hala tuju mereka tanpa memerlukan persetujuan atau pungutan suara daripada rakyat mereka.

Sumber Rujukan: CNBC

Mulakan Langkah Pertama Aset Digital Anda Hari Ini

Boleh rujuk di sini bagaimana untuk Mulakan Pelaburan Aset Digital Yang Sah Dan Patuh Syariah Hari Ini Dengan Luno.

Bagi mereka yang telah siap akaun Luno dan belum claim bonus RM25 dalam bentuk Bitcoin secara percuma, masukkan kod FVSKG5. Klik di bahagian Rewards dan masukkan kod FVSKG5.

Bila kita deposit dan beli aset digital kita yang pertama bernilai RM250 (tak termasuk fees Luno), nanti dapat RM25 dalam bentuk Bitcoin secara percuma.

Previous ArticleNext Article

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.